PERANG UHUD : JANGAN LEKA DAN JANGAN LANGGAR ARAHAN
▪️Musuh Tidak Pernah Berhenti Memusuhi
Peperangan Uhud terjadi dalam bulan Syawal pada tahun ke-3 Hijrah. Ia susulan semangat bergelora kaum musyrikin Mekah dengan dendam kesumat selepas dikalahkan oleh tentera Islam dalam peperangan Badar al-Kubra pada tahun sebelumnya, tahun ke-2 Hijran dalam bulan Ramadhan.
Ternyata kekalahan yang dialami oleh musyrikin Mekah tidak menjadikan mereka duduk diam dan senyap malah mereka terus merancang memusuhi untuk bangkit melawan kembali Islam. Sebab itu, kemenangan yang dikecapi oleh umat Islam tidak boleh menyebabkan duduk selesa dan lena kerana musuh sentiasa bekerja untuk melawan dan bangkit.
Musyrikin Mekah berterusan meniupkan kebencian dan dendam bagi mempengaruhi masyarakat musyrikin Mekah bangkit dan turut serta melawan tentera Islam. Semenangnya jarum halus pihak musyrikin, musuh Islam ialah memainkan sentimen dendam menuntut bela kematian ahli keluarga mereka yang terbunuh dalam peperangan Badar al-Kubra.
Matlamat peperangan mereka ialah :
1. Mengembalikan maruah ekoran kekalahan bagi menunjukkan keberanian dan pujian.
2. Menuntut bela darah semangat asabiyah.
Inilah yang membezakan matlamat peperangan yang tercetus antara kaum musyrikin dan Islam. Ini kerana jika ditaqdirkan berlaku peperangan, yang dikira jihad di jalan Allah adalah kerana meninggikan kalimah Allah bukan selain itu.
Abu Musa al-Asy'ari meriwayatkan :
سُئِلَ رسولُ الله صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم عَنِ الرَّجُلِ يُقاتِلُ شَجَاعَةً، ويُقاتِلُ حَمِيَّةً ويقاتِلُ رِياءً، أَيُّ ذلِك في سَبِيلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ رَسُول الله صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم: “مَنْ قاتَلَ لِتَكُون كلِمةُ اللَّهِ هِي الْعُلْيَا فهُوَ في سَبِيلِ اللَّهِ” مُتَّفَقٌ عَلَيهِ
Maksudnya :
“Rasulullah SAW pernah ditanya oleh sebahagian sahabatnya tentang seseorang yang berperang kerana berani (sifatnya pemberani), seseorang yang berperang kerana fanatisme kebangsaan , dan seseorang yang berperang kerana riya’ (agar dipuji orang lain). Manakah di antara niat tersebut yang termasuk jihad di jalan Allah?” Rasulullah SAW menjawab : ”Barangsiapa yang berperang untuk menegakkan kalimat Allah sebagai kalimat yang palinng tinggi, maka dia berada (berjihad) di jalan Allah.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim
▪️Wanita Jahat Turut Berperanan Melawan Islam
Semangat berkobar dari pihak musyrikin Mekah berjaya menghimpunkan angka lebih besar dari jumlah perang Badar al-Kubra sebelum ini. Kali ini dengan jumlah sebanyak 3000 orang termasuk kalangan para wanita dibawa serta sebagai pembangkit semangat juang pahlawan bagi para suami.
Sememangnya peranan wanita jahat adalah pembantu kepada lelaki jahat. Maka begitulah sebaliknya, wanita solehah adalah pembantu kepada lelaki soleh.
Malah sejak awal Islam ditentang, Allah merakamkan bagaimana kecelakaan ynag turut ditimpa ke atas Ummu Jamil, isteri kepada Abu Lahab kerana bersuhabat dan menjadi "batu api" untuk terus Abu Lahab memusuhi Rasulullah SAW secara keras.
Firman Allah SWT :
وَٱمۡرَأَتُهُۥ حَمَّالَةَ ٱلۡحَطَبِ * فِی جِیدِهَا حَبۡلࣱ مِّن مَّسَدِۭ
Maksudnya :
Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal. - [Surah Al-Masad 4 - 5]
Lantaran itu, jika wanita jahat turut membantu lelaki jahat, maka sewajarnya juga keberadaan wanita solehah adalah membantu lelaki soleh dalam menguatkan gerak kerja Islam atas matlamat yang sama berdasarkan posisi dan kemampuan yang disusun.
Firman Allah SWT :
ٱلۡمُنَـٰفِقُونَ وَٱلۡمُنَـٰفِقَـٰتُ بَعۡضُهُم مِّنۢ بَعۡضࣲۚ یَأۡمُرُونَ بِٱلۡمُنكَرِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَقۡبِضُونَ أَیۡدِیَهُمۡۚ نَسُوا۟ ٱللَّهَ فَنَسِیَهُمۡۚ إِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِینَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ
Maksudnya :
Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik. - [Surah At-Tawbah 67]
Firman Allah SWT :
وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِیَاۤءُ بَعۡضࣲۚ یَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَیُقِیمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَیُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَیُطِیعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥۤۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ سَیَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِیزٌ حَكِیمࣱ
Maksudnya :
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. - [Surah At-Tawbah 71]
▪️Waspada "Bisikan" Musuh Dalaman
Apabila Rasulullah SAW mendapat maklumat bahawa kesiap siagaan tentera musyrikin untuk kembali membalas dendam, lantas diseru jihad kepada para sahabat. Baginda SAW bermesyuarat mendapatkan pandangan para sahabat mengenai startegi berperang sama ada kekal di dalam kota Madinah atau berperang di luar kota Madinah.
Majoriti para sahabat memilih untuk berperang di luar kota Madinah terutama kalangan mereka yang tidak kesempatan menyertai peperangan Badar al-Kubra sebelum ini. Walaupun Rasulullah SAW sendiri mempunyai pandangan sendiri untuk berperang dalam kota Madinah namun Baginda SAW rai dan menurut keputusan ramai dalam hal ijtihadiyah ini.
Strategi pandangan peribadi Baginda SAW adalah berasaskan :
1. Memberi peluang kalangan yang agak uzur jika untuk keluar agar dapat turut serta, mengejar kelebihan jihad dan syahid.
2. Rumah dan bangunan sebagai benteng.
Dalam masa itu juga, pihak musyrikin juga memainkan peranan jahat secara licik, iaitu menyokong idea beperang dalam kota Madinah bagi tujuan jahat agar mereka sempat melarikan diri menerusi celah bangunan bagi menyelamatkan diri.
Akhirnya keputusan dicapai, berangkat tentera Islam dengan jumlah 1000 orang. Namun pertengahan jalan ketika hampir sampai di kawasan terjadinya peperangan, Bapa Munafiq, Abdullah bin Ubay bin Salul membawa pulang 300 tentera untuk tarik diri. Keimanan tergugat dan akhirnya meninggalkan perjalanan jihad berpatah semula ke Madinah. Berbaki 700 tentera sahaja untuk bertempur dengan 3000 tentera musyrikin Mekah.
Kejahatan musuh dalaman dalam hal ini dapat dilihat bahawa :
1. Cadangan idea bukan demi Islam tetapi untuk kepentingan peribadi.
2. Meragukan dan menggoyahkan keyakinan umat Islam untuk tidak laksanakan jihad dan takut untuk berkorban.
▪️Tidak Sabar, Tidak Patuh Arahan Asbab Musuh Menguasai
Setibanya di kawasan Bukit Uhud, Baginda SAW memposisikan seramai 50 tentera pemanah yang diketuai oleh Jabir bin Abdullah. Strategi bagi menguasai medan dengan serangan panah dari atas.
Ternyata startegi ini tepat kerana Islam berjaya menguasai medan pada "pusingan awal". Namun di saat tentera musyrikin untuk berundur, tentera pemanah Islam di atas Bukit Uhud hampir keseluruhan, lebih 40 tentera turun dari posisi yang ditempatkan. Berbaki Jabir bin Abdullah bersama beberapa tentera pemanah sahaja sedangkan yang lain telah turun dari Bukit Uhud.
Sedangkan arahan yang diberikan oleh Baginda SAW ketika memposisikan mereka di atas bukit ialah jangan turun sama ada melihat keadaan di bawah menang atau kalah, sehinggalah diutuskan seorang wakil naik ke atas bukit untuk sampaikan arahan untuk turun.
Arahan Rasulullah SAW kepada kumpulan pemanah yang diposisikan di atas Bukit Uhud :
إِنْ رَأَيْتُمُونَا تَخْطَفُنَا الطَّيْرُ فَلَا تَبْرَحُوا مَكَانَكُمْ هَذَا حَتَّى أُرْسِلَ إِلَيْكُمْ وَإِنْ رَأَيْتُمُونَا هَزَمْنَا الْقَوْمَ وَأَوْطَأْنَاهُمْ فَلَا تَبْرَحُوا حَتَّى أُرْسِلَ إِلَيْكُمْ
“Apabila kalian melihat kami disambar oleh burung (menderita kekalahan) maka janganlah kalian meninggalkan posisi kalian, sampai aku mengutus seseorang kepada kalian. Dan apabila kalian melihat kami berhasil mengalahkan mereka, maka janganlah kalian meninggalkan posisi kalian sampai aku mengutus seseorang kepada kalian.” – riwayat al-Bukhari
.
Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman
Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3ce2TGp
Comments
Post a Comment