PENDERAAN KANAK-KANAK MENINGKAT SEPANJANG PKP : CARA ISLAM TANGANI TEKANAN EMOSI

PENDERAAN KANAK-KANAK MENINGKAT SEPANJANG PKP : CARA ISLAM TANGANI TEKANAN EMOSI



▪️ Jauhi Kezaliman, Semai Kasih Sayang

Sepanjang tempoh PKP sebelum ini selama 14 hari dilaporkan peningkatan aduan penderaan kanak-kanak sebanyak 57 peratus. Ini bukanlah berita baik malah satu situasai yang tidak wajar berlaku. Menjadi kewajipan kita bergandingan untuk bantu sifarkan kes penderaan kanak-kanak ini dengan sedaya mungkin.

Kes penderaan kanak-kanak merupakan satu kezaliman, penganiayaan dan penindasan yang pastinya diharamkan di dalam Islam. Ini kerana sifat demikian adalah bertentangan dengan perintah Allah SWT yang mengharamkan segala bentuk kezaliman.

Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya Allah berfirman :

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا

Maksudnya :
Hai hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan diri-Ku untuk berbuat zalim dan perbuatan zalim itu pun Aku haramkan diantara kamu. Oleh kerana itu, janganlah kamu saling berbuat zalim. - riwayat Muslim

Sedangkan Islam merupakan agama yang belas kasihan terhadap insan yang lemah. Islam menganjurkan agar kanak-kanak disayangi dan orang tua dihormati. Kedua-dua golongan ini diberi perhatian dalam belas kasihan dan kasih sayang oleh Islam kerana mereka adalah kalangan yang lemah dari sudut tenaga kudrat.

Abdullah bin Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا

Maksudnya:
“Bukan daripada kalangan kami (sunnah kami), orang yang tidak menyayangi orang yang muda (lebih kecil usia) dan orang yang tidak menghormati orang yang dewasa (lebih berusia).” - riwayat al-Tirmizi

▪️Asasnya Semua Orang Muslim Mesti Bersabar

Dalam tempoh PKP ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan berlakunya tekanan pada emosi yang mengakibatkan tindakan luar kawalan seperti penderaan ke atas anak-anak. Faktor kepada tekanan antaranya seperti berikut :

1. Terjejas ekonomi yang teruk.
2. Tiada kretiviti dalam menguruskan jadual kehidupan di rumah.
3. Pergaulan dan komunikasi kalangan ahli keluarga yang bermasalah.
4. Memendam permasalahan secara sendirian.
5. Kurangnya peruntukan masa beribadah dan munajat kepada Allah.

Dan mungkin jugga terdapat faktor-faktor sampingan lain bergantung kepada situasi peribadi atau sesebuah keluarga tersebut. Asasnya tekanan akan berlaku apabila manusia tersebut berhadapan dengan sesuatu masalah dan perkara yang tidak disukai oleh jiwanya.

Lantaran itu, setiap individu perlu mengurus emosinya agar dalam keadaan tenang dan waras dalam sesuatu pertimbangan yang diambil. Tekanan boleh mengakibatkan tindakan luar batasan dan luar kawalan yang memberikan impak yang negatif serta memudaratkan.

Asasnya bagi seorang muslim, kita diajar untuk sentiasa sabar dalam setiap ujian yang ditimpakan ke atas kita. Sikap sabar bukanlah bermaksud tidak berbuat apa-apa. Namun sikap sabar adalah untuk memastikan hati dan fikiran kita tidak tertekan malah mampu bertenang untuk bangkit menghadapi ujian dengan keadaan waras dan stabil serta sedar patuh bahawa kehidupan kita berada bawah genggaman kekuasaan Allah.

Firman Allah SWT :

.. وَبَشِّرِ ٱلۡمُخۡبِتِینَ * ٱلَّذِینَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُهُمۡ وَٱلصَّـٰبِرِینَ عَلَىٰ مَاۤ أَصَابَهُمۡ وَٱلۡمُقِیمِی ٱلصَّلَوٰةِ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ یُنفِقُونَ

Maksudnya :
"...dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat. Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya." - [Surah Al-Hajj 34 - 35]

▪️Psikologi Muslim Adalah Terkawal, Kita Ada Tempat Bergantung


Jika membicarakan soal psikologi, maka ketahuilah psikologi orang Islam adalah paling kuat dan stabil sekali jika benar-benar ia mengamalkan gaya hidup lengkap seorang muslim. Seorang muslim meletakkan dirinya dalam kekuasaan penuh Allah SWT. Sekalipun ia berusaha namun ia tidak lupa tawakkal. Sekalipun ia merancang, namun ia tidak lupa berdoa memohom pertolongan Allah.

Sebab itu, psikologi muslim tidak terganggu dengan faktor luaran jika faktor dalaman berasaskan hubungan dengan Allah kuat dalam apa jua situasi yang dihadapi. Ketika hidup memperolehi nikmat maka ia bersyukur namun ketika hidup ditimpa dengan ujian maka dia bersabar. Semudah itu.

Shuhaib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya :
“Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” - riwayat Muslim

Bermunajat di akhir 1/3 antara faedahnya ialah seorang muslim tadi menjadi tenang dan membina kekuatan diri. Ini kerana Allah tempat ia mengadu, tempat ia bergantung. Munajatnya meluahkan segala bebanan yang dipikul kepada kekuasaan dan ketentuan taqdir Allah. Ia tidak lagi merasa berat kerana tidak perlu pikul sendirian dan berpanjang. Dia merasai Allah ada bersama-Nya. Dia tahu dan yakin, jika ada kehendaki bila-bila masa sahaja masalahnya selesai.

Sebab itu, kurang bangun malam dan tidak bermunajat kepada Allah punca antara berlakunya masalah dalam diri terus menerus dan akhirnya merasa beban yang tidak tertanggung oleh dirinya. Diri memikulnya sendiri bebanan itu berterusan maka memanglah akan berlaku tekanan!

Analogi seumpama walau kita memegang segelas yang berisi air secara 20 jam lamanya tetap tangan berasa lenguh dengan bebanan yang dipikul walau tidak berat. Kerana apa? Kerana dia pikul berterusan dan berpanjangan secara sendirian! Jika dia pikul buah seberat 5 kg namum hanya sekadar pegang dan kemudian meletakkan di atas meja, maka ia sudah lega dan tidak lagi tertekanan. Maka pergantungan seorang muslim adalah kepada Allah SWT yang Maha Mendengar akan rintihannya.

Justeru, bangunlah malam walau seketika. Mengadu dan merintih pada Allah. Jangan dipendam sendirian masalah. Kita ada Allah. Ya. Itulah punca kekuatan dalam hidup kita. Cubalah!

Firman Allah SWT :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلۡمُزَّمِّلُ * قُمِ ٱلَّیۡلَ إِلَّا قَلِیلࣰا * نِّصۡفَهُۥۤ أَوِ ٱنقُصۡ مِنۡهُ قَلِیلًا * أَوۡ زِدۡ عَلَیۡهِ وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِیلًا * إِنَّا سَنُلۡقِی عَلَیۡكَ قَوۡلࣰا ثَقِیلًا * إِنَّ نَاشِئَةَ ٱلَّیۡلِ هِیَ أَشَدُّ وَطۡـࣰٔا وَأَقۡوَمُ قِیلًا

Maksudnya :
Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya." - [Surah Al-Muzzammil 1 - 6]

▪️Bina Hubungan Komunikasi Yang Baik Dan Jelas

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Jangan dibebankan masalah luar ke dalam rumah malah begitu juga jangan pula masalah di dalam rumah dibawa keluar. Pengurusan komunikasi yang baik dalam menghadapi sesuatu masalah adalah penting agar tidak meleret atau berlaku sesuatu kemudaratan yang lebih besar.

Dalam tempoh PKP, semua ahli keluarga mestilah kreatif menyusun jadual kehidupan dengan melakukan aktiviti bersama agar tidak timbul suasana atau perasaan jemu dan bosan. Bukanlah seringkali diungkaplan slogan "Rumahku, Syurgaku" namun mengapa masih lagi ada jemu dan bosan serta lebih teruk lagi berlaku penderaan?

Komunikasi yang kurang baik dan tidak mesra boleh menjadikan sesuatu yang remeh menjadi besar pergaduhannya. Perkara yang mudah dianggap payah sehingga berlaku pergaduhan dan penderaan. Mental jika sudah tertekan maka tempiasnya terkena juga kepada orang yang disayangi. Bukankah itu anaknya? Mengapa sanggup mendera keturunannya sendiri?

Maka dalam membina hubungan komunikasi yang baik, telah pun diajar oleh Islam panduannya seperti berikut :

1. Ucap perkataan yang baik-baik sahaja termasuk menjaga intonasi suara yang bersesuaian dalam menjaga hubungan.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ

Maksudnya :
"Perkataan yang baik adalah sedekah." - riwayat al-Bukhari dan Muslim

2. Bercakap perkara yang ada kebaikan serta faedah jika tidak berdiam dari bercakap perkara yang tidak elok.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْراً أًوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya :
"Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam" - riwayat al-Bukhari dan Muslim

3. Saling bermaafan serta memberi maaf dan sesegera boleh jika ada kesalahan dan kesilapan yang terjadi.

Firman Allah SWT :

وَلۡیَعۡفُوا۟ وَلۡیَصۡفَحُوۤا۟ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن یَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورࣱ رَّحِیمٌ

Maksudnya :
".. dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
[Surah An-Nur 22]

4. Jangan menghina, mencela dan menuturkan perkataan yang tidak elok sehingga mencetuskan ketegangan.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

المُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِم لَا يَخُوْنُه وَلَا يَكْذِبُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ

Maksudnya :
"Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Ia tidak mengkhianati, tidak mendustai, juga tidak enggan memberikan pertolongan padanya bila diperlukan." - riwayat al-Tirmizi

▪️Wujudkan Budaya Kejiranan Yang Cakna

Dalam mengatasi masalah penderaan kanak-kanak atau penderaan dalam rumah tangga, sikap cakna kejiranan sekeliling adalah penting dalam membantu kesusahan jiran yang berada dalam tekanna serta membendung kes-kes penderaan yang berlaku.

Malah kebahagian seseorang itu juga dipengaruhi dengan kehidupannya yang memilili jiran yang baik dan tidak menimbulkan gangguan. Jiran yang baik pastinya banyak membantu di kala susah.
Nafi’ Bin Abdul Harith meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ

Maksudnya :
”Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.” - riwayat al-Bukhari

Ada nasihat yang menyebutkan bahawa sebelum memilih rumah di sesuatu kawasan, sewajarnya diperhatikan terlebih jiran sekeliling. Ini kerana orang yang paling hampir kepada kita ialah jiran kita jika ada apa-apa yang boleh membantu kita.

الجار قبل الدار

Maksudnya :
”(Pilihlah) jiran dahulu sebelum memilih rumah”

Dalam Islam, hubungan jiran tetangga amat dititik beratkan. Ia bukan sekadar hubungan yang biasa. Malah amat ditekankan seperti hadith dari Sayidatina Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَا زَالَ يُوصِينِي جِبْرِيلُ بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ

Maksudnya :
“Jibril selalu berpesan kepadaku untuk berbuat baik kepada tetangga, sampai aku mengira, tetangga akan ditetapkan menjadi ahli warisnya.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Kesusahan jiran mesti dicakna dan dibantu kerana hidup berjiran adalah hidup saling bantu membantu. Kehidupan cakna kepada jiran dan wujud suasana prihatin adalah satu komuniti masyarakat yang baik dalam mewujudkan suasana harmoni dan aman.

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ الَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ

Maksudnya :
“Bukanlah mukmin sejati, orang yang kenyang, sementara tetangga di sampingnya kelaparan.” - riwayat Abu Ya’la
.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3bSg3JB

Comments