ISLAM DAN PENENTUAN JANTIAN

ISLAM DAN PENENTUAN JANTINA



▪️
Jantina Hanya Sama Ada Lelaki Atau Perempuan

Penciptaan manusia dijadikab dua jenis jantina iaitu lelaki dan perempuan. Lelaki pertama diciptakan sekaligus sebagai manusia pertama ialah Adam 'alaihissalam. Manakala perempuan pertama diciptakan ialah Hawa yang ditaqdirkan sebagai pasangan kepada Adam bermula di dalam syurga lagi.

Allah SWT berfirman :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِی خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسࣲ وَ ٰ⁠حِدَةࣲ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالࣰا كَثِیرࣰا وَنِسَاۤءࣰۚ

Maksudnya :
"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai." - [Surah An-Nisa' 1]

Berdasarkan ayat di atas, terdapat beberapa ketetapan :

1. Penciptaan jiwa yang satu itu permulaan manusia iaitu Adam 'alaihissalam.
2. Penciptaan Hawa selaku pasangan kepada Adam.
3. Penciptaan Hawa dari sebahagian Adam iaitu merujuk kepada penciptaannya dari tulang rusuk.
4. Pasangan merujuk kepada pensyariatan berkahwin bagi fitrah secara halal dan sah.
5. Anak menerusi hubungan kelamin pasangan suami isteri.
6. Disebut jantina lelaki dan wanita sebagai ketetapan jantina bagi manusia tanpa ada selainnya.

Maka tiada jantina ketiga selain lelaki dan perempuan. Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT :

وَأَنَّهُۥ خَلَقَ ٱلزَّوۡجَیۡنِ ٱلذَّكَرَ وَٱلۡأُنثَىٰ

Maksudnya :
"Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan" - [Surah An-Najm 45]

▪️
Perbezaan Jantina Bukan Untuk Merendahkan Martabat

Secara umum, perbezaan penciptaan jantina tidak membezakan darjat dan kemuliaan di sisi Allah SWT. Semua orang tidak kira lelaki atau perempuan akan diperhitung amalan yang dilakukan. Masing-masing akan menerima balasan akan apa yang dikerjakan sepanjang hidup.

Firman Allah SWT :

فَٱسۡتَجَابَ لَهُمۡ رَبُّهُمۡ أَنِّی لَاۤ أُضِیعُ عَمَلَ عَـٰمِلࣲ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰۖ بَعۡضُكُم مِّنۢ بَعۡضࣲۖ فَٱلَّذِینَ هَاجَرُوا۟ وَأُخۡرِجُوا۟ مِن دِیَـٰرِهِمۡ وَأُوذُوا۟ فِی سَبِیلِی وَقَـٰتَلُوا۟ وَقُتِلُوا۟ لَأُكَفِّرَنَّ عَنۡهُمۡ سَیِّـَٔاتِهِمۡ وَلَأُدۡخِلَنَّهُمۡ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ ثَوَابࣰا مِّنۡ عِندِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلثَّوَابِ

Maksudnya :
"Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)". - [Surah Ali Imran : 195]

Walaupun begitu, dari sudut tugasan, syarat dan displin beberapa perkara yang dibezakan seperti :

1. Batasan aurat.
2. Tatatertib solat.
3. Pemakaian ihram.
4. Kedudukan saf solat dan lain lain lagi.

Ia bukanlah menjadikan dengan perbezaan tersebut wanita didiskriminasi sebagaimana dakwaan doktrin femenisme. Islam mengangkat darjat lelaki dan perempuan pada tempat tertentu bagi memuliakan mereka.

Sebagai contoh bagi perempuan, hak seorang yang berstatus ibu 3 kali ke atas anak berbanding hak seorang lelaki berstatus ayah.

Begitu juga kaum lelaki diangkat sebagai pemimpin atas perkiraan tanggungjawab yang dipundakkan bagi mencari nafkah serta kekuatan fizikal yang diciptakan.

Dalam masa yang sama, perbezaan jantina antara lelaki atau perempuan bukanlah untuk persaingan gender atau memusuhi namun adalah hikmahnya sebagai saling lengkap melengkapi dan saling bantu membantu dalam kerja-kerja Islam.

Firman Allah SWT :

وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِیَاۤءُ بَعۡضࣲۚ یَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَیُقِیمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَیُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَیُطِیعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥۤۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ سَیَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِیزٌ حَكِیمࣱ

Maksudnya :
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." - [Surah At-Tawbah 71]

▪️
Status Khunsa Mesti Ditentukan Jantina Mereka

Terdapat beberapa kes terpencil iaitu mereka yang dilahirkan sebagai khunsa. Golongan khunsa ialah mereka yang memiliki dua alat kelamin serentak sejak awal kelahiran atau juga tiada kedua-dua alat kelamin melainkan hanya ada lubang sahaja bagi keluar air kencing.

Khunsa dibahagikan kepada dua iaitu :

1. Khunsa wadih (ghair musykil) :
Iaitu yang jelas salah satu jantina padanya walau memiliki dua alat kelamin. Seperti hanya satu alat kelaminnya sahaja yang berfungsi tanpa satu lagi.

2. Khunsa musykil :
Iaitu tidak dapat ditentukan mana satu jantina mungkin kerana disebabkan kedua-dua alat kelaminnya berfungsi. Atau juga kerana tiaa dua alat kelamin, hanya yang ada lubang bagi keluar air kencing.

Ibu bapa atau penjaga mesti menentukan jantina anak yang dilahirkan sebagai khunsa. Ini tanggungjawab yang mesti dibuat seawal kelahiran dan sebelum aqil baligh. Ini kerana dalam taklifan dan ibadah ada perbezaan yang dikenakan pada mukallaf lelaki mahupun perempuan seperti pemakaian dan tatacara solat.

Bagi khunsa wadih maka apabila jelas salah satu alat kelamin yang berfungsi tanpa satu lagi, maka jantinanya berdasarkan perkara tersebut. Justeru setelah mendapat nasihat dan pandangan ahli perubatan dari sudut keselamatan dan nyawa maka mestilah dilakukan pembedahan, membuang alat kelamin yang bukan jantinanya.

Manakala bagi khunsa musykil kita bahagikan kepada dua :

1. Ada dua kelamin namun dua-dua berfungsi.
2. Tiada kedua-dua alat kelamin, hanya ada lubang untuk keluar air kencing sahaja.

Bagi yang ada kedua-dua alat kelamin dan berfungsi maka penentuan jantina boleh dibuat menerusi antara kaedahnya :

i. Kecendurangan emosi, fitrah dan naluri.
ii. Alat kelamin mana yang lebih dominasi, air kencing kerap keluar dari mana. Air kencing lebih banyak dari mana.
iii. Air kencing keluar paling awal dari awal.
iv. Ada tanda tanda lain seperti tumbuh bulu jangkut yang menunjukkan tanda lelaki atau tumbuh buah dada yang menunjukkan tanda perempuan.

Dalam masa yang sama, penentuan jantina juga boleh diambil kira kaedah teknologi terkini seperti penelitian pada kromosom berdasarkan kajian ilmu sains. Jika 46 xy maka ditentukan lelaki namun jika 46 xx ditentukan jantinya perempuan.

Adapun khunsa musykil yang tiada memiliki sebarang alat kemaluan kecuali hanya lubang untuk keluar air kencing maka statusnya ia tetap sebagai khunsa dan terdapat beberapa larangan fiqh yang perlu dipatuhi seperti tidak boleh berkahwin.

Namun begitu, mereka yang ditaqdirkan lahir sedemikian tidaklah berdosa kerana bukan keinginan mereka. Mereka perlu tabah menjalani ujian atas kehidupan mereka dengan sentiasa taat pada agama dan bersangka baik atas hikmah sebaliknya.

▪️
Mukhannas, Transgender Adalah Haram Kerana Mengubah Fitrah Dan Jantina

Khunsa tidak berdosa kerana mereka ditaqdirkan lahir dalam keadaan sedemikian. Berbeza dengan golongan mukhannas atau transgender.

Mukhannas ialah mereka memiliki alat kelamin satu sahaja dan jenis jantinyanha namun berkelakuan menyerupai perangai, tingkah laku serta perwatakan jantina yang berbeza. Seperti pondan bagi lelaki menyerupai perempuan. Dan juga tomboy bagi perempuan yang menyerupai lelaki.

Mereka ini melakukan sesuatu yang diharamkan oleh agama dengan mengubah naluri secara fitrah serta mengubah kejadian Tuhan ke atas mereka. Mereka berbeza dengan khunsa sama sekali.

Hadith dari Ibn Abbas bahawa :

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ

Maksudnya :
"Rasulullah SAW melaknat golongan mukhannasin dari kalangan lelaki (iaitu lelaki yang menyerupai wanita)" - riwayat al-Bukhari

Maka mengubah fitrah dari sudut perlakuan yang menjurus kepada pondan, tomboi dan mak nyah (jika yang tidak buat pembedahan jantina) adalah diharamkan oleh agama malah termasuk dalam dosa besar kerana dilaknat oleh Baginda SAW.

Begitu juga transgender yang melakukan pembedahan jantina untuk menukar jantina maka ia berdosa besar kerana mengubah ciptaan Tuhan yang ditetapkan ke atasnya.

Apatah lagi jika manusia mengubah keinginan syahwat seks sehingga melakukan hubungan kelamin sama ada gay, lesbian dan bisexual semuanya diharamkan.

Firman Allah SWT :
إِنَّكُمۡ لَتَأۡتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهۡوَةࣰ مِّن دُونِ ٱلنِّسَاۤءِۚ بَلۡ أَنتُمۡ قَوۡمࣱ مُّسۡرِفُونَ

Maksudnya :
"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas". - Surah al-A'raf : 81

.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2JnUEMi

Comments