ISLAM DAN PIHAK YANG MEMUSUHI

ISLAM DAN PIHAK YANG MEMUSUHI


▪️Setiap Zaman Ada Musuhnya

Kehidupan di dunia tidak akan sunyi dari sunyi mereka yang memusuhi Islam. Permusuhan ini timbul apabila mereka yang memusuhi tidak mahu menerima Islam dan tunduk pada perintah Allah. Mereka bermusuh dengan sebab-sebab seperti :

1. Mempertahankan kepentingan duniawi.
2. Mempunyai agenda tersendiri yang tidak sehaluan dengan Islam. 
2. Hasad dengki.
3. Kejahilan diri.

Malah sebaik-baik manusia dan makhluk iaitu Rasulullah SAW turut diuji atas Baginda SAW dengan wujudnya musuh yang menentang. Mereka yang menentang bukan hanya dari pihak asing malah dari kalangan terdekat juga.

Firman Allah SWT :


وَكَذَ ٰ⁠لِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِیٍّ عَدُوࣰّا شَیَـٰطِینَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ یُوحِی بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضࣲ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورࣰاۚ وَلَوۡ شَاۤءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُۖ فَذَرۡهُمۡ وَمَا یَفۡتَرُونَ

Maksudnya :
"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu. " - [Surah Al-An'am 112]

Bahkan dalam peperangan Badar al-Kubra, dengan terbunuhnya Abu Jahal, maka Rasulullah SAW menyifatkan Abu Jahal sebagai "firaun" bagi umat ini :


هذا فرع ون هذه الأمة

Maksudnya :
"Ini Firaun (iaitu Abu Jahal) bagi umat ini"

Dinisbahkan kepada firaun adalah merujuk kepada sifat iaitu menentang dan melawan Islam dengan kesombongan atas kemegahan pengaruh dan pengikut yang dimiliki. Maka sesiala sahaja bersifat dengan sifat firaun berikut maka ia adalag tergolongan dalam kalangan memusuhi Islam.

▪️Hanya Allah Sebagai Pembela Dan Penolong

Dalam berhadapan dengan musuh, keyakinan mesti teguh agar tidak goyah dengan mengalah kepada musuh. Kalah kepada musuh ialah bukan bermaksud kalah dalam bertempur. Kalah kepada musuh ialah kita meninggalkan dasar dan berpaling dari Islam demi mendapatkan keredhaan musuh-musuh.

Islam tidak akan kalah selagi berpegang dengan Islam dan bergantung harap kepada Allah. Malah Allah mengajar teladan menerusi Rasulullah SAW dalam menghadapi musuh ialah dengan keyakinan teguh hanya Allah pemberi petunjuk dan memberi pertolongan.

Firman Allah SWT :


وَكَذَ ٰ⁠لِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِیٍّ عَدُوࣰّا مِّنَ ٱلۡمُجۡرِمِینَۗ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ هَادِیࣰا وَنَصِیرࣰا

Bermaksud :
"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka)." - [Surah Al-Furqan 31]

Kehinaan ke atas umat Islam apabila mereka berpaling dari Islam dan mencari musuh sebagai pelindung. Itu sikap keji kerana meninggalkan kemuliaan bersama Islam demi kepentingan diri dan dunia yang bersifat sementara.

Firman Allah SWT :


وَلَا تَهِنُوا۟ فِی ٱبۡتِغَاۤءِ ٱلۡقَوۡمِۖ إِن تَكُونُوا۟ تَأۡلَمُونَ فَإِنَّهُمۡ یَأۡلَمُونَ كَمَا تَأۡلَمُونَۖ وَتَرۡجُونَ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا یَرۡجُونَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِیمًا حَكِیمًا

Maksudnya :
"Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."
[Surah An-Nisa' 104]

Maksud yang dikehendaki pada konteks larangan فِی ٱبۡتِغَاۤءِ ٱلۡقَوۡمِۖ ialah kita mahu bersama-sama dengan musuh Islam. Ini disebabkan merasa mulia atau mahukan kemenangan dengan bersama kumpulan yang memusuhi Islam dengan kekuatan yang mereka ada.

Hakikatnya kemuliaan adalah dengan kekal konsisten bersama dengan Allah dan Rasul-Nya. Bukan pada ukuran materalistik atau zahir duniawi semata-mata.

Firman Allah SWT :

یَقُولُونَ لَىِٕن رَّجَعۡنَاۤ إِلَى ٱلۡمَدِینَةِ لَیُخۡرِجَنَّ ٱلۡأَعَزُّ مِنۡهَا ٱلۡأَذَلَّۚ وَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلۡمُؤۡمِنِینَ وَلَـٰكِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِینَ لَا یَعۡلَمُونَ

Maksudnya :
"Mereka (golongan munafiq) berkata lagi: " Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)". Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." - [Surah Al-Munafiqun 8]

▪️Menjawab Isu Yang Dipolemik Oleh Musuh

Pihak musuh akan sentiasa menimbulkan isu yang kontroversi bagi menimbulkan lambakan gerak kerja bagi perjuangan Islam. Isu kontroversi dicipta bagi mengalihkan isu dan fokus sepatutnya digerakkan dalam perjuangan. Bahkan isu kontroversi sengaja diletupkan bagi melalaikan pejuang Islam daripada melakukan gerak kerja asas.

Sebab itu, isu perlu dijawab agar tidak menimbulkan kecelaruan kepada masyarakat yang memerhati. Isu juga perlu dijawab agar penyokong perjuangan Islam tidak keliru dan lari daripada sokongan yang diberikan. Isu perlu dijawab agar menunjukkan perjuangan yang dibawa berdiri atas hujah dan fakta yang benar dan relevan.

Namun, isu yang mendatang tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada gerak kerja asas perjuangan. Isu yang mendatang bukanlah menjadi bebanan kepada pejuang Islam untuk membuat alasan agar memberhentikan gerak kerja asas perjuangan. Isu yang mendatang tidak sepatutnya melarikan fokus perjuangan yang dibentangkan kepada masyarakat. 

Sebab itu cara menjawab isu kadang kala dengan kenyataan, gerak kerja (lisanul hal), atau juga dengan sokongan pihak ketiga. Lihat bagaimana Nabi Muhammad SAW menjawab isu-isu yang dihadapi di zaman baginda SAW :

1) Melalui teladan dan gerak kerja (lisanul hal)

Tohmahan dan pendustaan yang dilemparkan oleh musyrikin Mekah ke atas batang tubuh Baginda SAW seperti gila, sihir dan sebagainya tidak dijawab secara lisan oleh Baginda SAW. Akhlak Baginda SAW menjawab secara langsung teehadap isu yang sengaja ditimbulkan oleh musyrikin Mekah.

Justeru, akhlak Baginda SAW adalah terpuji yang tidak boleh dinafikan oleh manusia yang berfikir secara waras. Disebabkan itu, terdapat penduduk Mekah yang tidak beriman kepada Baginda SAW namun mereka tetap memberi barangan mereka apabila mereka keluar berdagang di luar Mekah kerana hakikatnya hati mereka tetap meyakini sifat amanah dan baik Baginda SAW. 

Firman Allah SWT :

وَجَحَدُوا۟ بِهَا وَٱسۡتَیۡقَنَتۡهَاۤ أَنفُسُهُمۡ ظُلۡمࣰا وَعُلُوࣰّاۚ فَٱنظُرۡ كَیۡفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلۡمُفۡسِدِینَ

Maksudnya :
"Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan."  - [Surah An-Naml 14]

2) Melalui sokongan pihak ketiga

Dalam peristiwa Isra dan Mikraj, apabila Baginda SAW menceritakan apa yang dilaluinya, lalu cerita tersebut difitnah sehingga menyebabkan kekeliruan kepada umat Islam. Lalu tampillah Sayiduna Abu Bakar as-Siddiq dalam membenarkan apa yang diceritakan oleh baginda SAW dengan menjawab : 

Ucapan Sayiduna Abu Bakr :

وَاللهِ لَئِن كَانَ قَالَهُ لَقَد صَدَقَ، فَمَا يُعجِبُكُم مِن ذَلِكَ؟ فَوَ اللهِ إِنَّهُ لَيُخبِرُنِي أَنَّ الخَبَرَ يَأتِيهِ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الأَرضِ فِي سَاعَةٍ مِن لَيلٍ أَو نَهَارٍ، فَأُصَدِّقُهُ.[22]

Maksudnya :
"Demi Allah jika saja Baginda SAW berkata lebih dari itu pun pasti Baginda mengatakan kebenaran!, maka apa yang menyebabkan kalian merasa hairan dengan itu?, Demi Allah sungguh Baginda SAW memberitakan kepadaku bahawa berita tersebut datang dari langit ke bumi dalam satu waktu dari satu malam ataupun siang, maka pasti aku membenarkannya!". - rujuk Sirah Ibn Kathir dan Sirah Ibn Hisyam

Justeru, Tuan empunya badan yang ditohmah tidak menjawab secara langsung namun dibantu oleh pihak ketiga dalam menjelaskan isu yang berlaku kerana pihak ketiga mempunyai pengaruh terhadap orang ramai. Sekaligus memadamkan tohmahan yang berlegar. Ini juga peranan yang boleh dimainkan oleh penyokong terhadap pihak kepimpinan yang diserang dengan tohmahan. Memadai dengan jawapan dari pihak penyokong dalam memberi respon tanpa pihak pimpinan yang menjawab. 

3) Melalui jawapan secara kenyataan lisan secara segera

Dalam kisah mengenai sikap masyarakat arab apabila seorang bangsawan yang mencuri lalu dilepaskan manakala apabila orang biasa melakukan kesalahan yang sama dijatuhkan hukuman. Menjadikan sistem pengadilan adalah "double standard". Sistem sebegini disanggah oleh Baginda SAW dengan lantas bersabda :

إنَّمَا أهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيِهمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ ، أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ ، وَايْمُ اللهِ لَوْ أنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا

Maksudnya :
"Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu binasa kerana bila ada orang terpandang di antara mereka yang mencuri, mereka membiarkannya; dan bila orang lemah yang mencuri, maka mereka tegakkan hukum atasnya. Demi Allah, andaikata Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Kenyataan segera yang dikeluarkan oleh Baginda SAW menunjukkan ketegasan terhadap isu besar yang perlu dijawab segera agar tidak berlaku penyelewengan yang berterusan dan juga salah faham yang bakal timbul merosakkan. 

4) Ade masa jawapan secara bertangguh, iaitu tidak dijawab secara terus. Ini kerana asas pendirian telah ada. Kenyataan dijawab kemudian pada masa yang sesuai kerana asasnya dengan pendirian awal dah ada sudah memadai. 

Ia sebagaimana dalam isu fitnah iaitu hadithul ifki, fitnah yang dilemparkan oleh golongan munafik di bawah kendalian Abdullah bin Ubai bin Salul terhadap Sayidatina Aisyah bersama Safwan bin Muattal. Wahyu tidak turun sekitar sebulan dan berlaku beberapa kekecohan di Madinah. Perincian kisah ini boleh rujuk pada artikel yang lepas di :
https://bit.ly/3bHPGWy

Ini kerana asas pendirian awal yang telah ditetapkan ialah sebarang tuduhan fitnah tanpa membawa 4 saksi maka ia tertolak terus. Jika berpegang dengan pendirian asas sudah memadai menjawab isu dan menolak tohmahan tersebut.

Firman Allah SWT :

لَّوۡلَا جَاۤءُو عَلَیۡهِ بِأَرۡبَعَةِ شُهَدَاۤءَۚ فَإِذۡ لَمۡ یَأۡتُوا۟ بِٱلشُّهَدَاۤءِ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡكَـٰذِبُونَ

Maksudnya :
"Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta." - 
[Surah An-Nur 13]

▪️Semua Kita Akan Mati, Semua Dihitung Di Akhirat

Dunia adalah tempat ujian. Ada masanya diuji dengan kemenangan agar umat Islam bersyukur dan memuji Allah. Ada masanya manusia diuji dengan kekalahan di dunia agar umat Islam bersabar dan bermuhasabah dengan kelemahan dan kesilapan diri.

Sehubungan itu, jangan berputus asa di dunia jika tekanan kuat dari musuh yang memiliki kelebihan. Ini kerana setiap kita akan mati. Yang baik akan mati, yang jahat memusuhi Islam pun akan mati. Kesemua kita akan diperhitungkan segalanya tindakan semasa di dunia tanpa ada yang boleh melepaskan diri.

Di akhirat, keadilan Allah Maha Adil lagi telus. Tidak seperti di dunia. Di akhirat, yang baik pasti menerima ganjaran baik. Yang jahat memusuhi Islam pastinya menerima balasan buruk.

Firman Allah SWT :

كُلُّ نَفۡسࣲ ذَاۤىِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَكُمۡ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَیَوٰةُ ٱلدُّنۡیَاۤ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ * ۞ لَتُبۡلَوُنَّ فِیۤ أَمۡوَ ٰ⁠لِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ وَلَتَسۡمَعُنَّ مِنَ ٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ وَمِنَ ٱلَّذِینَ أَشۡرَكُوۤا۟ أَذࣰى كَثِیرࣰاۚ وَإِن تَصۡبِرُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَإِنَّ ذَ ٰ⁠لِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ

Maksudnya :
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)." - [Surah Ali Imran 185 - 186]

Sebab itu berhati-hatilah bagi sesiapa yang memusuhi Islam. Mungkin di dunia kesannya ditangguhkan namjn ke di akhirat ialah menjadi muflis. Muflis di akhirat ialah pahala yang selama ini dikerjakan habis terpaksa diberi kepada mereka yang kita aniayai semasa di dunia malah terpaksa pula memikul dosa orang lain pula.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مِن الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ لَا لَهُ دِرْهَمَ وَلَا دِينَارَ وَلَا مَتَاعَ قَالَ الْمُفْلِسُ مِنْ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ يَأْتِي بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ عِرْضَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُقْعَدُ فَيَقْتَصُّ هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Maksudnya :
“Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?” Para sahabat menjawab; “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.” Baginda bersabda: “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditompukkan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” - riwayat Ahmad

.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3aJZj79

Comments