ISLAM DAN WAKTU TIDUR

ISLAM DAN WAKTU TIDUR


▪️Setiap Waktu Ada Haknya

Setiap waktu yang dijadikan oleh Allah ada haknya yang mesti dijaga agar pengurusan kehidupan dalam keadaan yang baik. Waktu tidur merupakan antara hak yang mesti dipeliharaa oleh manusia kerana waktu tidur adalah untuk :

1. Kerehatan jasad dan minda.
2. Mengembalikan kekuatan tubuh badan.
3. Menghilangkan mengantuk dan kepenatan.

Allah menjadikan waktu pagi sebagai waktu bekerja dan waktu malam untuk rehat. Ini jadual asas. Maknanya hidup manusia ada hak bekerja dan ada hak rehat. Hilang keseimbangan keduanya boleh menimbulkan kemudaratan ke atas tubuh dan kecelaruan dalam jadual kehidupan.

Firman Allah SWT :

وَجَعَلۡنَا نَوۡمَكُمۡ سُبَاتࣰا * وَجَعَلۡنَا ٱلَّیۡلَ لِبَاسࣰا * وَجَعَلۡنَا ٱلنَّهَارَ مَعَاشࣰا

Maksudnya :
"Dan bukankah Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?" - [Surah An-Naba' 9 - 11]

Walaupun umat Islam dituntut untuk kuat beribadah namun hak ke atas tubuh badan untuk dipelihara kesihatan, mendapat kerehatan dan tidur adalah suatu yang fitrah yang diperlukan. Mereka yang menafikan alasan hak ke atas badan walau dengan alasan kuat beribadah adalah tertolak. Ini kerana fitrah kejadian tersebut adalah dianugerahkan oleh Allah atas manusia. Manusia tidak disuruh menjadi malaikat namun diperintah menjadi hamba yang taat dengan fitrah yang sedia ada.

Abdullah Ibn Amru meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah menegurnya kerana mahu kuat beribadah sehingga beribadah sepanjang malam tanpa tidur, berpuasa sepanjang tahun tanpa berbuka dan mengkhatam al-Quran setiap malam, dengan sabdaan Baginda SAW :

فلا تَفْعَلْ، قُمْ ونَمْ، وصُمْ وأَفْطِرْ، فإنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وإنَّ لِعَيْنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وإنَّ لِزَوْرِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وإنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا

Maksudnya :
“Jangan kamu lakukannya; namun tidur dan bangunlah, berpuasa dan berbukalah. Kerana tubuhmu memiliki hak atas dirimu, kedua matamu memiliki hak atas dirimu, tetamumu memiliki hak atas dirimu, isterimu memiliki hak atas dirimu.” - Riwayat al-Bukhari

▪️Jangan Melampaui Dalam Waktu Tidur

Walaupun tidur itu ada haknya, namun Islam mendisplinkan umatnya agar tidak berpanjangan keterlaluan dalam waktu tidur. Malah Islam mendidik umatnya untuk berkorban sebahagian malamnya khususnya akhir 1/3 malam bagi mendirikan ibadah malam iaitu qiyammulail.

Ini kerana di akhir 1/3 malam, rahmat Allah sangat hampir dengan manusia, maka sewajarnya umat Islam menjadikan kehidupannya bersedap-sedap dengan tidur namun yang lebih utama menggapai rahmat Allah yang menjadi tujuan kehidupan.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إلى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يقولُ: مَن يَدْعُونِي، فأسْتَجِيبَ له مَن يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَن يَسْتَغْفِرُنِي فأغْفِرَ له.

Maksudnya:
"Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman: Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan baginya. Baransiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya." - riwayat al-Bukhari

Kefahaman hadith di atas sebagaimana yang diterangkan oleh Syeikh Mustafa al-Bugha ialah : (termasuk) yang dikehendaki dengan “turun” ialah turunnya Ketetapan—Nya, Rahmat-Nya, Kelembutan-Nya dan Pengampunan-Nya.

Malah ibadah malam iaitu qiyamullail merupakan ibadah yang menjadi sunnah Rasulullah SAW yang tidak ditinggalkan. Ia merupakan sunnah muakkadah serta menjadi kekuatan asas bagi para pejuang agama Allah SWT.

Firman Allah SWT :

۞ إِنَّ رَبَّكَ یَعۡلَمُ أَنَّكَ تَقُومُ أَدۡنَىٰ مِن ثُلُثَیِ ٱلَّیۡلِ وَنِصۡفَهُۥ وَثُلُثَهُۥ وَطَاۤىِٕفَةࣱ مِّنَ ٱلَّذِینَ مَعَكَۚ وَٱللَّهُ یُقَدِّرُ ٱلَّیۡلَ وَٱلنَّهَارَۚ

Maksudnya :
"Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang." - [Surat Al-Muzzammil 20]

Orang yang beriman dan tunduk patuh kepada Allah SWT serta mendapat kejayaan di akhirat ialah mereka yang "berenggang" dari tempat tidur. Maksudnya tidak melampaui dalam tidur yang lena, namun bangkit sebahagian malam untuk beribadah kepada Allah SWT.

Ini disebutkan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya :

إِنَّمَا یُؤۡمِنُ بِـَٔایَـٰتِنَا ٱلَّذِینَ إِذَا ذُكِّرُوا۟ بِهَا خَرُّوا۟ سُجَّدࣰا وَسَبَّحُوا۟ بِحَمۡدِ رَبِّهِمۡ وَهُمۡ لَا یَسۡتَكۡبِرُونَ ۩ * تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمۡ عَنِ ٱلۡمَضَاجِعِ یَدۡعُونَ رَبَّهُمۡ خَوۡفࣰا وَطَمَعࣰا وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ یُنفِقُونَ

Maksudnya :
"Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka." - [Surah al-Sajdah 15 - 16]

▪️Penyakit Tidak Boleh Tidur Malam Mesti Dirawat

Apabila seseorang tidak dapat tidur malam pada waktunya sehingga berpanjangan ia merupakan satu penyakit yang mesti diusahakan rawatannya. Penyakit ini akan mengganggu sistem kehidupan dan juga sistem tubuh badan kerana badan yang kurang rehat mudah terdedah kepada kesan negatif.

Antara sebab berlaku penyakit ini ialah :

1. Terlalu banyak berfikir dan berasa bimbamg akan sesuatu urusan sehingga runsing dan pening yang bersangatan.

2. Kurang bersabar untuk tenangkan diri dan fikiran dalam berhadapan sesuatu masalah yang melanda.

3. Terlalu gopoh untuk sesuatu perancangan masa hadapan sehingga menjejaskan fokus aktiviti semasa dan harian dan melibatkan gangguan waktu rehat dan tidur.

4. Kesan sakit yang dipikul menyebabkan waktu tidur terganggu.

5. Salah masa tidur apabila terlalu banyak tidur di waktu pagi menyebabkan susah tidur di waktu malam.

6. Boleh jadi juga faktor minuman yang berlebihan yang mempunyai kandungan bagi mencegah mengantuk.

7. Mendapat pengkhabaran yang menggangu emosi seperti berita sedih, berita menakutkan dan lain-lain yang akhirnya memberi tekanan pada emosi dan jiwa.

Dalam hal sebegini, dari sudut kerohanian, Rasulullah SAW ada mengajarkan doa kepada seorang sahabat iaitu Khalid bin al-Walid al-Makhzum yang mengadu tidak dapat tidur lena pada waktu malam.

Buraidah meriwayatkan bahawa :

شَكَا خَالِدُ بْنُ الوَلِيدِ الْمَخْزُومِيُّ إِلَى النَّبِيِّ - صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ- فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، مَا أَنَامُ اللَّيْلَ مِنَ الأَرَقِ، فَقَالَ النَّبِيُّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ-: «إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَقُلْ: اللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَوَاتِ السَّبْعِ وَمَا أَظَلَّتْ، وَرَبَّ الأَرَضِينَ وَمَا أَقَلَّتْ، وَرَبَّ الشَّيَاطِينِ وَمَا أَضَلَّتْ، كُنْ لِي جَارًا مِنْ شَرِّ خَلْقِكَ كُلِّهِمْ جَمِيعًا أَنْ يَفْرُطَ عَلَيَّ أَحَدٌ مِنْهُمْ أَوْ أَنْ يَبْغِيَ، عَزَّ جَارُكَ، وَجَلَّ ثَنَاؤُكَ، وَلا إِلَهَ غَيْرُكَ، وَلا إِلَهَ إِلا أَنْتَ

Maksudnya :
"Khalid telah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang penyakit yang dideritainya, ia berkata: Ya Rasulullah,saya tidak dapat tidur sepanjang malam kerana sukar lena. Maka Baginda SAW bersabda: Jika engkau hendak berbaring di tempat tidurmu maka ucapkanlah: “ Ya Allah pengatur langit yang tujuh beserta segala yang dinaunginya, pengatur lapisan bumi serta segala yang dikeluarkannya, pengatur syaitan serta segala yang disesatkannya. Jadilah Engkau pelindungku dari segala kejahatan makhlukmu itu semua, agar Engkau sia-siakan usaha mereka dan tuntutan mereka terhadapku. Maha perkasa perlindungan-Mu ,Maha Besar pujian untuk-Mu dan tiada Tuhan selain Engkau” - riwayat al-Tirmirzi

Begitu juga, Zaid bin Thabit meriwayatkan bahawa beliau mengadu kepada Rasulullah SAW kerana tidak boleh tidur malam, lantas Rasulullah SAW bersabda :

قُلِ اللَّهُمَّ غارَتِ النُّجُومُ وَهَدأتِ العُيُونُ وأنْتَ حَيُّ قَيُّومٌ لا تَأخُذُكَ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ، يا حيُّ يا قَيُّومُ أَهْدِىءْ لَيْلي، وأنِمْ عَيْنِي‏"‏ فقلتُها، فأذهب اللَّه عزّ وجلّ عني ما كنتُ أجد

Maksudnya :
"Ya Allah, sunyilah semua bintang dan tenanglah semua mata. Dan Tuhan yang hidup dan berdiri sendiri. Tuhan tidak mengantuk dan tidak tidur. Wahai Tuhan yang hidup dan berdiri sendiri. Tenangkanlah malamku ini dan tidurlah mataku". Bercerita Zaid bin Thabit kemudiannya ‘aku pun membacanya dan Allah azza wajalla menghilangkan penyakit tidak tidur dari saya’. - Riwayat al-Tabarani

Dan banyak lagi, doa yang boleh diamalkan jika dibuka hadith-hadith Baginda SAW yang diriwayatkan oleh oara sahabat yang lain. Dan dalam masa yang sama, sebagai manusia juga boleh ikhtiyar dengan mendapatkan nasihat dan rawatan dari pakar dalam mengatasi penyakit tidak boleh tidur ini jika berlaku.

▪️Adab Berkaitan Tidur

Rasulullah SAW mengajar umatnya adab dan sunnah ketika hendak tidur. Walaupun tidur itu proses kehidupan sebagai fitrah kejadian manusia namun amat rugi jika sepanjang tempoh tidur hanyalah berlalu begitu sahaja tanpa membuahkan hasil pahala. Ini kerana kebiasaan tidur 4 - 6 jam bagi tidur orang dewasa yang sihat.

Dengan mengamalkan adab dan sunnah Rasulullah SAW mudah-mudahan sepanjang tempoh tidur tetap mendapat pahala berpanjangan. Antara adab yang boleh diamalkan ketika hendak tidur ialah :

1. Dalam keadaan berwudhuk.
2. Membaca surah 3 Qul dan kemudian ditiup ke kedua tapak tangan dan disapu ke seluruh tubuh.
3. Bermusahabah akan amalan di waktu pagi.
4. Memaafkan semua orang sebelum tidur.
5. Mambaca zikir dan ayat al-Quran atau surah tertentu.
6. Membaca doa sebelum tidur dan doa bangkit dari tidur.

Al Baro’ bin Azib meriwayatkab bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ

Maksudnya :
"Jika kamu mendatangi tempat tidurmu, maka wudhulah seperti wudhu untuk solat, lalu baringlah pada sisi kanan badanmu.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huzaifah meriwayatkan bahawa :

كَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا أَرَادَ أَنْ يَنَامَ قَالَ « بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَمُوتُ وَأَحْيَا » . وَإِذَا اسْتَيْقَظَ مِنْ مَنَامِهِ قَالَ « الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا ، وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Maksudnya :
“Apabila Nabi SAW hendak tidur, Baginda mengucapkan: ‘Bismika allahumma amuutu wa ahya (Dengan nama-Mu, ya Allah aku mati dan aku hidup).’ Dan apabila bangun tidur, beliau mengucapkan: “Alhamdulillahilladzi ahyaana ba’da maa amatana wailaihi nusyur (segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepadaNya lah tempat kami kembali)” - riwayat al-Bukhari

Malah, terdapat larangan bagi siapa yang dalam keadaan hendak tidur tidak berzikir dan terus tidur. Larangan ia tidaklah menjatuhkan hukum haram dan berdosa. Ia boleh jatuh kepada makruh dan menghilangkam kecantikan adab sebagai seorang muslim ketika hendak tidur.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ قَعَدَ مَقْعَدًا لَمْ يَذْكُرِ اللهَ فِيْهِ كَانَتْ عَلَيْهِ مِنَ اللهِ تِرَةٌ وَمَنِ اضْطَجَعَ مَضْجَعًا لاَ يَذْكُرُ الله فِيْهِ كَانَتْ عَلَيْهِ مِنَ اللهِ تِرَةٌ

Maksudnya :
"Barangsiapa duduk di suatu tempat, lalu tidak berzikir kepada Allah di dalamnya, pastilah dia mendapatkan kerugian dari Allah, dan barangsiapa yang berbaring dalam suatu tempat lalu tidak berzikir kepada Allah, pastilah mendapatkan kerugian dari Allah." riwayat Abu Daud

Bagi yang terjaga pada tengah waktu tidur, juga terdapat beberapa doa yang diriwayatkan untuk dibaca agar mendapat keberkatan. Antaranya ialah dari riwayat Ubadah bin al-Shamit bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَن تَعارَّ من الليل فقال: لا إله إلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ ولهُ الْحَمْدُ وهُوَ على كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، الحمدُ للهِ، وسبحانَ اللهِ، ولا إله إلا اللهُ، واللهُ أَكْبَرُ، ولا حَوْلَ ولا قُوَّةَ إلا بِاللهِ، ثم قال: اَللّهُمَّ اغْفِرْ لي – أو دعا – استُجِيبَ له، فإنْ توضأ وصلى قُبِلتْ صلاتُه

“Barangsiapa yang terjaga di malam hari, kemudian dia membaca (zikir tersebut di atas):

لا إله إلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ ولهُ الْحَمْدُ وهُوَ على كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، الحمدُ للهِ، وسبحانَ اللهِ، ولا إله إلا اللهُ، واللهُ أَكْبَرُ، ولا حَوْلَ ولا قُوَّةَ إلا بِاللهِ

"Segala puji bagi Allah Tiada sembahan yang benar kecuali Allah semata dan tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nyalah segala kerajaan/kekuasaan dan bagi-Nya segala pujian, dan Dia maha mampu atas segala sesuatu, segala puji bagi Allah, maha suci Allah, tiada sembahan yang benar kecuali Allah, Allah maha besar, serta tiada daya dan kekuatan kecuali dengan (pertolongan) Allah", kemudian dia mengucapkan:

اَللّهُمَّ اغْفِرْ لي
“Ya Allah, ampunilah (dosa-dosa)ku“, atau dia berdoa (dengan doa yang lain), maka akan dikabulkan doanya, jika dia berwudhu dan melaksanakan solat maka akan diterima solatnya” - riwayat al-Bukhari

▪️Tidur Yang Berkualiti

Terdapat 3 jenis waktu tidur yang berkualiti yang memberikan kerehatan dan membekalkan tenaga untuk membantu ibadah dan aktiviti seharian. 3 jenis waktu tidur tersebut ialah :

1. Selepas Isyak sehingga pertengahan malam. Mengikut kajian dari seorang pengkaji Perancis menyatakan bahawa 1 jam waktu tidur sebelum tengah malam kualitinya bersamaan tempoh 3 jam.

Sebab itu bagi yang tiada apa-apa urusan penting, eloklah tidur lebih awal bagi mendapat kualiti tidur yang baik agar membolehkan bangkit berqiyamullail dengan segar dan bertenaga.

Abi Barzah meriwayatkan bahawa :

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَكْرَهُ النَّوْمَ قَبْلَ الْعِشَاءِ وَالْحَدِيثَ بَعْدَهَا

Maksudnya:
"Nabi SAW tidak suka kepada tidur sebelum Isya’ dan berbual-bual selepas Isya’.

Larangan berbual selepas Isyak ini jika tiada sebarang urusan yang perlu dan penting kerana ia akan meluputkan masa dan menjadikan seseorang tersebut tidak bangkit untuk bangun berqiyamullail atau jika bangkit pun dalam keadaan lesu.

2. Selepas bangkit qiyamullail awal dan sebelum masuk waktu Subuh.

Bagi yang melakukan qiyamullail awal maka tempoh setelah selesai ibadah dan masuk waktu Subuh jika ada tempoh yang sesuai bagi kerehatan malahn tidur maka tidak mengapa tidur bagi kerehatan dalam keadaan yakin tidak terlajak sehingga masuk subuh. Ini juga antara yang diamalkan oleh Rasulullah SAW agar rehat di antara dua ibadah dari berturut-turut.

Sayidatina Aisyah meriwayatkan bahawa :

مَا أَلْفَاهُ السَّحَرُ عِنْدِي إِلَّا نَائِمًا تَعْنِي النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya :
"Tidaklah datang waktu sahur, melainkan beliau tidur berada di dekatku." Maksudnya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. - riwayat Abu Daud

3. Waktu Qailullah iaitu tidur seketika pada waktu terik pada tengahari sebelum waktu Zuhur.

Berkata Imam al-Ghazali :

القيلولة سُنة يستعان بها على قيام الليل كما أن التسحر سُنة يستعان به على صيام النهار

Maksudnya :
"Qailulah adalah sunnah membantu ke atas orang untuk ibadah qiyamullail sebagaimana bersahur sunnah membantu orang yang berpuasa."

Selain itu, dalam keadaan biasa umat Islam hendaklah menghindari tidur dari dua waktu ini iaitu :

1. Selepas subuh
2. Selepas asar

.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3auB5hc

Comments