Mawlid Rasul : Dari Hukum Kepada Pengajaran

MAWLID RASUL : DARI HUKUM KEPADA PENGAJARAN




▪️Menyambut Mawlid Rasul Bukan Bidaah

Setiap tahun perbahasan hukun menyambut mawlid Rasul menjadi polemik yang tidak berkesudahan. Bahkan boleh menjadi "batu api" dalam memecahkan keharmonian umat Islam di negara ini khususnya yang telah sekian lama mengadakan sambutan.

Antara alasan pihak yang membantah dengan sambutan ini ialah dakwaan perkara ini (sambutan) tidak dilakukan di zaman Rasulullah SAW bahkan di zaman para sahabat. Mereka begitu mudah menghukum bidaah yang sesat atas alasan "Rasulullah SAW" tidak buat maka sesiapa yang buat ia dikira mengada-adakan dan dihukum bidaah yang sesat.

Al-Sayyid Abdullah bin Siddiq al-Ghamari dalam risalahnya yang berjudul حسن التفهم والدرك لمسألة الترك dalam bait syairnya membahaskan perihal perkara yang tidam dilakukan oleh Rasulullah SAW bukan suatu hujah seperti berikut :

الترك ليس بحجة فى شرعنا / لا يقتضي منعا ولا إيجابا

فمن ابتغى حظرا بترك نبينا / ورآه حكما صادقا وصوابا

قد ضل عن نهج الأدلة كلها / بل أخطاء الحكم الصحيح وخابا

لا حظر يمكن إلا إن نهي أتى / متوعدا لمخالفيه عذابا

أو ذم فعل مؤذن بعقوبة / أو لفظ تحريم يواكب عابا

Maksudnya :
Perkara yang tidak dilakukan (oleh Nabi) tidaklah boleh dijadikan hujjah (kaedah) dalam syariat kita,

Kerana ianya tidak bermaksud dilarang atau tidak bermaksud ianya wajib,

Barang siapa beranggapan perkara yang tidak dilakukan (oleh Nabi) adalah haram,

Dan berpandangan ianya adalah hukum yang benar dan betul,

Maka dia telah sesat dalam manhaj (pengambilan) dalil,

Bahkan salah pada meletakkan hukum yang sahih dan melakukan kesalahan,

Tidaklah boleh dikatakan haram kecuali didatangkan (nas) larangan,

Yang menjanjikan orang yang melanggarnya dengan azab,

Atau pun ada celaan ke atas orang yang merestu sesuatu perbuatan dengan balasan,

Atau ada lafaz pengharaman yang membawa keaiban.

▪️Mawlid Rasul Adalah Bergembira Dengan Kurniaan Allah

Firman Allah SWT :

(قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ فَبِذَ ٰ⁠لِكَ فَلۡیَفۡرَحُوا۟ هُوَ خَیۡرࣱ مِّمَّا یَجۡمَعُونَ)

Maksudnya :
Katakanlah (wahai Muhammad) dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka hendaknya mereka bersukacita, kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)". - [Surah Yunus 58]

Berdasarkan ayat di atas, tafsiran bagi فضل الله dan رحمته merujuk kepada :

1. Islam dan al Quran - tafsir al Jalalain.
2. Hidayah dan agama yang benar (Islam) - tafsir al Muyassar

Kesemua di atas adalah nikmat agung dari Allah SWT kerana dengan nikmat tersebut manusia selamat di dunia bahkan di akhirat kelak. Sekalipun kehidupan di dunia ini juga merupakan nikmat, namun ia tidak lengkap tanpa nikmat bimbangan petunjuk kerana hanya dengan petunjuk Allah manusia akan selamat.

Inilah yang disebutkan bahawa :

1. Nikmatul ijad نعمة الإيحاد : nikmat wujud hidup
2. Nikmatul irsyad نعمة الإرشاد - nikmat petunjuk hidayah

Kesemuanya itu, adalah dengan pengutusan Rasulullah SAW kepada sekalian manusia bagi menyelematkan mereka dengan panduan wahyu. Baginda SAW menyeru kepada Islam dan berpegang dengan al Quran yang merupakan wahyu perintah Allah.

Maka wajarlah bergembira kerana kegembiraan itu dituntut oleh Allah SWT. Menyambut mawlid Rasul mengingatkan kita kepada ajaran yang dibawa oleh Baginda SAW kerana pengutusan Baginda SAW adalah mengutuskan Islam sebagai rahmat sekalian alam.

▪️Sahabat Cinta Rasulullah SAW Sehingga Sanggup Berkorban

Cinta tidak hanya pada titipan di bibir namun menuntut kepada amal dan pengorbanan. Lihat kepada peristiwa ar-Raji' (الرجيع) yang menyebabkan para sahabat dibunuh ekoran penipuan jahat pihak musuh antaranya Zaid bin Dathina.

Ucapan Zaid cukup hebat dan menggambarkan betapa hebatnya adab terhadap Rasulullah SAW sekalipun berjauhan. Ketika Zaid hendak dibunuh, lalu tampillah Abu Sufyan (belum Islam) berkata kepadanya :

أنشدك الله يا زيد! أتحب أن محمدًا عندنا الآن في مكانك نضرب عنقه، وأنك في أهلك؟!

Maksudnya :
“Wahai Zaid, apakah engkau ingin Muhammad berada di posisimu sekarang untuk dipenggal lehernya sedangkan engkau bersama dengan keluargamu?”

والله ما أحب أن محمدًا الآن في مكانه الذي هو فيه تصيبه شوكة تؤذيه، وأني جالس في أهلي

Maksudnya :
Zaid berkata, “Demi Allah, aku tidak ingin Rasulullah sekarang berada di tempatnya dalam kondisi ia terkena duri sedangkan aku bersantai-santai di rumah bersama keluargaku.”

ما رأيت من الناس أحدًا يحب أحدًا كحب أصحاب محمد محمدًا!

Maksudnya :
Abu Sufyan berkata, “Aku belum pernah melihat ada seseorang yang mencintai orang lain seperti cintanya para sahabat Muhammad terhadap Muhammad.”

Justeru, menyambut mawlid Rasul adalah bagi menimbulkan dan menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Namun ia mestilah sehingga tahap kita meletakkan keutamaan terhadap Rasulullah SAW dan sanggup berkorban sebagaimana generasi sahabat yang telah membuktikan cinta mereka terhadap Rasulullah SAW.

Banyak lagi hakikatnya kisah generasi sahabat antara lainnya lagi :

1. Sayiduna Abu Bakr memasuki terlebih dahulu ke gua Thur bagi memastikan keselamatan Rasulullah SAW agar tiada haiwan berbeza dalam gua. Beliau sanggup dirinya dikorban jika ada apa apa ancaman haiwan berbisa dalam gua tersebut sebelum Rasulullah SAW masuk agar Baginda SAW terselamat dan tidak disakiti.

2. Talhah bin Ubaidillah menjadi benteng kepada Rasulullah SAW dalam perang Uhud sehingga cacat tangannya diserang musuh.

3. Sayiduna Ali bin Abu Talib sanggup mengambil risiko menggantikan di tempat tidur Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah sedangkan saat itu rumah Baginda SAW dikepung oleh musuh untuk membunuh.

▪️Tanda Aras Cinta Kita Terhadap Rasulullah SAW

Bagaimana untuk semak dan muhasabah diri kita bagi memastikan kita benar mencintai Rasulullah SAW dan bukannya hanya gimik semata-mata. Perkara ini boleh dilihat kepada tanda aras untuk muhasabah diri kita bagi meningkatkan kualiti cinta kepada Rasulullah SAW.

1. Hubungan kita dengan al Quran. Mereka yang mensia siakan al Quran adalah yang dikesali oleh Rasulullah SAW menerusi aduan Baginda SAW kepada Allah. Maka mereka yang dekat, memelihara dan melaksanakan al Quran pastinya dikasihi oleh Baginda SAW.

Namun jika jauh dari al Quran bagaimana mahu mencapai cinta dari Baginda SAW?

Firman Allah SWT :

(وَقَالَ ٱلرَّسُولُ یَـٰرَبِّ إِنَّ قَوۡمِی ٱتَّخَذُوا۟ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ مَهۡجُورࣰا)

Maksudnya :
Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai". - [Surah Al-Furqan 30]

Golongan yang termasuk dalam ayat di atas ialah :

i. Tidak beriman dengan al Quran.
ii. Beriman dengan al Quran tetapi tidak mahu membacanya.
iii. Beriman dan membaca al Quran tetapi tidak mahu memahaminya.
iv. Beriman, membaca dan memahami al Quran tetapi tidak mahu melaksanakan ajarannya menyeluruh.

2. Hubungan kita dengan para ulama. Ini kerana para ulama adalah pewaris para nabi yang terus melakukan tugas menyampaikan ilmu, dakwah, amar makruf dan nahi mungkar. Kasih dan turut para ulama ialah dengan mengikuti mereka apa yang ilmu mereka disampaikan untuk kita berada atas jalan kebenaran.

Maka bagaimana mungkin boleh dikatakan mencintai Rasulullah SAW jika memusuhi pewarisnya iaitu para ulama?

Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya:
“Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”. [Riwayat Abu Daud

.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : http://bit.ly/3ofxXNq

Comments