PENULARAN WABAK COVID-19 WAJIB DICEGAH

 PENULARAN WABAK COVID-19 WAJIB DICEGAH



▪️Kewajipan Memelihara Nyawa Dan Usaha Berubat


Antara penjagaan asas dalam perbahasan displin ilmu maqasid syariah ialah menjaga nyawa. Ia merupakan tingkatan kedua dari lima susunan yang ditetapakan. Berada di bawah tingkatan menjaga agama kerana tanpa nyawa tiadalah kehidupan. Malah Islam amat menitik beratkan penjagaan nyawa dari sebarang kemudaratan ke atasnya.


Larangan membunuh diri dan membunuh nyawa lain tanpa sebab merupakan satu dosa besar di sisi Islam. Malah Allah melarang mendekati perkara keji atau sebarang perkara yang mendatangkan kemudaratan ke atas diri dan nyawa. 


Firman Allah SWT :


.. وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَوۡلَـٰدَكُم مِّنۡ إِمۡلَـٰقࣲ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكُمۡ وَإِیَّاهُمۡۖ وَلَا تَقۡرَبُوا۟ ٱلۡفَوَ ٰ⁠حِشَ مَا ظَهَرَ مِنۡهَا وَمَا بَطَنَۖ وَلَا تَقۡتُلُوا۟ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِی حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۚ ذَ ٰ⁠لِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ


Maksudnya :

".. dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. - [Surah Al-An'am 151]


Abdullah bin Amru meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


 لَزوالُ الدُّنيا أهونُ على اللهِ من قتلِ رجلٍ مسلمٍ


Maksudnya :

"Hancurnya (seisi) dunia adalah lebih ringan (remeh) di sisi Allah berbanding (dosa) membunuh seorang lelaki muslim" - riwayat al-Bukhari


Justeru, berikhtiyar dalam mencari ubat serta mendapatkan kesembuhan bagi sesuatu penyakit adalah satu kewajipan bagi menjaga kesihatan dan memelihara nyawa. Ia bukanlah bermaksud takutkan kematian kerana keyakinan umat Islam ajal telah ditetapkan malah tidak akan dipercepatkan atau dilewatkab walau sesaat.


Malah kematian tetap akan berlaku walau tanpa sebarang penyakit. Ini kerana syarat mati hanyalah hidup. Lantaran itu, salah tanggapan apabila membiarkan penyakit terus berlaku dan merebak tanpa dirawar, dicegah dan diubati. Sedangkan Baginda SAW turut memerintahkan umatnya untuk berusaha berubat.


Riwayat Usamah bin Syarik bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW :


يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَلا نَتَدَاوَى ؟ قَالَ : ( نَعَمْ ، يَا عِبَادَ اللَّهِ تَدَاوَوْا ، فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلا وَضَعَ لَهُ شِفَاءً ، إِلا دَاءً وَاحِدًا ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا هُوَ ؟ قَالَ : الْهَرَمُ


Maksudnya :

"Wahai Rasulullah. Adakah kita perlu berubat? Jawab Baginda SAW : Ya, wahai hamba-hamba Allah, maka sesungguhnya Allah tidak menurunkan satu penyakit melainkan adanya bersekali baginya penyembuhan, kecuali satu penyakit. Mereka bertanya : Wahai Rasulullah, apakah ia? Jawab Baginda SAW : Tua." - riwayat al-Tirmizi


▪️Menghilangkan Mudarat Didahulukan


Islam amat menitik beratkan soal penjagaan maslahat dan menolak mudarat. Dan pada keadaan yang asas, menolak mudarat adalah lebih didahulukan dari mendatangkan maslahat. Kaedah fiqh menyebutkan :


درء المفاسد مقدم من جلب المصالح


Maksudnya :

"Menolak mudarat didahulukan dari mendatangkan maslahat." 


Imam Izzuddin Abd as-Salam menyatakan di dalam kitabnya Qawaid al-Ahkam Fi Masalih al-Anam قواعد الأحكام في مصالح الأنام  bahawa dengan melakukan kaedah menolak kemudaratan ia sekaligus telah mencapai maksud mendatangkan maslahat itu sendiri. Ini kerana maslahat turut akan tercapai dengan menghilangkan mudarat sedia ada atau mencegah dari berlakunya mudarat.


Sebab itu hadith yang melarang melakukan sebarang kemudaratan sama ada atas diri sendiri terhadap orang lain dengan cara membalas kemudaratan dengan kemudaratan adalah satu pengajaran yang penting dan besar nilainya.


Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


لا ضرر ولا ضرار


Maksudnya :

"Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan." - riwayat al-Baihaqi dan al-Darqutni


Berdasarkan hadith di atas, para ulamak membuat kaedah berkaitan menolak kemudaratan iaitu kemudaratan mesti dilenyapkan / dihilangkan. Ini kerana Islam tidak mengizinkan sebarang kemudaratan kerana kedatangan Islam adalah untuk membawa maslahat ke dalam kehidupan manusia mengikut aturan dan cara yang diperintahkan oleh Allah. 


Maka dari kaedah besar yang berbunyi : الضرر يزال (mudarat mesti dilenyapkan), tebit darinya kaedah cabang yang berkaitan iaitu :


1. Mudarat tidak boleh ditolak dengan melakukan mudarat yang sama tahap atau lebih tinggi darinya. Ia berbunyi :


الضرر لا يزال بمثله أو أعلى منه


2. Mudarat ditolak mengikut kadar kemampuan. Ia berbunyi :


الضرر يدفع قدر الإمكان


3. Menolak mudarat yang besar dengan keadaan menolak mudarat yang lebih kecil / ringan. Ia berbunyi :


دفع أعلى المفسدتين بارتكاب أدناهما


▪️Kewajipan Pemerintah Bertindak Untuk Maslahat Umum


Dalam membahaskan tindakan dan kewajipan pemerintah dalam melaksanakan sesuatu perkara yang tudak bercanggah dengan syarak ialah terdapat kaedah fiqh yang berbunyi :


تَصَرُّفُ الإِمَام عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوط بِالْمَصْلَحَةِ


Maksudnya:

"Tindakan (perlaksanaan) pemerintah ke atas rakyat adalah mesti berkait (terikat) dengan maslahah."


Ini kerana sebagai seorang pemerintah ia akan dipertanggungjawabkan di Hari Akhirat kelak terhadap apa yang dilakukan kepada orang yang berada di bawah tanggungannya. Setiap orang tidak terlepas dari pertanyaan ini apatah lagi seorang pemerintah negara yang lebih besar tanggungjawabnya berbanding ketua keluarga.


Firman Allah SWT :


وَقِفُوهُمۡۖ إِنَّهُم مَّسۡـُٔولُونَ


Maksudnya :

"Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal." - [Surah As-Saaffat 24]


Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW :


كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مسؤول عن رَعِيَّتِهِ الْإِمَامُ رَاعٍ ومسؤول عن رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ في أَهْلِهِ وهو مسؤول عن رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ في بَيْتِ زَوْجِهَا ومسؤولة عن رَعِيَّتِهَا وَالْخَادِمُ رَاعٍ في مَالِ سَيِّدِهِ ومسؤول عن رَعِيَّتِهِ


“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kamu pimpin. Pemimpin bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Lelaki (suami) bertanggungjawab ke atas ahlinya (keluarga). Wanita (isteri) bertanggungjawab ke atas rumah suaminya (menjaga harta benda dan situasi rumah). Khadam bertanggungjawab ke atas harta tuannya dan apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


 Maka pemerintah berhak untuk :


1. Mengeluarkan sesuatu arahan suruhan yang membawa kepada maslahat dan kebaikan yang akan diperolehi secara pasti (اليقين) atau sangkaan yang kuat (غلبة الظن). Ia disebut sebagai fathu al-dzarai' (فتح الذرائع). 


2. Mengeluarkan sesuatu larangan yang mencegah kemudaratan berlaku lebih besar secara pasti (اليقين) atau sangkaan yang kuat (غلبة الظن). Ia disebut sebagai fathu al-dzarai' (سد الذرائع).


Dalam isu penularan wabak COVID-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik, menyerang seluruh dunia dengan menyebabkan ramai orang terkena dan terdedah kepada jangkitan ini, beberapa ketetapan yang telah diambil peringkat kerajaan termasuk yang melibatkan aktiviti keagamaan seperti :


1. Keharusan meniadakan solat Jumaat dan digantikan dengan solat fardhu zuhur.

2. Ketiadaan solat berjemaah di masjid dan laungan azan yang seruan menyuruh umat Islam solat di rumah.

3. Penangguhan semua kelas pengajian / kuliah yang melibatkan himpunan sepanjang tempoh larangan berhimpun.


Ini kerana syarat sebagai ketakutan atau kebimbangan yang pasti (محققا للخوف) adalah telah dicapai berdasarkan laporan semasa dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pihak autoriti yang menjadi ahli yang dirujuk.


Ia selaras dengan firman Allah SWT :


فَسۡـَٔلُوۤا۟ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ


“Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan (ahlinya) jika kamu tidak mengetahui.” - an-Nahl : 43


▪️Rakyat Wajib Patuhi Arahan Pemerintah Demi Maslahat


Umat Islam wajib mentaati pemimpin. Hal ini demikian kerana umat Islam wajib berada dalam keadaan berjemaah dan konsep berjemaah tidak dapat tidak mestilah dilantik seorang pemimpin sebagai ketua dalam menjaga kesatuan dan menguruskan pentadbiran bagi melaksanakan syariat Islam.


Maka secara umum, ketaatan wajib diberikan kepada pemimpin umat Islam, namun harus diingatkan bahawa ketaatan tersebut adalah jika perkara-perkara yang dilakukan oleh pemimpin itu tidak bertentangan dengan syarak. Jika bertentangan dengan syarak maka umat Islam tidak wajib mentaatinya bahkan urusan yang berlaku pertelingkahan wajib dikembalikan iaitu rujuk kepada Allah dan rasul iaitu menurut Islam sebagaimana panduannya Al-Quran dan As-Sunnah.


Firman Allah SWT :


یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِی شَیۡءࣲ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِیلًا


Maksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” - Surah an-Nisa' : 59


Langkah besar yang telah diambil oleh pihak kerajaan menerusi pengumuman YAB Perdana Menteri iaitu Perintah Kawalan Pergerakan mesti dipatuhi oleh semu rakyat bagi memastikan kejayaan untuk mencegah penularan wabak COVID 19 dan mengurangi kes yang telah sedia ada berlaku.


Secara ringkasnya apa yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri akan Perintah Kawalan Pergerakan adalah seperti berikut :


1. Larangan menyeluruh pergerakkan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit and kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. 


2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.


3. Sekatan kemasukkan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.


4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta.


5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi, awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.


6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali uang terlibat dalam perkhidmatan penting negara (essential services).


Justeru, demi maslahat umum semua rakyat, perintah ini mestilah dipatuhi dan diharapkan tiada yang ego yang hanya mementingkan diri sendiri yang akhirnya membawa kemudaratan kepada orang lain.


.

Disediakan oleh :

Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2y4fHAT

Comments