ISLAM DAN PEMELIHARAAN ALAM SEKITAR

ISLAM DAN PEMELIHARAAN ALAM SEKITAR




▪️Alam Sekitar Untuk Dimanfaatkan Oleh Manusia

Bumi dan alam sekitarnya diciptakan oleh Allah adalah untuk tempat tinggal manusia dan ia merupakan perhiasan, kemudahan dan barang untuk dimanfaatkan dalam kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

Allah SWT berfirman :

.. وَلَكُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ مُسۡتَقَرࣱّ وَمَتَـٰعٌ إِلَىٰ حِینࣲ

Maksudnya :
".. dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)." - [Surah Al-Baqarah 36]

Segala-gala ciptaan Allah atas alam ini bagi memberikan manfaat kepada manusia digunakan untuk kehidupan manusia. Manusia yang tugaskan selaku khilafah mengurus tadbir alam ini dengan cara yang baik berpandukan petunjuk wahyu Ilahi.

Setiap kejadian alam ini menunjukkan :

1. Kekuasaan Allah atas menciptakan sesuatu.
2. Dalil kewujudan, kekuasaan dan kebijaksanaan Allah bagi manusia memikirkannya.
3. Rahmat dan ihsan Allah atas manusia dengan bekalan mempermudahkan urusan kehidupan manusia.

Firman Allah SWT :

إِنَّ فِی خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّیۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلۡفُلۡكِ ٱلَّتِی تَجۡرِی فِی ٱلۡبَحۡرِ بِمَا یَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَاۤ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَاۤءِ مِن مَّاۤءࣲ فَأَحۡیَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَا وَبَثَّ فِیهَا مِن كُلِّ دَاۤبَّةࣲ وَتَصۡرِیفِ ٱلرِّیَـٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلۡمُسَخَّرِ بَیۡنَ ٱلسَّمَاۤءِ وَٱلۡأَرۡضِ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّقَوۡمࣲ یَعۡقِلُونَ

Maksudnya :
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran." - [Surah Al-Baqarah 164]

▪️Islam Larang Melakukan Kerosakan Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan nikmat Allah yang mesti dipelihara dari sebarang tindakan yang membawa kerosakan dalamnya. Apa sahaja nikmat Allah maka ia diurus untuk :

1. Mendekatkan diri kepada Allah dengan kemudahan yang ada.
2. Menyenangkan kehidupan ke arah lebih baik bersesuaian dengan kehendak fitrah manusia yang dikurniakan.

Larangan merosakan alam sekitar dinyatakan menerusi firman Allah SWT :

وَلَا تُفۡسِدُوا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ بَعۡدَ إِصۡلَـٰحِهَا وَٱدۡعُوهُ خَوۡفࣰا وَطَمَعًاۚ إِنَّ رَحۡمَتَ ٱللَّهِ قَرِیبࣱ مِّنَ ٱلۡمُحۡسِنِینَ

Maksudnya :
"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya." - [Surah Al-A'raf 56]

Segala kerosakan termasuk membinasakan tanaman dan termakan adalah tidak disukai oleh Allah SWT menerusi firman-Nya :

وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِی ٱلۡأَرۡضِ لِیُفۡسِدَ فِیهَا وَیُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا یُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ

Maksudnya :
"Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan." - [Surah Al-Baqarah 205]

Imam al-Qurtubi menyatakan kerosakan (الفساد) dalam ayat di atas adalah berbentuk umum termasuklah kehancuran, kebinasaan dan juga pencemaran yang dilakukan.

Begitu juga larangan Allah SWT melakukan kerosakan alam sekitar menerusi ayat berikut :

.. كُلُوا۟ وَٱشۡرَبُوا۟ مِن رِّزۡقِ ٱللَّهِ وَلَا تَعۡثَوۡا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ مُفۡسِدِینَ

Maksudnya :
".. Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi". - [Surah Al-Baqarah 60]

▪️Kerosakan Alam Sekitar Kerana Sikap Manusia

Kerosakan demi kerosakan yang berlaku adalah berpunca dari manusia itu sendiri. Ia boleh terjadi kerana beberapa faktor :

1. Mengubah ciptaan Allah dan melanggar fitrah asal. Firman Allah SWT :

وَلَأُضِلَّنَّهُمۡ وَلَأُمَنِّیَنَّهُمۡ وَلَـَٔامُرَنَّهُمۡ فَلَیُبَتِّكُنَّ ءَاذَانَ ٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَلَـَٔامُرَنَّهُمۡ فَلَیُغَیِّرُنَّ خَلۡقَ ٱللَّهِۚ وَمَن یَتَّخِذِ ٱلشَّیۡطَـٰنَ وَلِیࣰّا مِّن دُونِ ٱللَّهِ فَقَدۡ خَسِرَ خُسۡرَانࣰا مُّبِینࣰا

Maksudnya :
"Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata." - [Surah An-Nisa' 119]

2. Kerakusan dan menurut hawa nafsu. Firman Allah SWT :

وَلَوِ ٱتَّبَعَ ٱلۡحَقُّ أَهۡوَاۤءَهُمۡ لَفَسَدَتِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِیهِنَّۚ بَلۡ أَتَیۡنَـٰهُم بِذِكۡرِهِمۡ فَهُمۡ عَن ذِكۡرِهِم مُّعۡرِضُونَ

Maksudnya :
"Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya. " - [Surah Al-Mu'minun 71]

3. Tidak cakna dengan isu kebersihan dan keindahan. Menyebabkan berlaku kekotoran dengan pencemaran, pembuangan sisa, sampah dan toksik yang tidak mengikut saluran yang betul. Kesemua ini boleh menyebabkan alam sekitar rosak binasa dan berlakunya musibah wabak penyakit dan lain-lain.

Rasulullah SAW bersabda :

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ ، نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ ، كَرِيمٌ يُحِبُّ الكَرَمَ ، جَوَادٌ يُحِبُّ الجُودَ ، فَنَظِّفُوا ، أُرَاهُ قَالَ ، أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ

Maksudnya:
"Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi." - riwayat at-Tirmizi

4. Sikap melampaui batas dan berlaku ketidakseimbangan dalam sesuatu urusan.
Firman Allah SWT :

۞ یَـٰبَنِیۤ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِینَتَكُمۡ عِندَ كُلِّ مَسۡجِدࣲ وَكُلُوا۟ وَٱشۡرَبُوا۟ وَلَا تُسۡرِفُوۤا۟ۚ إِنَّهُۥ لَا یُحِبُّ ٱلۡمُسۡرِفِینَ

Maksudnya :
"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas." -
[Surah Al-A'raf 31]

5. Berlaku sikap bazir dan boros serta bakhil sehingga memberikan kesan negatif kepada alam sekitar, sedangkan kedua-dua sifat ini dilarang oleh Allah SWT menerusi firman-Nya :

إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِینَ كَانُوۤا۟ إِخۡوَ ٰ⁠نَ ٱلشَّیَـٰطِینِۖ وَكَانَ ٱلشَّیۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورࣰا

Maksudnya :
"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." - [Surah Al-Isra' 27]

Begitu juga firman Allah SWT mengenai larangan bakhil lagi kedekut sehingga tersekat sesuatu manfaat yang sepatutnya dikeluarkan atau diuruskan. Allah SWT berfirman :

وَلَا تَجۡعَلۡ یَدَكَ مَغۡلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبۡسُطۡهَا كُلَّ ٱلۡبَسۡطِ فَتَقۡعُدَ مَلُومࣰا مَّحۡسُورًا

Maksudnya :
"Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan." - [Surat Al-Isra' 29]

5. Kufur kepada nikmat Allah sehingga mensia-siakannya dan merosakkannya. Firman Allah SWT :

۞ أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِینَ بَدَّلُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ كُفۡرࣰا وَأَحَلُّوا۟ قَوۡمَهُمۡ دَارَ ٱلۡبَوَارِ

Maksudnya :
"Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan?" - [Surah Ibrahim 28]

Lihat bagaimana kehancuran Kerajaan Saba' yang dirakamkan oleh Allah kerana kekufuran mereka terhadap nikmat yang Allah berikan pada mereka.

Firman Allah SWT :

لَقَدۡ كَانَ لِسَبَإࣲ فِی مَسۡكَنِهِمۡ ءَایَةࣱۖ جَنَّتَانِ عَن یَمِینࣲ وَشِمَالࣲۖ كُلُوا۟ مِن رِّزۡقِ رَبِّكُمۡ وَٱشۡكُرُوا۟ لَهُۥۚ بَلۡدَةࣱ طَیِّبَةࣱ وَرَبٌّ غَفُورࣱ * فَأَعۡرَضُوا۟ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَیۡهِمۡ سَیۡلَ ٱلۡعَرِمِ وَبَدَّلۡنَـٰهُم بِجَنَّتَیۡهِمۡ جَنَّتَیۡنِ ذَوَاتَیۡ أُكُلٍ خَمۡطࣲ وَأَثۡلࣲ وَشَیۡءࣲ مِّن سِدۡرࣲ قَلِیلࣲ * ذَ ٰ⁠لِكَ جَزَیۡنَـٰهُم بِمَا كَفَرُوا۟ۖ وَهَلۡ نُجَـٰزِیۤ إِلَّا ٱلۡكَفُورَ

Maksudnya :
Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!. Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur." - [Surah Saba' 15 - 17]

▪️Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Alam Sekitar

Secaras asas keseimbangan ekosistem alam persekitaran alam mesti dijaga dengan baik. Ia bagi memastikan tidak terjadi musibah disebabkan tangan-tangan manusia itu sendiri angkara penjarahan dan pencabulan ke atas alam sekitar ini.

Berdasarkan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi berkenaan pemeliharaan alam sekitar menurut Islam, ia dapat dilaksanakan dengan :

1. Penghijauan dan tanaman. Faedah dua cara ini ialah:
- Manfaat. Melalui tanaman, hasilnya sudah pasti dapat dinikmati dan dirasai.

- Cantik. Tanaman yang menghijau, menjadikan sesuatu kawasan nampak cantik dan indah.

Rasulullah SAW bersabda :

ما من مسلم يغرس غرسا أو يزرع زرعا ، فيأكل منه طير ، أو إنسان ، أو بهيمة ، إلا كان له به صدقة

Maksudnya :
“Sesiapa daripada orang muslim yang menanam tanam-tanaman dan hasilnya dimakan oleh burung atau manusia ataupun binatang maka baginya mendapat pahala sedekah.” - riwayat al-Bukhari

2. Memakmurkan dunia dengan menghidupkan tanah yang terbiar dengan tanaman dan menjaga sumber alam.

Terdapat galakkan usaha untuk menghidupkan tanah dari dibjarkan begitu sahaja. Kerana jika dibiarkan tanpa dimakmurkan maka ia tidak mendatangkan manfaat.

Daripada Jabir bahawa Rasulullah SAW bersabda :

من أحيا أرضا ميتة فهي له

Maksudnya :
"Barang siapa yang mengolah lahan tanah mati maka tanah tersebut beralih menjadi miliknya" - riwayat Ahmad dan at-Tirmizi

3. Kebersihan dan pembersihan. Islam memandang tinggi kepada kebersihan pada diri dengan memberi pahala sunat mandi sebelum jumaat, kebersihan mulut dengan sunat bersiwak dan sebagainya.

Rasulullah SAW bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya:
“Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.” - riwayat Muslim

4. Penjagaan sumber alam. Islam menegah manusia daripada merosakkan atau mencemarkan sumber-sumber alam yang terdapat dalam bumi, daratan ataupun dalam laut.

Peringatan berlakunya kerosakan bumi adalah dari sikap manusia itu. Berdasarkan firman Allah SWT :

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِی ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَیۡدِی ٱلنَّاسِ لِیُذِیقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِی عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمۡ یَرۡجِعُونَ

Maksudnya :
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." - [Surah Ar-Rum 41]

5. Penjagaan kesihatan manusia. Sekiranya Islam mementingkan penjagaan sumber alam, maka penjagaan sumber manusia adalah terlebih penting. Orang mukmin yang kuat lebih baik daripada mukmin yang lemah. Islam juga menyeru kepada manusia untuk berubat sekiranya sakit. Kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada penjagaan kesihatan kerana mereka adalah pemimpin dan orang dewasa pada masa depan.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

الْقَـوِيُّ خَـيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَـى اللهِ مِنَ الْـمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ، وَفِـيْ كُـلٍّ خَـيْـرٌ ، اِحْـرِصْ عَـلَـى مَا يَـنْـفَـعُـكَ وَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَلَا تَـعْجَـزْ ، وَإِنْ أَصَابَكَ شَـيْءٌ فَـلَا تَقُلْ: لَوْ أَنِـّيْ فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَـذَا ، وَلَـكِنْ قُلْ: قَـدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَـفْـتَـحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya :
"Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT daripada Mukmin yang lemah; dan pada keduanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allah (dalam segala urusanmu) serta janganlah sekali-kali engkau merasa lemah. Apabila engkau tertimpa musibah, janganlah engkau berkata, Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini dan begitu, tetapi katakanlah, Ini telah ditakdirkan Allah, dan Allah berbuat apa saja yang Dia kehendaki, karena ucapan seandainya akan membuka (pintu) perbuatan syaitan." - riwayat Muslim, Ahmad dan Ibn Majah

6. Ihsan dengan alam sekitar. Ihsan bererti bersungguh-sungguh dan berlemah lembut. Selayaknya bagi manusia bersifat ihsan dengan kedua-dua makna di atas terhadap manusia sendiri, haiwan, pokok bahkan semua alam baik yang hidup mahupun yang kaku dan kekal seperti tanah, air dan sebagainya.

Sifat ihsan sangat ditekankan di dalam Islam sehingga Rasulullah SAW menitik beratkannya dalam penyembelihan sekalipun.

Rasulullah SAW bersabda :

إن الله كتب الإحسان على كل شيء. فإذا قتلتم فأحسنوا القتلة. وإذا ذبحتم فأحسنوا الذبح. وليحد أحدكم شفرته. فليرح ذبيحته

Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan atas tiap-tiap sesuatu. Apabila kamu membunuh, maka elokkanlah penyembelihan. Dan hendaklah seorang kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah ia melapangkan binatang sembelihannya.” - riwayat Muslim

7. Penjagaan alam sekitar daripada kerosakan. Islam meletakkan orang yang melakukan kerosakan di atas muka bumi sebagai perbuatan haram dan mungkar sama ada kerosakan itu kerana sengaja, marah, tanpa sebab dan sebagainya.

Firman Allah SWT :

وَلَا تُفۡسِدُوا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ بَعۡدَ إِصۡلَـٰحِهَا وَٱدۡعُوهُ خَوۡفࣰا وَطَمَعًاۚ إِنَّ رَحۡمَتَ ٱللَّهِ قَرِیبࣱ مِّنَ ٱلۡمُحۡسِنِینَ * وَهُوَ ٱلَّذِی یُرۡسِلُ ٱلرِّیَـٰحَ بُشۡرَۢا بَیۡنَ یَدَیۡ رَحۡمَتِهِۦۖ حَتَّىٰۤ إِذَاۤ أَقَلَّتۡ سَحَابࣰا ثِقَالࣰا سُقۡنَـٰهُ لِبَلَدࣲ مَّیِّتࣲ فَأَنزَلۡنَا بِهِ ٱلۡمَاۤءَ فَأَخۡرَجۡنَا بِهِۦ مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَ ٰ⁠تِۚ كَذَ ٰ⁠لِكَ نُخۡرِجُ ٱلۡمَوۡتَىٰ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya :
"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)."
[Surah Al-A'raf 56 - 57]

8. Keseimbangan alam sekitar. Perkara yang paling penting dalam penjagaan alam sekitar ialah penjagaan keseimbangannya. Manusia mestilah bersikap adil, tidak terlalu melampau dan tidak terlalu bermudah-mudah sehingga dengan dua sikap ini menyaksikan alam sekitar rosak tanpa pembelaan.

Orang yang terbaik adalah mereka berjaya melakukan keseimbangan dalam pengurusan dunia dan akhiratnya.

Anas meriwayatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لَيْسَ بِخَيْرِ كُمْ مَنْ تَرَكَ دُنْيَاهُ لِاخِرَتِهِ وَلاَ اخِرَتَهُ لِدُنْيَاهُ حَتّى يُصِيْبُ مِنْهُمَا جَمِيْعًا, فَاِنَّ الدَّنْيَا بَلَاغٌ اِلَى اْلاخِرَةِ وَلَاتَكُوْنُوْا كَلًّ عَلَى النَّاسِ

Maksudnya :
"Bukanlah yang terbaik di antara kamu orang yang meninggalkan urusan dunianya kerana (mengejar) urusan akhiratnya, dan bukan pula (orang yang terbaik) oarang yang menhinggalkan akhiratnya kerana mengejar urusan dunianya, sehingga ia memperoleh kedua-duanya, kerana dunia itu adalah (perantara) yang menyampaikan ke akhirat, dan janganlah kamu menjadi beban orang lain." - riwayat Ibn"'Asakir

.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/39qYZsD

Comments