ISU PENERIMA ANUGERAH MAULIDUR RASUL OLEH BUKAN ISLAM

ISU PENERIMA ANUGERAH MAULIDUR RASUL OLEH BUKAN ISLAM




Sebelum respon isu di atas, suka untuk kita fahami dahulu akan Maulidur Rasul dan perkara berkaitan sambutannya iaitu :

▪️Maulidur Rasul : Kegembiraan Atas Kurniaan dan Rahmat Allah SWT

Firman Allah SWT :

قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ فَبِذَ ٰ⁠لِكَ فَلۡیَفۡرَحُوا۟ هُوَ خَیۡرࣱ مِّمَّا یَجۡمَعُونَ

Maksudnya :
_"Katakanlah (wahai Muhammad) "Dengan limpah kurnia Allah dan rahmatNya, maka dengan demikian itu, hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan (dari habuan dunia dan perkara yang tidak kekal)"._ - [Surah Yunus 58]

Ayat di atas dijadikan hujah umum oleh kalangan para ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam mengharuskan sambutan memperingati kelahiran agung Rasulullah SAW iaitu Maulidur Rasul pada setiap kali 12 Rabiul Awwal. Kegembiraan ini kembali kepada Allah kerana Rasulullah SAW membawakan wahyu-Nya bagi menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliyah kepada sinaran Islam.

Kegembiraan seumpama ini adalah terlebih baik dari kegembiraan atas sifat material dan kebendaan di dunia ini sedangkan ia tidak kekal dan bukan jaminan kepada kesejahteraan di dunia dan di akhirat kelak.

▪️Maulidur Rasul : 3 Watak Terhadap Rasulullah SAW Yang Mesti Difahami

Setiap kali sambutan Maulidur Rasul, kita akan diperingatkan mengenai 3 lelaki yang dekat dengan kehidupan Baginda SAW namun kesemuanya berbeza pendekatannya terhadap Baginda.

Mereka ialah Abu Lahab, Abu Talib dan Sayiduna Abu Bakr. Ketiga-tiga watak ini terakam dalam sirah Nabi SAW agar menjadi pengajaran umum kepada semua yang mengaku mencintai Baginda SAW.

Watak Abu Lahab yang dikisahkan bergembira dengan kelahiran Baginda SAW adalah tidak lebih sekadar atas nama Muhammad bin Abdullah yang dari kabilah kaum besar yang sama. Sekadar itu sahaja. Sememangnya masyarakat jahiliyah lebih teruja dengan kehadiran bayi lelaki dari kaumnya kerana ia dianggap penerus legasi perjuangan kabilah tersebut.

Namun apabila Baginda SAW menghimpunkan kerabat kabilah pada permulaan dakwah secara terang-terangan, Abu Lahab orang pertama menentang secara kasar. Lantas turunlah wahyu Surah al-Masad bagi melaknat Abu Lahab atas tindakannya yang menyakiti Baginda SAW.

Watak Abu Talib yang merupakan bapa saudara Baginda SAW, amat menyayangi Baginda SAW dengan memberikan perlindungan KE atas Baginda SAW agar tiada siapa berani mengapa apakan Baginda SAW. Walaupun tidak menentang dan mengasari Baginda SAW namun secara zahirnya beliau tidak mengungkapkan lafaz 2 syahadah sehingga di saat akhir hidup beliau sekalipun hadirnya Baginda SAW di sisinya dalam mengajar dan mengajak kalimah syahadah untuk dilafazkan.

Terdapat riwayat di mana Abu Talib dikenakan azab seksa di nereka yang paling ringan dengan dipakaikan "terompah" atau "sepatu" yang diperbuatkan dari api neraka yang kesannya sehingga menggelegakkan otak.

Manakala watak Sayiduna Abu Bakr pula adalah seorang sahabat setia dan pendamping Baginda SAW sejak dari Mekah sehingga di Madinah al Munawwarah. Beliau merupakan lelaki dewasa pertama yang memeluk Islam. Beliau juga secara terang membenarkan peristiwa Isra' dan Mikraj yang dilalui oleh Baginda SAW sedangkan di saat itu orang kafir terus mengejek dan terdapat kalangan Islam yang goyah dengan penceritaan perjalanan yang amat menakjubkan tersebut.

Selepas kewafatan Baginda SAW, beliau dilantik menjadi khalifah pertama bagi menggalas tugasan ketua umat Islam dan negara Madinah bagi menggantikan Rasulullah SAW. Hanya bertempoh 2 tahun beberapa bulan, beliau wafat dan disemadikan di sisi maqam Rasulullah SAW.

Jelas, watak Sayiduna Abu Bakr adalah contoh kepada ummah bagaimana untuk mencintai, menyayangi dan mengasihi Rasulullah SAW.

▪️Maulidur Rasul : Peringatan Kepada Ummah Untuk Teladani Rasulullah SAW

Program Maulidur Rasul yang dianjurkan adalah program perayaan kebesaran hari dalam Islam. Ia memperingkatkan ummah untuk mengikuti suri teladan Rasulullah SAW.

Bukan semua orang mampu mengikuti suri teladan Rasulullah SAW. Allah SWT menyifatkan hanya kalangan mereka yang mahukan reda-Nya serta kejayaan di akhirat sahaja yang akan turut perjuangan, pengorbanan dan perjalanan kehidupan Baginda SAW.

Firman Allah SWT :

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِی رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةࣱ لِّمَن كَانَ یَرۡجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلۡیَوۡمَ ٱلۡـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِیرࣰا
Maksudnya :
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" - [Surah Al-Ahzab 21]

▪️Maulidur Rasul : Keizzahan Hak Mutlak Allah, Rasul Serta Orang Beriman

Dalam bergembira dengan sambutan Maulidur Rasul, maka hendaklah kita ketahui bahawa keizzahan atau kemuliaan di sisi Islam yang diiktiraf hanya hak mutlak Allah, Rasul-Nya serta orang beriman.

Adapun selain itu ia tidak diiktiraf kerana mereka sendiri tidak menurut Rasul SAW dan tunduk kepada Allah SWT. Mana mungkin keizzahan atau kemuliaan itu kepada penentang Allah dan Rasul-Nya?

Firman Allah SWT :

وَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلۡمُؤۡمِنِینَ وَلَـٰكِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِینَ لَا یَعۡلَمُونَ
Maksudnya :
"Bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." - [Surah Al-Munafiqun 8]

▪️ Respon dan ulasan

Jelas sambutan Maulidur Rasul yang merupakan salah satu dari tarikh yang diangkat sebagai Hari Kebesaran dalam Islam mempunyai makna tersendiri. Ia menjadikan medan menonjolkan keizzahan Islam menerusi medium sambutan Maulidur Rasul bagi menunjukkan kasih dan sayang kepada Baginda SAW.

Sifat kasih dan sayang kepada Baginda SAW tidaklah sekadar batasan emosi dan perasaan namun ia berkaitan dengan soal keimanan sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik :

لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Maksudnya :
"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dikasihi dari anaknya, bapanya dan sekalian manusia." - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Sehubungan itu, sewajarnya penerima anugerah atas sambutan "Maulidur Rasul" mestilah seorang yang beriman dan menuruti perintah Rasulullah SAW sebagai syarat asas dan kelayakan bagi penerima anugerah sebelum terus dilihat kepada jasa dan pengorbanannya.

Namun jika sekadar penganugerahan atas jasa sumbangan tanpa menekan aspek agama Islam yang mempunyai izzah maka seakan tiada beza dengan pengiktirafan "human right" versi Barat yang hanya menekan soal nilai tanpa paksi akidah.

Ini kerana penganugerahan atas nama Maulidur Rasul yang mempunyai keizzahan tersendiri sebagaimana yang telah dijelaskan di atas sebelum ini.

Justeru, secara hikmah, boleh digunakan medium selain sambutan Maulidur Rasul atau apa-apa sambutan selain Hari Kebesaran dalam Islam bagi pengiktirafan umum kepada kalangan muslim dan bukan Islam. Adapun apa-apa sebarang sambutan yang melibatkan Hari Kebesaran dalam Islam maka mesti dielakkan dari dicemari dengan doktrin yang melenyapkan "keizzahan" agama Islam tersendiri.

.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3aqe7HL

Comments