RAMADHAN SEPANJANG TEMPOH PKP (PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN)

 RAMADHAN SEPANJANG TEMPOH PKP



▪️Ramadhan Masih Sama, Keistimewaan Masih Ada

Tahun ini suasana Ramadhan agak berbeza apabila seluruh, termasuk negara Malaysia diuji dengan wabak COVID-19 yang menyaksikan penangguhan segala aktiviti keagamaan secara berjemaah dan himpunan sosial di masjid-masjid dan surau-surau. Implikasinya, Ramadhan tahun ini surau sunat Tarawih dilaksanakan di rumah masing-masing, ketiadaan iftar jama'i di masjid dan surau serta suasana bazar tiada di seluruh negara.

Namun begitu, kedatangan Ramadhan tetap sama membawa keistimewaanya iaitu :

1. Dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan diikat syaitan.
2. Ganjaran pahala berlipat kali ganda iaitu ibadah sunat diganjari seperti ibadah fardhu dan ibadah fardhu diganjari 70 kali lipat ganda.
3. Diampuni dosa terdahulu bagi yang menghidupkan Ramadhan dengan keimanan dan mengharap keampunan Tuhan.
4. Lailatul qadr yang mana satu malam itu terlebih baik dari seribu bulan.
5. Waktu mustajab doa ketika hendak berbuka puasa.
6. Tersedia pintu Rayyan di syurga bagi mereka yang berpuasa.
7. Pahala membelanjakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa.
8. Pahala besar bagi solat sunat Tarawih ynag merupakan solat sunat muakkadah.

Dan banyak lagi ganjaran dan fadhilat yang terkait dengan Ramadhan dan puasa yang tetap sama ditawarkan walaupun sepanjang PKP. Jangan pula disebabkan Ramadhan kali ini dalam tempoh PKP, kita lemah semangat dan akhirnya merugikan diri dengan membiarkan ganjaran dan keistimewaan Ramadhan dibiar begitu sahaja tanpa diusahakan dengan bersungguh.

Justeru, terus bugarkan semangat menyambut Ramadhan dan menghidupkan Ramadhan sekalipun di rumah masing-masing dengan penuh keimanan dan mengharapkan keampunan dari Allah SWT.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ [وفي رواية]: مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya :
“Siapa saja yang berpuasa Ramadhan dengan dasar iman, dan berharap pahala dan ridha Allah, maka dosanya yang lalu pasti diampuni.” [dalam riwayat lain]: “Siapa saja yang melakukan qiyam [di malam hari] Ramadhan dengan dasar iman, dan berharap pahala dan ridha Allah, maka maka dosanya yang lalu pasti diampuni.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

▪️Hidupkan Suasana Ibadah Di Dalam Rumah

Menghidupkan suasana ibadah di rumah merupakan saranan dalam Islam. Ia tidak hanya terhad pada Ramadhan yang berada dalam tempoh PKP sahaja namun ia saranan pada setiap masa. Bahkan Rasulullah SAW melarang menjadikan rumah seumpama kuburan yang "gelap" kerana sunyi dari ibadah yang lakukan padanya.

Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا

Maksudnya:
“Jadikanlah sebahagian daripada solat kamu di rumah kamu. Jangan jadikan rumah kamu semua seperti kubur.” - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Apa yang dimaksudkan dengan solat pada hadith tersebut ialah solat sunat yang dilakukan secara sendiri. Ini kerana bagi kaum lelaki, solat fardhu dituntut berjemaah di masjid kecuali jika terdapat keuzuran. Ini dikuatkan lagi dengan hadith daripada Zaid bin Thabit R.A, Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ

Maksudnya:
"Sesungguhnya sebaik-baik solat bagi seseorang adalah di rumahnya, kecuali solat fardhu." - riwayat al-Bukhari dan Muslim

Walaupun para isteri dan wanita bersolat di rumah, namun hadith di atas tetap dituju secara khusus untuk para kaum lelaki menjadikan sebahagian solat sunatnya dididirikan di rumah. Ini boleh dilakukan pada solat sunat malam seperti tahajjud dan qiamullail di akhir 1/3 malam.

Selain ibadah solat, Rasulullah SAW turut menyuruh umatnya menghidupkan suasana ibadah di rumah dengan membaca al-Quran. Amalan ini juga fadhilatnya sebagai "pendinding" kepada penghuni rumah tersebut dari gangguan syaitan dan perkara yang tidak elok.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksudnya:
“Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.” - Riwayat Muslim dan al-Nasa’ie

Ibnu Mas’ud meriwayatkan :

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ، خَرَجَ مِنْهُ

Maksudnya:
“Sesungguhnya syaitan, apabila mendengar surah al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, maka dia akan keluar daripada rumah tersebut.” - Riwayat al-Tabrani

Dalam situasi biasa pun Islam menyuruh umatnya menghidupkan suasana ibadah di rumah masing-masing, maka bila situasi kena duduk di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan maka lebih banyak masa dan aktiviti boleh dilaksanakan untuk menghidupkan suasana ibadah di rumah.

Justeru, sepanjang Ramadhan dalam tempoh PKP ini jadikan suasana beribadah di masjid di dalam rumah kita dengan :

1. Memelihara solat fardhu berjemaah.
2. Mendirikan solat sunat Tarawih berjemaah.
3. Mewujudkan halaqah tadarus bersama ahli keluarga.
4. Berbuka puasa secara berjemaah dan doa sebelum berbuka bersama-sama.
5. Adakan majlis tazkirah yang dipimpin oleh ketua keluarga atau mengikut giliran.
6. Kejutkan ahli keluarga mengadakan qiyamullail dan memburu lailatul qadr.

▪️Tiada Iktikaf, Namun Diganti Pahala Taat Pemerintah

Walaupun begitu, keistimewaan masjid yang tiada di rumah ialah beriktikaf. Namun begitu, ketidak hadiran kita ke masjid bukanlah dengan sengaja malah terdapat keuzuran syar'i di peringkat umum bagi memelihara nyawa ummah.

Sekalipun begitu, dalam menenangkan diri bagi meraih pahala iktikaf ini, bolehlah dimotivasikan dengan pahala ganti atau seumpamanya seperti hujah berikut :

1. Tetap dapat pahala sama sekiranya sewaktu ketiadaan keuzuran memang kehidupan melazimi iktikaf di masjid. Ini kerana beribadah ketika mempunyai keuzuran tetap diberi pahala sewaktu dalam keadaan aman tanpa keuzuran.

Abu Burdah bin Abu Musa bahawa ia menemani Yazid bin Abu Kasyabah dalam suatu perjalanan, dan pada waktu itu Yazid sedang berpuasa. Abu Burdah berkata kepadanya; Saya berkali-kali mendengar Abu Musa berkata :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya :
"Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang sakit atau bermusafir, maka dicatat baginya pahala sebagaimana ketika amalannya semasa bermukim dan dalam keadaan sihat.” - riwayat Ahmad

2. Sepanjang keberadaan di rumah adalah kerana menuruti perintah pemerintah maka ia termasuk melaksanakan ketaatan. Maka sepanjang menyambut Ramadhan dan beribadah di rumah akan mendapat pahala mentaati pemerintah.

Firman Allah SWT :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِی شَیۡءࣲ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِیلًا

Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." - [Surah An-Nisa' 59]

Justeru, dalam situasi sekarang ini, perintah yang dikeluarkan adalah bagi memastikan maslahat umum rakyat lebih terpelihara dari sebarang kebarangkalian risikl yang bakal terjadi. Maka berada di rumah kerana menurut perintah pemerintah ia termasuk dalam ibadah yang dikira oleh syarak.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَن أطَاعَنِي فقَدْ أطَاعَ اللَّهَ، ومَن عَصَانِي فقَدْ عَصَى اللَّهَ، ومَن يُطِعِ الأمِيرَ فقَدْ أطَاعَنِي، ومَن يَعْصِ الأمِيرَ فقَدْ عَصَانِي

Maksudnya :
"Sesiapa yang mentaatiku maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Maka sesiapa menderhakai kepadaku maka dia telah menderhakai kepada Allah. Dan sesiapa mentaati ketua (pemerintah) maka sesungguhnya dia telah mentaatiku. Namun siapa yang menderhakai pemerintah maka dja telah menderhakai aku." - riwayat al-Bukhari

▪️Muhasabah Tahun Ini Bagi Ramadhan Yang Lalu

Yang paling utama, bagi memastikan suasana beribadah di dalam bulan Ramadhan terus disemarakkan ialah panduan ilmu dan kefahaman yang sahih. Ini kerana ilmu memimpin akan amalan. Tanpa ilmu dan kefahaman yang sahih akan menyebabkan suasana Ramadhan hambar dari kemeriahan beribadah ekoran tidak dapat berjemaah dan beraktiviti di masjid ditambah pula tiada bazar kali ini ini.

Ambillah tempoh PKP yang berlaku tahun ini ekoran ujian wabak COVID-19 yang melanda untuk masa bermuhasabah atas kealpaan dan kesilapan yang lalu agar bila kembali kepada rutin kehidupan yang asal, kita bangkit dengan keimanan untuk lebih baik.

Antara muhabasah yang berlaku sepanjang Ramadhan tahun-tahun sebelum ini ialah isu pembaziran makanan. Ini didapati menerusi siaran akhbar media Harian Metro yang disiarkan pada 9 Mei 2019 menyatakan pembaziran makanan di Malaysia kritikal dan ia dijangka meningkat 15 hingga 20 peratus terutama di bulan Ramadan.

Menerusi kajian daripada SW Corp, Malaysia membuang lebih 15,000 metrik tan (mt) makanan setiap hari manakala lebih 3,000 mt terdiri daripada makanan yang masih boleh dimakan.

Menerusi berita tersebut kenyataan oleh Timbalan Pengarah Program Jaringan Antarabangsa, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Aniadila Kamaruddin bahawa data menunjukkan bazar Ramadan yang besar iaitu antara 200 hingga 300 gerai menyumbang kepada purata 200 kilogram (kg) makanan dibazirkan setiap hari. Manakala Bazar Ramadan bersaiz sederhana mencatatkan purata pembaziran 80 hingga 100 kg sehari.

Sedangkan statistik Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) menunjukkan lebih 21,000 orang meninggal dunia setiap hari akibat kebuluran dan kelaparan. Sudah pasti isu pembaziran bukanlah isu remeh yang tidak perlu diberi perhatian serius akan tetapi perlunya muhasabah atas sikap yang :

1. Tidak menghargai makanan.
2. Tidak menghormati kesucian bulan Ramadhan dengan perbuatan yang dikeji oleh Allah.

Firman Allah SWT :

وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِیرًا * إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِینَ كَانُوۤا۟ إِخۡوَ ٰ⁠نَ ٱلشَّیَـٰطِینِۖ وَكَانَ ٱلشَّیۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورࣰا

Maksudnya :
"Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan membazir yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. - [Surah Al-Isra' 26 - 27]

Inilah antara muhabasabah Ramadhan sebelum-sebelum ini yang perlu diubah sikap umat Islam dalam tahun ini agar sekiranya dikurniakan Allah keadaan pulih dan bertemu Ramadhan akan datang selepas ini, kita menjadikan bulan Ramadhan medan amal terbaik dengan jauhi perkara yang tidak elok seumpama isu pembaziran.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2XPgKzq

Comments