ISLAM DAN SEDEKAH

ISLAM DAN SEDEKAH


▪️ Sedekah Ialah Memberikan Harta Di Jalan Allah

Perkataan sedekah diambil dari kalimah arab iaitu sadaqah (صدقة). Secara umum ia memberi maksud ke atas pemberian harta seseorang di jalan Allah. Konteks sedekah berbeza mengikut hukumnya :-

a. Sedekah Wajib iaitu zakat.
b. Sedekah Jariyah iaitu waqaf
c. Sadaqah Umum iaitu sedekah sunat atau biasanya disebut infaq dan derma.

Kesemuanya melibatkan harta seseorang untuk kebajikan di jalan Allah kerana :

1. Melepaskan hak pemilikan ke atas harta tersebut bagi kegunaan kebajikan dan ummah.
2. Kesemuanya dikira berpahala dengan niat yang ikhlas dan tanpa ada ungkitan atau menghina ke atas penerima serta tidak bersifat riyak.

Firman Allah SWT :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تُبۡطِلُوا۟ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِی یُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَاۤءَ ٱلنَّاسِ وَلَا یُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَیۡهِ تُرَابࣱ فَأَصَابَهُۥ وَابِلࣱ فَتَرَكَهُۥ صَلۡدࣰاۖ لَّا یَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَیۡءࣲ مِّمَّا كَسَبُوا۟ۗ وَٱللَّهُ لَا یَهۡدِی ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَـٰفِرِینَ

Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir." - [Surah Al-Baqarah 264]

Yang membezakan antara ketiga-tiga konteks tersebut ialah :

1. Pada sudut hukum. Zakat adalah wajib manakala yang lain bersunat sunat.
2. Wakaf ialah pemberian zat harta yang kekal bagi manfaat yang berterusan. Berbeza dengan zakat dan infaq umum.

Ibadah manusia tidak hanya pada jiwa tetapi juga melibatkan ke atas harta. Imam al-Ghazali di dalam kitabnya "Minhaj al-'Abidin" menyatakan antara 4 golongan yang tertipu dengan ilmu, antaranya ialah mereka yang hanya melaksanakan ibadah badaniyah tetapi melupai ibadah maliyyah (ibadah ke atas harta).

Sedekah tidak hanya menjanjikan fadhilat yang besar dan banyak. Ia juga mentarbiyah manusia dalam menilai "kiraan syarak" berbanding "kiraan matematik dunia". Di sinilah nilai yang ada pada tarbiyah "sedekah".

Kiraan matematik dunia ialah apabila manusia memberikan hartanya maka hartanya akan berkurangan.

Namun pada kiraan syarak : apabila manusia memberikan hartanya di jalan Allah maka hartanya bertambah sama ada dalam bentuk keberkatan dan pelbagai. Perumpaan yang dibuat oleh Allah atas sedekah ialah sehingga 700 kali ganda.

Firman Allah SWT :

مَّثَلُ ٱلَّذِینَ یُنفِقُونَ أَمۡوَ ٰ⁠لَهُمۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِی كُلِّ سُنۢبُلَةࣲ مِّا۟ئَةُ حَبَّةࣲۗ وَٱللَّهُ یُضَـٰعِفُ لِمَن یَشَاۤءُۚ وَٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعٌ عَلِیمٌ

Maksudnya :
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya." - [Surah Al-Baqarah 261]

▪️Sedekah Membenarkan Janji Allah

Kalimah arab iaitu sadaqa (shad, dal dan qaf) memberi maksud benar. Tarbiyah menerusi sedekah ini di dalamnya menuntut manusia membenarkan janji Allah. Inilah keutamaan yang diajar agar manusia mengutamakan akhirat berbanding dunia yang nilainya lebih kecil dan sementara.

Firman Allah :

فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

"Kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak." - Surah al-Taubah : 38

Sedekah yang merujuk infaq juga digambarkan oleh Allah mengenai penyesalan seseorang yang tidak sempat melakukan ibadah harta sewaktu hidup. Ia dirakamkan dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT :

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya :
"Dan belanjakanlah (infaq) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat sedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". - Surah al-Munafiqun : 10

Para ulama menyatakan ibadah sunat asasnya tidak mengatasi ibadah wajib. Namun konteks ayat di atas penyelesan seseorang tersebut dan jika diberikan peluang dilewatkan ajalnya maka ia berjanji untuk bersedekah kerana :

i. menunjukkan kelebihan sedekah yang mempunyai ganjaran yang besar.
ii. masalah yang berlaku ke atas kehidipan manusia apabila mementingkan dunia dan tidak membenarkan janji Allah. Maka ibadah sedekah signifikan memperingati janji Allah dan ganjaran akhirat.

Syeikh Said Hawa menyatakan tiga penyakit pejuang Islam yang boleh membantutkan perjuangan ialah :

i. malas.
ii. takut.
iii. kedekut.

Manusia yang tidak membenarkan janji Allah tidak akan mengorbankan haknya sama ada harta, jiwa, masa dan sebagainya.

Tarbiyah jiwa kita untuk sentiasa membenarkan janji Allah. Amalan sadaqah yang dipraktikkan jangan hanya sekadar "membuang lebihan harta" tetapi diterapkan tarbiyah nilai akan kehendak "sadaqa" iaitu benarnya janji Allah dan kita membenarkannya.

Firman Allah :

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

"Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun." - Surah al-Ahzab : 23

▪️Sedekah Mendidik Jiwa Berkorban & Memberi

Sedekah mendidik jiwa umat untuk berkorban dan memberi haknya demi kepentingan Islam. Islam bukan mendidik umatnya untuk meminta-minta sambil lewa sehingga menjadikan malas bekerja dan berusaha. Ini kerana Islam melebihkan kemuliaan kepada tangan yang memberi dari tangan yang menerima.

Hakim bin Hizam meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

اَلْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى، وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُوْلُ، وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى، وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللهُ، وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللهُ

Maksudnya :
"Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Dan mulailah dari orang yang menjadi tanggunganmu. Dan sebaik-sebaik sedekah adalah yang dikeluarkan dari orang yang mencukupi (keperluan dan kurniaan). Barangsiapa menjaga kehormatan dirinya maka Allah akan menjaganya dan barangsiapa yang merasa cukup maka Allah akan memberikan kecukupan kepadanya.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Malah, sifat para sahabat yang dididik oleh Rasulullah SAW ialah berlumba-lumba memberikan infaq harta dan nyawa demi Islam. Bahkan kalangan para sahabat jika tidak mampu memberikan pengorbanan termasuk pengorbanan harta dalam sesuatu urusan penting seperti apabila berlaku peperangan, mereka akan merasai sedih.

Firman Allah SWT :

وَلَا عَلَى ٱلَّذِینَ إِذَا مَاۤ أَتَوۡكَ لِتَحۡمِلَهُمۡ قُلۡتَ لَاۤ أَجِدُ مَاۤ أَحۡمِلُكُمۡ عَلَیۡهِ تَوَلَّوا۟ وَّأَعۡیُنُهُمۡ تَفِیضُ مِنَ ٱلدَّمۡعِ حَزَنًا أَلَّا یَجِدُوا۟ مَا یُنفِقُونَ

Maksudnya :
"Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu", mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah)." - [Surah At-Tawbah 92]

Para sahabat sedaya mungkin akan berusaha bersedekah dengan kemampuan yang ada. Mereka tahu fadhilat dan ganjaran yang besar di dalam Islam. Semasa umat Islam menghadapi masalah kecukupan perbelanjaan kewangan bagi menghadapi peperangan Tabuk, seorang sahabat yang bernama Abu Uqail memberi sedekah walau hanya setengah gantang kurma. Itu sahaja kemampuan yang dimiliki. Walaupun golongan munafik mengejek, namun Allah membela Abu Uqail dengan memberi ancaman kepada golongan munafik.

Firman Allah SWT :

ٱلَّذِینَ یَلۡمِزُونَ ٱلۡمُطَّوِّعِینَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ فِی ٱلصَّدَقَـٰتِ وَٱلَّذِینَ لَا یَجِدُونَ إِلَّا جُهۡدَهُمۡ فَیَسۡخَرُونَ مِنۡهُمۡ سَخِرَ ٱللَّهُ مِنۡهُمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِیمٌ

Maksudnya :
"Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya." - [Surah At-Tawbah 79]

▪️Sedekah Yang Diterima Oleh Allah SWT

Perbuatan sedekah untuk pemberian harta walau secara zahir namun penerimaannya di sisi Allah adalah bergantung pada niat yang benar dan hati yang bersih. Tanpa niat yang benar dan hati yang bersih, Allah tidak akan menerima amalan sedekah seseorang itu.

Sehubungan itu, bagi memastilah amalan sedekah tidak sia-sia dan ia diterima oleh Allah SWT maka perlulah menjaga beberapa perkara :

1. Perbuatan sedekah bukan dengan tujuan riyak iaitu untuk mendapatkan pujian dan perhatian manusia dengan membelakangi perhatian dari Allah.

Firman Allah SWT :

ٱلَّذِینَ یُنفِقُونَ أَمۡوَ ٰ⁠لَهُمۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا یُتۡبِعُونَ مَاۤ أَنفَقُوا۟ مَنࣰّا وَلَاۤ أَذࣰى لَّهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَیۡهِمۡ وَلَا هُمۡ یَحۡزَنُونَ

Maksudnya :
"Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita." -
[Surah Al-Baqarah 262]

2. Sedekah dengan cara yang elok. Bukan menjadikan penerima sebagai "tempat pembuangan" barang buruk yang kita tidak kehendaki barang tersebut.

Firman Allah SWT :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَیِّبَـٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّاۤ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِۖ وَلَا تَیَمَّمُوا۟ ٱلۡخَبِیثَ مِنۡهُ تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بِـَٔاخِذِیهِ إِلَّاۤ أَن تُغۡمِضُوا۟ فِیهِۚ وَٱعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِیٌّ حَمِیدٌ

Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji." - [Surah Al-Baqarah 267]

3. Pastikan pemberian sedekah sama ada wang atau harta barangan yang masih lagi elok dan boleh dimanfaatkan. Tujuan sedekah ialah membantu golongan yang memerlukan bagi mencukupkan keperluan, menampung kekurangan serta kesulitan dan meringankan bebanan. Sebab itu terkait dengan sedekah ialah pemberian apa yang kita masih suka kerana sesutu yang masih boleh dimanfaatkan.

Firman Allah SWT :

لَن تَنَالُوا۟ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا۟ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَیۡءࣲ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِیمࣱ

Maksudnya :
"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." - [Surah Ali Imran 92]

▪️Sedekah Dizahirkan Atau Rahsia Tiada Masalah

Dalam perbincangan mengenai sedekah sama ada secara dizahirkan atau rahsia adalah perbincangan mengenai mekanisme sahaja. Apa yang asas perlu dijaga ialah :

1. Pemberi yang ikhlas dan menjaga batas agar diterima di sisi Allah.
2. Pemberian sedekah sampai ke tangan pihak yang selayak dan sewajarnya terima.

Sama ada amalan sedekah secara terang atau tidak, adalah tiada masalah. Ini kerana kedua-duanya baik dan diterima oleh Allah. Malahan berdasarkan situasi yang berbeza maka mekanisme berbeza.

Firman Allah SWT :

إِن تُبۡدُوا۟ ٱلصَّدَقَـٰتِ فَنِعِمَّا هِیَۖ وَإِن تُخۡفُوهَا وَتُؤۡتُوهَا ٱلۡفُقَرَاۤءَ فَهُوَ خَیۡرࣱ لَّكُمۡۚ وَیُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَیِّـَٔاتِكُمۡۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِیرࣱ

Maksudnya :
"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." - [Surah Al-Baqarah 271]

Dalam keadaan menzahirkan sedekah bagi tujuan kempen, menyedarkan kepenting bersedekah serta tujuan pelaporan agar penyumbang yakin dengan sampainya sedekah mereka ke tangan yang layak menerima, maka ia baik dizahirkan tanpa melampuai dengan menjaga tatatertib dan akhlak yang mulia.

Jika dalam keadaan biasa tanda apa apa-apa keperluan bagi tujuan kempen, penerangan dan pelaporan maka dirahsiakan sahaja untuk lebih memelihara hati dari tipu daya syaitan yang boleh merosakkan niat.

Sebab itu, kedua-dua mekanisme baik dan diterima oleh Allah. Ia berbeza keadaan berdasarkan keperluan semasa jika terkait.

Firman Allah SWT :

ٱلَّذِینَ یُنفِقُونَ أَمۡوَ ٰ⁠لَهُم بِٱلَّیۡلِ وَٱلنَّهَارِ سِرࣰّا وَعَلَانِیَةࣰ فَلَهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَیۡهِمۡ وَلَا هُمۡ یَحۡزَنُونَ

Maksudnya :
"Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita." - [Surah Al-Baqarah 274]

.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2R9WfJZ

Comments