ISLAM DAN PERPADUAN
Menjaga Hak Majoriti
Realiti di Malaysia : lebih 20 juta penganut Islam di Malaysia. Ini bilangan Majoriti. Ia merupakan teras kepada kekuatan. Majoriti yang dimanfaatkan dengan tidak bercanggah dengan syarak adalah diterima dalam Islam. Dominan penganut Islam ialah kalangan kaum melayu yang meliputi 69 peratus dan lebih berbanding kaum lain.
Perpaduan dengan menjaga hak majoriti ini bukannya bermaksud taaksub perkauman dan bukan juga rasis. Namun ia memelihara kestabilan bilangan menerusi bilangan majoriti yang ada kerana ia merupakan suara yang besar lagi dominan. Justeru, selagi tidak bercanggah dengan syariat maka ia diperbolehkan.
Malahan ini ynag ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam sesuatu urusan keduniaan yang terbuka kepada ruangan ijtihad dan pandangan.
Dalam satu hadith, Baginda SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar al-Khattab :
لَو اجْتَمَعْتُمَا فِي مَشُورَةٍ مَا خَالَفْتُكُمَا
Maksudnya :
"Sekiranya kamu berdua bersepakat dalam satu pandangan, maka aku tidak akan bertentangan dengan kamu."- Ahmad.
Hadith ini menjadi dalil bahawa Nabi SAW memperakui akan suara majoriti. Malah terdapat lagi dalil lain seperti Baginda SAW berpegang teguh pada keputusan majoriti apabila kebanyakkan sahabat bersetuju untuk berperang di luar kota Madinah dalam peperangan Uhud.
Walaupun pada asalnya Baginda SAW lebih berpandangan berada di dalam kota Madinah. Namun apabila majoriti memilih keputusan berperang di luar Madinah, lihat sikap Baginda SAW menerusi hadith dari Jabir bin Abdullah bahawa Baginda SAW bersabda :
ليس لِنَبيٍّ إذا لَبِسَ لَأْمَتَه أنْ يَضَعَها حتى يُقاتِلَ
Maksudnya :
"Tidak ada bagi seorang Nabi apabila ia telah menyarung baju besi (baju perang) untuk ditanggalkan sehingga ia berperang." an-Nasa'i
Begitu juga dalam negara Malaysua yang mengamalkan kerangka demokrasi maka majoriti adalah sebuah kekuatan. Menjaga bilangan majoriti adalah menuju perpaduan dan memelihara kestabilan.
Justeru, pelajari dari hadith Baginda SAW : الأئمة من قريش, yang bermaksud pemimpin kalangan Quraisy itu, iaitu disebutkan oleh Ibn Khaldun bahawa perbincangan hadith tersebut ialah maqasidnya merujuk kepada pendokong yang kuat dengan sokongan majoriti agar berlaku kestabilan politik sesebuah negara atay wilayah.
Menghormati Agama Islam Sebagai Pasak Kestabilan
Kestabilan politik ini mesti diletakkan terasnya ialah Islam. Kerana peruntukan dalam Perlembagaan pada Perkara 3(1) ialah Islam agama Persekutuan. Islam menjadi identiti negara sekalipun terdapat perbahasan bahawa peruntukan tidak menyebut secara zahir "agama Islam", namun hanya menyebut "agama Persekutuan". Sungguhpun begitu, agama Islam masih lagi :
1. Menjadi identiti negara.
2. YDP Agong merupakan ketua negara kalangan melayu Muslim.
3. Mengekalkan sejarah melayu yang sinonim dengan tafsiran penganut Islam menerusi Perlembagaan.
4. Raja-raja negeri menjadi ketua agama di negeri masing-masing yang ditadbir.
5. Islam masih bersifat dominan kerana ia disebut secara khusus.
Perpaduan yang kukuh hanyalah dengan tali agama Allah. Inilah yang diperintahkan oleh Allah menerusi firman-Nya :
وَٱعۡتَصِمُوا۟ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِیعࣰا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ۚ وَٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَاۤءࣰ فَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَ ٰنࣰا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةࣲ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَ ٰلِكَ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَایَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ
Maksudnya :
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." - [Surah Ali Imran 103]
Berdasarkan sejarah Islam, apabila Islam berkuasa di sesuatu tempat, maka semua bangsa berada di bawahnya akan selamat dan mendapat kesejahteraan. Islam agama membawa keadilan dan kesejahteraan pada semua. Lihat bagaimana Islam di Madinah tidak menghalau atau menyeksa kaum musyrikin Mekah yang datang ke Madinah. Malah jika diminta atau diberi upah untuk menjaga keselamatan mereka Islam memerintahkan umatnya untuk menerimanya.
Firman Allah SWT :
وَإِنۡ أَحَدࣱ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِینَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ یَسۡمَعَ كَلَـٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَ ٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمࣱ لَّا یَعۡلَمُونَ
Maksudnya :
"Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)." - [Surah At-Tawbah 6]
Adapun realiti dunia hari ini apabila sesuatu tempat Islam minoriti dan tidak berkuasa maka berlakunya isu kemanusiaan dan kezaliman khususnya ke atas penganut Islam itu sendiri yang minoriti sebagaimana kita saksikan :
1. Penghapusan etnik Rohingya di sempadan Myammar oleh penganut Buddha Ektremis.
2. Penindasan dan kezaliman ke atas umat Islam etnik Uighyur di wilayah Xianjiang, Barat China oleh China Komunis.
3. Umat Islam di India oleh Hindu Ektremis.
Mengharmonikan Kesejahteraan Dalam Masyarakat Majmuk
Kesatuan berasaskan Islam tidak bermaksud meminggirkan penganut bukan beragama Islam apatah lagi bersifat rasis. Ini kerana tindakan Nabi SAW dalam penyatuan sahabat kalangan muhajirin dan ansar serta aus dan khazraj agar mewujudkan :
a. Kekuatan ummah Islam
b. Kestabilan politik
c. Keamanan sejagat umum
Dalam masa yang sama Islam iktiraf peranan penganut bukan Islam selagimana mereka tidak memerangi Islam iaitu harbi. Selain itu, semua penganut bukan Islam layak diberikan hak kemanusiaan, kemsyarakatan dan kewarganegaraan dalam sesebuh negara yang diduduki.
Ia ditunjukkan oleh Baginda SAW dalam piagam Madinah yang dibahagikan dua. 23 fasal mengenai hak dan tanggungjawab orang Islam manakala 24 fasal mengenai hak dan tanggungjawab penganut bukan Islam.
Jelas, Islam tidak menafikan kewujudan masyarakat majmuk termasuk kalangan penduduk kalangan penganut selain Islam. Peranan bukan Islam ada pada tempatnya. Dalam konteks kenegaraan moden, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya "Fiqh Kenegaraan (من فقه الدولة في الإسلام)" menegaskan 3 jawatan posisi penting yang mesti dipelihara dari penganut bukan Islam dalam sebuah negara moden iaitu :
1. Jawatan tertinggi eksekutif.
2. Jawatan melibatkan hal ehwal agama.
3. Jawatan yang melibatkan rahsia keselamatan dan sulit negara.
Ia bagi berwaspada awal dari sebarang kemungkinan namun tidak menegah dari jawatan atau posisi yang boleh dimanfaatkan pada urusan dan kemahiran duniawi. Malahan, kerjasama dengan penganut bukan Islam ada keharusan dengan bersyarat. Malahan semasa hijrah Rasulullah SAW dan Sayiduna Abu Bakr, diupah seorang bukan Islam, Abdullah bin Uraiqit sebagai petunjuk jalan ke Madinah menerusi jalan yang bukan kebiasaan laluan pedagang bagi mengelak dari bertembung dengan pihak musyrikin Mekah yang sedang memburu Baginda SAW.
Pengajaran juga boleh dilihat bagaimana pengiktirafan Baginda SAW ke atas Perjanjian Fudhul. Walaupun ketika itu Nabi SAW belum dilantik menjadi seorang nabi dan rasul. Perjanjian yang ditunjukkan menafikan semangat jahiliyah yang keji yang berlaku di kalangan kabilah-kabilah arab Mekah ketika itu iaitu ketaasuban dalam membela kabilah masing-masing. Namun dengan tercetusnya perjanjian ini, maslahat umum menjadi persepakatan bersama dalam memastikan tidak ada unsur kezaliman dan pihak yang dizalimi akan dibela.
Baginda SAW bersabda :
لَقَدْ شَهَدْتُ مَعَ عُمومَتِي حِلْفًا فِي دارِ عَبْد الله بن جُدْعان ما أُحِبُّ أَنَّ لي به حُمْرَ النَّعَمِ وَلَوْ دُعِيْتُ به في الإسلام لَأَجَبْتُ
Maksudnya :
“Sesungguhnya aku telah menyaksikan bersama-sama dengan bapa saudaraku akan perjanjian (perjanjian Fudhul) yang berlaku di rumah Abdullah bin Jud’an. Maka (perjanjian tersebut) lebih aku sukai daripada unta merah (unta yang berharga mahal dan kualiti tinggi). Dan sekiranya aku dijemput untuk (bersama-sama) dengan perjanjian tersebut ketika Islam (selepas wahyu diturunkan), nescaya akan aku sahut.” – Ahmad no 1567
Jelas menunjukkan perjanjian yang dilakukan walaupun pada zaman jahiliyyah dan dilakukan oleh masyarakat bukan Islam namun sekiranya ia membawa kebaikan umum yang bertepatan dengan kehendak Islam, nescaya Nabi SAW akan bersama-sama dalam kerjasama tersebut. Ini kerana perjanjian tersebut tidak melanggar kehendak Islam dan dengan perjanjian tersebut memberikan kekuatan yang lebih apabila masyarakat bukan Islam juga membantu Islam dalam membawa apa yang dikehendaki oleh Islam.
Mendahulukan Jalan Perdamaian Dan Kesejahteraan
Ummah kena bersatu berpaksikan Islam. Meletakkan kepentingan Islam dihadapan. Perkara yang menguntungkan Islam maka diutamakan dari kepentingan perasaan dan emosi peribadi. Seperti pembukaan Kota Mekah, semua diberi pengampunan. Tiada setitik darah yang mengalir. Ramai yang masuk Islam termasuklah "kepala-kepala" atau ketua² yang berperang dengan Islam terdahulu. Ikut emosi susah nak maafkan. Kerana dan untuk Islam, maka Islam diutamakan dari emosi.
Abu Sufyan yang menjadi dalang tercetus peperangan Badar, Hindun yang membelah dada dan memamah hati /jantung Sayiduna Hamzah kemudian meludahkannya, Ikrimah anak Abu Jahal yang dendam atas terbunuhnya ayahnya iaitu Abu Jahal dalam perang Badar, Suhail antara perunding dari musyrikin waktu rundingan Hudibiyah yang cengih dan banyak lagi, masuk Islam semasa pembukaan kota Mekah, dimaafkan diterima. Kalau ikut emosi susah tapi kerana Islam kita terima. Inilah mengutamakan kepentingan demi Islam.
Kuatnya ummah kerana penyatuan berasaskan agama. Runtuhnya kekuatan apabila ummah tidak bersatu, tidak meletakkan kepentingan Islam serta mengambil kuasa asing untuk campuri urusan dalaman ummah. Lihat sejarah, walau dunia Islam diuji dengan musibah besar dengan tercetus peperangan Siffin antara puak Sayiduna Ali Abu Talib dengan puak Sayiduna Muawiyah Abu Sufyan tetapi kerajaan Islam di Madinah tidak jatuh. Kenapa? Kerana mereka tidak panggil kuasa asing campuri urusan dalaman.
Malahan, Islam mengajar umatnya untuk mendahulukan jalan kesejahteraan dan perdamaian selagimana zahir ke arah itu terbuka dan wujud. Inilah Islam, yang membawa maksud kesejahteraan dan sentiasa membuka peluang perpaduan kepada mereka yang berkehendak dan niat.
Sehingga jika sedang berperang, musuh mahu berdamai maka perintah Islam kena terima perdamaian yang dihulurkan. Ini kerana matlamat utama ialah pertahankan hak dan bukan politik benci dendam.
Firman Allah SWT.
۞ وَإِن جَنَحُوا۟ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ * وَإِن یُرِیدُوۤا۟ أَن یَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِیۤ أَیَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِینَ
Maksudnya :
Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman." - [Surah Al-Anfal 61- 62]
Menolak Sebarang Unsur Khianat
Islam menolak sebarang pengkhianatan sama ada musuh dalam atau luar. Jika dahulu peperangan berlaku kerana dua sebab :
1. Serangan musuh yang memulakan.
2. Pengkhianatan yang berlaku.
Islam tidak berperang melainkan ia bersifat mempertahankan hak yang dipanggil جهاد الدفاع. Malah Islam tidak memusuhi penganut bukan Islam disebabkan mereka kafir. Kafir seseorang itu adalah prospek dakwah bukan alasan untuk berlaku peperangan.
Namun jika non muslim menentang dan memerangi Islam maka nilai akidah adalah tertinggi yang mesti dipertahankan. Seperti Yahudi Bani Nadhir yang dihalau dari Madinah. Bukan kerana mereka bukan Islam tetapi mereka jual maklumat sulit kepada tentera ahzab. Ini bahaya. Keselamatan negara didedahkan kepada musuh. Sebab itu mereka dihalau. Tidak ada mana-mana negara yang setuju tindakan bocor maklumat dalaman dan sulit kepada pihak musuh.
Perpaduan yang dibentuk tidak boleh dibentuk bersekali dengan kumpulan yang mengkhianti. Sebab itu, akhirnya Yahudi Bani Quraizah diperangi dan dihalau dari Madinah kerana mereka khianati Piagam Madinah.
Justeru, titik perpaduan tidak akan tercapai jika adanya sebarang unsur khianat sepertimana kesejahteraan Madinah menjadi terancam dengan sifat munafik yang ada. Ini dapat dilihat pada kelakuan jahat mereka :
1. Melarikan 300 tentera Islam dari Peperangan Uhud.
2. Fitnah ke atas Sayidatina Aisyah dengan Safwan bin Muattal balik dari Peperangan Bani Mustaliq.
3. Menghasut umat Islam tidak keluar ke Peperangan Tabuk atas alasan cuaca panas terik.
4. Mengejek infaq dari Abu Uqail yang sedikit dalam Peperangan Tabuk.
5. Pembinaan "masjid dhirar" selepas peperangan Tabuk bagi menawan hati Baginda SAW sedangkan tujuan untuk pecah belah umat Islam.
Tuntasnya, perpaduan dapat dibina sebagaimana yang dinyatakan di atas iaitu :
1. Menjaga hak majoriti.
2. Menghormati Islam sebagai pasak kestabilan.
3. Mengharmonikan kesejahteraan dalam masyarakat majmuk.
4. Mendahulukan jalan perdamaian dan kesejahteraan.
5. Menolak sebarang unsur khianat.
.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman
Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3atidPq
Comments
Post a Comment