PERANG AHZAB : TELADAN KEPIMPINAN RASULULLAH SAW

PERANG AHZAB : TELADAN KEPIMPINAN RASULULLAH SAW




▪️Pengenalan

Pada surah al-Ahzab bermula ayat ke-9 sehingga ayat ke-27, Allah merakamkan peristiwa peperangan al-Ahzab atau nama lainnya ialah al-Khandaq.

Al-Ahzab merujuk kepada gabungan parti-parti atau kumpulan-kumpulan yang bersekutu bagi tujuan mereka memerangi Islam dan meranapkan negara Islam di Madinah ekoran tidak senang hati mereka terhadap umat Islam.

Perang ini juga dikenali dengan peperangan al-Khandaq kerana maksudnya parit. Dalam peperangan ini tentera Islam melaksanakan strategi gali parit sekeliling Madinah bagi mengekang kemasukan tentera musuh ke dalam negara Madinah.

Peperangan ini berlaku dalam bulan Syawal tahun ke-5 Hijrah. Namun begitu kerja-kerja menggali parit telah dilakukan dalam bulan Ramadhan iaitu pada 16 Ramadhan tahun 5 Hijrah.

▪️Peka Suasana Dan Pantas Bertindak

Penyebab kepada tercetusnya peperangan ini asasnya boleh dilihat kepada 2 faktor iaitu :

1. Dendam Yahudi Bani Nadhir setelah diusir pada tahun ke-4 Hijrah dari Madinah kerana pengkhianatan mereka terhadap perjanjian bersama Rasulullah SAW dan Piagam Madinah. Dendam yang ada menjadikan mereka merancang berpakat bersama kaum musyrikin Mekah bagi menyerang Maidah dan menghancurkan Islam.

2. Setelah penguasaan tenteran musyrikin Mekah dalam medan peperangan Uhud pada tahun ke-2 Hijrah, selain dari kepuasan membalas dendam kekalahan pada peperangan Badar al-Kubra, mereka merasakan sudah tiba saat dengan peluang yang seakan memihak pada mereka untuk terus menghancurkan umat Islam di Madinah. Ditambah lagi apabila berjaya mendapat sokongan beberapa kaum lain termasuk Yahudi Bani Nadhir untuk bersekongkol bersama menjadikan jumlah yang besar.

Musuh Islam berjaya menghimpun beberapa kaum dalam Peperangan Ahzab ini untuk menjadikan jumlah 10 000 iaitu :

i. Musyrikin Makkah.
ii. Bani Ghatfan.
iii. Bani Quraizhah.
iv. Bani Nadhir.
v. Bani Fuzarah.
vi. Bani Murrah.

Berbanding tentera Islam yang berjumlah sekitar 3000 tentera sahaja menjadikan pihak musuh sekali lagi memiliki kelebihan dari sudut bilangan angka.

Walau begitu, perkara ini hakikatnya sudah dijangka menjadikan Rasulullah SAW peka dengan suasana yang berlaku. Ini terbukti apabila sebelum tercetusnya peperangan ini, berlakunya Sariyah Badar pada tahun ke-4 Hijrah. Walau bagaimanapun, dalam gerakan sariyah tersebut di Badar pada tahun 4H, tidak tercetusnya perperangan.

Serta tindakan Rasulullah SAW juga sebagai langkah pencegahan awal walaupun ia bukan dirancang dari awal. Namun sikap kaum Yahudi Bani Nadhir yang terus menerus memerangan Rasulullah SAW apatah lagi keberanian mereka ekoran terpedaya dengan harapan palsu dari bapa munafiqin, Abdullah bin Ubay bin Salul menjadikan mereka mahu menyerang dengan bersenjata, namun dikepung oleh Rasulullah SAW dan tentera Islam. Dan akhirnya mereka diusir keluar.

▪️Mendengar Pandangan Dan Cadangan

Idea strategi penggalian parit bagi menyekat kemaraan musuh datang memasuki kota tempat bertahan ini dikongsikan dalam mesyuarat oleh Salman al-Farisi. Ia merupakan strategi perang zaman Empayar Sasan di Parsi dalam taktikal peperangan yang mereka berhadapan dengan musuh-musuh yang datang menyerang.

Idea ini dipersetujui oleh Rasulullah SAW serta diterima oleh para sahabat yang lain dalam perbincangan yang diadakan. Baginda SAW mengarahkan semua bekerja menggali parit dengan kadar yang segera. Tindakan Rasulullah SAW ini jelas menunjukkan isyarat dan pengajaran :

1. Kepentingan mesyuarat dalam berkongsi idea dan pandangan.
2. Teknikal duniawi yang tidak bercanggah syariat, adanya kebaikan boleh dilaksanakan oleh umat Islam.

Strategi ini tidak pernah digunakan oleh kaum Arab dalam siri siri peperangan yang mereka terlibat menjadikan ketika berlakunya peperangan Ahzab ini, tentera musyrikin dan gabungannya buntu apabila gagal dapat memasuki Madinah bagi tercetus secara berhadapan.

Kepungan yang dilakukan sehingga mengambil masa selama 27 hari kerana tidak dapat memasuki kota Madinah melintasi parit yang digali menyebabkan bekalan makanan terputus, kuda dan unta mati kelaparan serta memberi tekanan dan kebosanan kepada tentera Musyrikin.

▪️Turut Sama Bekerja, Menjadi Teladan Dan Motivasi

Persiapan menghadapi peperangan Ahzab bermula awal kerana umat Islam memilih strategi bertahan di Madinah. Kerja-kerja menggali parit sebagai strategi menyekat musuh dari mara dan masuk ke dalam kota tempat bertahan adalah kerja yang perit dan berat kerana :

1. Berlaku dalam bulan Ramadhan.
2. Masa yang suntuk sebelum musuh sampai. Musuh sampai awal Syawal.
3. Keadaan parit yang digali adalah besar luas dan dalam.

Ada kalangan sahabat yang kepenatan untuk berhenti rehat namun melihat kepada ketekunan kerja Baginda SAW masih diteruskan tanpa berhenti, para sahabat meneruskan kerja. Teladan Baginda SAW menjadi ikutan dan motivasi para sahabat iaitu :

1. Rasul yang kuat bekerja.
2. Pemimpin utama negara "turun padang" bersama-sama.
3. Baginda SAW ketika itu berusia berusia 57 atau 58 tahun namun masih bersemangat bekerja menjadi teladan yang lebih muda dari itu.

Jelas kepimpinan Rasulullah SAW menerusi teladan menjadi inspirasi dan motivasi untuk para sahabat terus kuat bekerja. Kepimpinan Rasulullah SAW tidak sebagaimana pemerintah kerajaan lain yang diktator dan hanya mengarah. Namun Baginda SAW sendiri melaksanakan gerak kerja bersama umat menjadi teladan.

مَن طلبَ الجُهدَ الثقِيلَ وَالعَمَل القاسِيَ مِن أتبَاعِهِ فليكن مِثالا للعَمل أولا
“Barangsiapa yang menginginkan jerih payah dan kerja yang serius dari para pengikutnya, maka ia harus menjadi contoh terlebih dahulu dalam pekerjaan itu”.

▪️Tidak Melayan "Suara Sumbang". Terus Perteguh Keyakinan

Hakikatnya tentera Islam tidak hanya berhadapan dengan tentera musuh namun menghadapan serangan licik dari pihak munafiq yang sentiasa menggoyahkan keyakinan umat Islam dalam situasi getir ini.

Dalam peperangan ini Allah mendedahkan tentang kisah orang-orang munafiq serta perancangan sulit mereka untuk menghancurkan Islam. Jahatnya kalangan munafiq ini cuba melemahkan semangat dan menggoyahkan keyakinan umat Islam terhadap janji Allah sebagaimana pada ayat ke-12 dan 13 dalam Surah al Ahzab :

وَإِذۡ یَقُولُ ٱلۡمُنَـٰفِقُونَ وَٱلَّذِینَ فِی قُلُوبِهِم مَّرَضࣱ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۤ إِلَّا غُرُورࣰا * وَإِذۡ قَالَت طَّاۤىِٕفَةࣱ مِّنۡهُمۡ یَـٰۤأَهۡلَ یَثۡرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمۡ فَٱرۡجِعُوا۟ۚ وَیَسۡتَـٔۡذِنُ فَرِیقࣱ مِّنۡهُمُ ٱلنَّبِیَّ یَقُولُونَ إِنَّ بُیُوتَنَا عَوۡرَةࣱ وَمَا هِیَ بِعَوۡرَةٍۖ إِن یُرِیدُونَ إِلَّا فِرَارࣰا

Maksudnya :
Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja". Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: "Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah". Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan", pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam). - [Surah Al-Ahzab 12 - 13]

Malahan sewaktu mesyuarat awal pun, kalangan munafiq bersetuju pertempuran dalam kota negara Madinah bukan kerana mahukan terlibat jihad namun :

i. Mereka senang menyembunyikan diri kerana kalau pertempuran di luar perlu daftar, beratur dan pergerakan berkumpulan.
i. Mereka juga tidak terlibat dalam kerja menggali parit, bersembunyi dan memberi pelbagai alasan.

Namun begitu, Baginda SAW terus memperteguhkan keyakinan umat Islam terhadap bantuan Allah di kala waktu kita tidak menyangka dan adanya tentera-tentera Allah yang dihantar tanpa dapat melihatnya. Ini janji Allah bagi tentera Islam yang berjihad di jalan-Nya.

Firman Allah SWT :

وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُوا۟ هَـٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّاۤ إِیمَـٰنࣰا وَتَسۡلِیمࣰا

Maksudnya :
Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. - [Surah Al-Ahzab 22]

▪️Penutup

Ini antara salah satu sudut yang dapat diambil pengajaran dalam peperangan Ahzab yang berlaku dalam bulan Syawal. Kelebihan yang dimiliki oleh seorang pemimpin antara faktor pentong mengurus kekuatan barisan tentera dan umat Islam.

Sekalipun tekanan kuat dari luar dan gangguan dari dalaman, umat Islam perlu bersatu dan pemimpin perlu peka agar memastikan suatu tindakan yang diambil mampu membuahkan hasil.

Sehubungan itu, umat Islam dalam berhadapan sesuatu perkara maka :

i. Bermesyuarat bagi mendapatkan keputusan terbaik.
ii. Pemimpin menunjukkan teladan, rakyat terus menurut arahan.
iii. Pasakkan keyakinan dan jangan mudah goyah tipu daya musuh dalaman.
iv. Keyakinan akan bantuan dari Allah menghadapi musuh, dugaan dan ujian.

.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2BO5Iln

Comments