ISLAM DAN PEPERANGAN

 ISLAM DAN PEPERANGAN



▪️Perang Bukan Jalan Utama, Sebaliknya Perdamaian


Agama Islam dimomokkan oleh media musuh bahawa ia merupakan agama peperangan. Ia bertujuan mengiyakan label "pengganas" atau "terrorist" ke atas Islam dna umat Islam. Momokan ini diteruskan sehingga jika ada filem, drama dan cerita pastikannya imej muslim dilakonkan sebagai watak pengganas. Secara tidak langsung, pada psikologi yang melihat dan menontot akan mengangguk setuju bahawa Islam itu terrorist.


Sedangkan jika disoroti perjalanan dakwah Rasulullah SAW di Mekah selama 13 tahun iaitu 3 tahun secara rahsia dan 10 tahun pula secara terang-terangan menunjukkan Islam mengambil pendekatan awal dengan bertahan, bersabar dan perdamaian. Bukanlah tidak tercetus peperangan di era Mekah kerana bilangan umat Islam sedikit, ini kerana siri-siri peperangan di era Madinah juga bilangan umat Islam lebih kecil berbanding tentera musuh.


Antara hikmah tidak tercetusnya peperangan di era Mekah sekalipun kalangan umat Islam sudah ada pun pejuang yang hebat lagi gagah seperti Hamzah Abdul Mutallib, Umar al-Khattab, Talhah Ubaidillah dan lain-lain lagi adalah untuk :


1. Mendidik para sahabat bahawa jangan ada bertindak kerana dendam dan emosi.

2. Islam tetap mendahulukan perdamaian.

3. Mengelak berlaku fitnah mendatang yang "menjauhkan" masyarakat di Mekah itu pada Islam.


Ini jelas apabila terdapat iaitu Abdul Rahman bin Auf bersama dua sahabat lain mengadu kepada Rasulullah SAW sebagaimana dalam hadith dari Ibn Abbas iaitu, kata Abdul Rahman bin Auf kepada Baginda SAW :


يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّا كُنَّا فِي عِزٍّ وَنَحْنُ مُشْرِكُونَ ، فَلَمَّا آمَنَّا صِرْنَا أَذِلَّةً ، فَقَالَ : إِنِّي أُمِرْتُ بِالْعَفْوِ ، فَلَا تُقَاتِلُوا


Maksudnya :

Ya Rasulullah, sesungguhnya kami dalam keadaan mulia (dihormati) sewaktu kami dalam keadaan musyrik (sebelum memeluk Islam), maka tatkala kami berima kami dihina (tidak dihormati - musyrik memusuhi). Sabda Baginda SAW : Sesungguhnya aku sehingga saat ini diperintahkan untuk beri maaf (sabar), maka janganlah kamu saling berperang. - riwayat an-Nasa'i


▪️Peperangan Kerana Pertahan Hak, Cegah Kerosakan Musuh


Siri-siri peperangan terjadi apabila jalan perdamaian sudah tidak dapat lagi dicapai. Ini kerana faktor musuh yang tetap tegar memerangi Islam sebagainya tercetus peperangan Badar al-Kubra apabila Abu Sufyan sengaja "mengadu domba" menerusi paparazi Dhamdham bagi memanggil kaum musyrikin yang kononnya Rasulullah SAW dan para sahabat lain ingin membunuhnya. Walhal, kejadian sebenar, misi Baginda SAW adalah mengambil balik hak para sahabat kerana Abu Sufyan keluar ke Syam memperdagangkan barangan para sahabat kalangan muhajirin yang ditinggalkan di Mekah sewaktu keluar berhijrah.


Malahan, peperangan yang tercetus bukanlah kerana niat mencari "kekayaan" menerusi harta rampasan perang ke atas kaum diperangi sebagaimana tradisi kuasa besar terdahulu. Ini sebagaimana di zaman Nabi Ibrahim apabila kerajaan Namrud mendapat harta kerajaannya semakin menyusut maka mereka akan keluar memerangi satu kaum lain bagi tujuan semata-mata "merampas" kekayaan kaum yang diperangi.


Inilah beza dasar peperangan antara tentera Islam dan selainnya. Sekalipun pensyariatan ghaniman ada di zaman Baginda SAW namun ia bukan tujuan utama sebagai pencetus. Tetapi mempertahankan hak adalah tujuan utama. Disebabkan itu, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan di dalam kitabnya "Fiqh al-Jihad" bahaw jihad yang berlaku menerusi peperangan dalam Islam ialah jihad al-difa' iaitu jihad mempertahankan hak.


Ini sebagaimana keizinan berperang kali pertama menerusi firman Allah SWT :


أُذِنَ لِلَّذِینَ یُقَـٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُوا۟ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِیرٌ * ٱلَّذِینَ أُخۡرِجُوا۟ مِن دِیَـٰرِهِم بِغَیۡرِ حَقٍّ إِلَّاۤ أَن یَقُولُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضࣲ لَّهُدِّمَتۡ صَوَ ٰ⁠مِعُ وَبِیَعࣱ وَصَلَوَ ٰ⁠تࣱ وَمَسَـٰجِدُ یُذۡكَرُ فِیهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِیرࣰاۗ وَلَیَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن یَنصُرُهُۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِیٌّ عَزِیزٌ


Maksudnya :

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; - [Surah Al-Hajj 39 - 40]


Dalam ayat di atas juga menyatakan, keizinan peperangan juga adalah bagi mengelakkan berlakunya kerosakan lebih besar lagi kesan dari golongan musuh yangtegar memerangi tanpa mahu berbincang secara damai.


Persiapan berperang adalah untuk menjaga perdamaian, dan peperangan yang tercetus adalah mencegah kerosakan dari penjahat yang berterusan memerangi. Kelalaian dalam mempersiapkan kekuatan perang adalah membuka ruang diperangi dan dihancurkan oleh musuh.


▪️Sifat Khianat Juga Adalah Diperangi


Selain dari mempertahankan hak, sirah Baginda SAW menunjukkan sifat khianat ke atas janji melayakkan mereka diperangi. Ini kerana perjanjian yang diikat demi perdamaian, keamanan dan ketenteraman, namun jika ia dicabuli secara maksud tersirat ia membawa maksud ke arah perkara sebaliknya oleh pihak pengkhianat. Maka wajar pengkhiamat diperangi, bagi mengekalkan suasana damai, aman dan selamat.


Antara yang terjadi peperangan ke atas pengkhinatan ialah peperangan Banu Nadhir yang membawa kesan kepada Yahudi Bani Nadhir dihalau dari Madinah. Begitu juga Yahudi Bani Quraizah yang dibunuh, tawan dan halau kerana Yahudi Bani Quraizah termakan ajakan jahat Tentera Ahzab bagi Yahudi Bani Quraizah menyerang Islam dari dalam pada sudut Selatan Madinah setelah mana gabungan tentera Ahzab dari luar kota Madinah menemui jalan buntu untuk masuk mereka kerana tersekat dengan startegi parit oleh tentera Islam.


Maka Bani Nadhir dan Bani Quraizah melakukan pengkhiantan ke atas Piagam Madinah yang sepatutnya warganegara Madinah sama ada kalangan muslim atau bukan Islam wajib sama-sama mempertahankan negara dari diserang musuh. Namun mereka iaitu Yahudi yang sedia ada sifat dendam ke atas Rasulullah SAW akhirnya bersepakat dengan musuh luar untuk menyerang Islam. Mala sifat khianat ini sehingga menggadaikan kedaulatan dan keselamatan negara ditentang dan diperangi. Tidak ada mana-mana sistem dan perundangan yang pastinya boleh bersetuju dengan sifat khianat sebegini.


Firman Allah SWT :


(وَأَنزَلَ ٱلَّذِینَ ظَـٰهَرُوهُم مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ مِن صَیَاصِیهِمۡ وَقَذَفَ فِی قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعۡبَ فَرِیقࣰا تَقۡتُلُونَ وَتَأۡسِرُونَ فَرِیقࣰا)


Maksudnya :

Dan Ia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman); sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan. - [Surah Al-Ahzab 26]


▪️Peperangan Pertahan, Penerangan Sebaran


Jika sudah difahami, peperangan bukanlah jalan utama dan pilihan awal maka berhati-hati dengan rekaan cerita yang mahu menggambarkan kononnya manusia memeluk Islam kerana terpaksa atau menerusi mata pedang.


Malahan mereka cuba menyelewengkan konteks nas yang asal bagi mengiyakan rekaan cerita jahat tersebut seperti :


1. Seruan ayat al-Quran untuk membunuh siapa sahaja kalangan musyrikin yang ditemui. Walhal ayat tersebut dalam konteks peperangan bukan dalam konteks keadaan biasa, yang bukan sewaktu tercetus peperangan.


Malahan ayat sebelumnya memperincikan peperangan itu ke atas musuh yang memerangi Islam, bukan kerana agama mereka yang selain Islam. Akan tetapi kerana sikap mereka memulakan tindakan memerangi Islam.


Firman Allah SWT :


وَقَـٰتِلُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِینَ یُقَـٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِینَ * وَٱقۡتُلُوهُمۡ حَیۡثُ ثَقِفۡتُمُوهُمۡ وَأَخۡرِجُوهُم مِّنۡ حَیۡثُ أَخۡرَجُوكُمۡۚ 


Maksudnya :

Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu;  - [Surah Al-Baqarah 190 - 191]


2. Hadith mengenai ganjaran syurga buat para syahid menjadi modal jahat musuh seleweng maksud nas hadith kononnya Islam meniup semangat keganasan dalam diri umat Islam. Sebagaimana juga hadith berkaitan syurga di bawah bayangan pedang-pedang.


Hakikatnya, wurud hadith juga adalah dalam keadaan atau suasana sedang berperang. Menjadikan ia sebagai motivasi kepada tentera Islam agar tidak gentar dan lari dari medan perang. Ia bukanlah dalam konteks suasana biasa yang bukan peperangan sedang tercetus.


Maka kekuatan dakwah dan seruan ialah pada gerak kerja penerangan antaranya secara khususnya selain penampilan akhlak terpuji. Penerangan adalah gerak kerja awal Baginda SAW sejak awal sama ada di era Mekah atau Madinah.


Lihat bagaimana ditaqdirkan Allah SWT bahawa Rasulullah SAW yang ditemani  Sayiduna Abu Bakr menemui kabilah-kabilah Arab yang datang dari kota Mekah pada musim Haji bagi melakukan dan rundingan kerjasama.


Begitulah juga kegigigan Baginda SAW dalam memperkasakan penerangan dengan pihak berpengaruh dan mempunyai kedudukan seperti :


1. Menemui pembesar-pembesar kabilag semasa era Mekah.

2. Mengutus surat ke Raja-raja di negara sekitar Madinah semasa tempoh genjatan senjata.

3. Mengajak dialog bersama kalangan pendeta dan para rahib kalangan Yahudi dan Nasrani.


Justeru, jelas peperangan dalam Islam bukanlah sebagaimana yang digambarkan oleh musuh Islam. Namun Islam tersebar bukan kerana paksaan dan kekerasan tetapi kerana kejayaan dalam menyampaikan penerangan ditambah penampilan menunjukkan akhlak yang mulia.


.

Disediakan oleh :

Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman


Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2NGDOKu

Comments