SIKAP KITA TERHADAP MEREKA YANG POSITIF COVID-19

SIKAP KITA TERHADAP MEREKA YANG POSITIF COVID-19


▪️Pendahuluan


Dalam situasi berhadapan dengan pandemik COVID-19, semua pihak perlu memainkan peranan, bertenang, fokus agenda kebajikan semua dan mengambil sikap yang tidak mengeruhkan keadaan. Pandemik COVID-19 ini situasi yang memberikan kebimbangan kepada semua orang malah menakutkan kerana kita berhadapan dengan sesuatu yang tidak terlihat.


Hal ini sangat memberikan kesan kepada semua aspek termasuklah mental dan emosi. Tiada siapa yang mahu sakit. Namun apabila seseorang yang disahkan positif COVID-19, suka atau tidak akan dibawa dan ditempatkan dsi hospital bagi rawatan dan tidak tahu apakah akan bertemu semula dengan ahli keluarganya atau tidak. Ia bergantung kepada keputusan terbaru bagi saringan semasa yang dilakukan. 


Sehubungan itu, sebagai seorang muslim sikap yang diajarkan kepada kita terhadap pesakit secara umum dan termasuklah secara khusus dalam situasi sekarang iaitu mereka yang positif COVID-19 ialah antaranya sebagaimana yang dijelaskan bawah ini. 


▪️Ucapkan Yang Baik


Sebagai umat Islam yang masih dikurniakan kesihatan oleh Allah dan terpelihara dari dijangkiti atau positif COVID-19, janganlah kita bongkak dengan bermudah-mudah menyalahkan seseorang yang positif COVID-19. Manusia tidak lari dari sebarang kesilapan.


Dalam kes jemaah Tabligh sebelum ini pun berapa banyak lemparan kata-kata yang kurang enak kepada mereka. Sedangkan yang diajarkan dalam Islam ialah sebagai orang yabg sihat, kita berikan atau ucapkan kata-kata yang baik dan elok kerana :


1. Sebagai tanda kasih sesama muslim.

2. Fokus utama ialah memberi sokongan untuk pulih.

3. Ia menjadi doa kerana malaikat mengaminkannya. 


Ummu Salamah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:


إِذَا حَضَرْتُمُ الْمَرِيضَ، أَوِ الْمَيِّتَ، فَقُولُوا خَيْرًا، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ


Maksudnya:

“Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” - riwayat Muslim


▪️Usah Bersangka Buruk


Dalam situasi ini kurangkan bersangka buruk. Perkara yang tidak pasti, tidak wajar dipolemikkan. Elakkan menjadi isu benda yang tidak pun menjadi isu. Banyak bersangka tidak membawa kebaikan malah lebih membuka kepada permasalahan lain yang boleh timbul.


Kita diajar bercakap apa yang baik dan diam dari perkara yang tidak baik. Ini termasuklah diam dari apa yang sahaja yang menimbulkan sangkaan-sangkaan. Kadang kala dianggap remeh, namun hakikat bercakap dengan lisan tanpa pengetahuan yang jelas dan bukti kukuh adalah satu perkara besar di sisi Allah.


Firman Allah SWT :


إِذۡ تَلَقَّوۡنَهُۥ بِأَلۡسِنَتِكُمۡ وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم مَّا لَیۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ وَتَحۡسَبُونَهُۥ هَیِّنࣰا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِیمࣱ


Maksudnya :

"Semasa kamu bertanya atau menceritakan berita itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya." - [Surah An-Nur 15]


Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :


إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا


Maksudnya :

“Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.” riwayat al-Bukhari


Adalah lebih banyak memperbanyakkan doa dan nasihat sabar kerana seseorang yang ditimpakan musibah memerlukan kekuatan emosi dan dorongan pihak sekeliling. 


▪️Beri Kegembiraan Dan Harapan


Sebagai muslim, pandangan kita terhadap sesuatu yang terjadi mestilah berbeza dari pandangan yang dilihat oleh orang kafir. Musibah Allah diturunkan ke atas semua manusia baik muslim mahupun kafir. Baik orang baik mahupun orang jahat. Bersifat umum tanpa selektif. Namun natijahnya adalah berbeza yang tidak boleh disamakan.


Ujian dan musibah ke atas orang Islam adalah mudah-mudahan sebagai peghapus dosa dan meningkatkan maqam keimanannya. Berbeza ujian musibah ke atas orang kafir adalah sebagai hukuman atas kekafirannya. 


Abdul Rahman bin Said meriwayatkan dari ayahnya bahawa ayahnya (Said) berkata :


كنت مع سلمان -وعاد مريضا في كندة- فلما دخل عليه قال أبشر فإن مرض المؤمن يجعله الله له كفارة ومستعتبا وإن مرض الفاجر كالبعير عقله أهله ثم أرسلوه فلا يدرى لم عقل ولم أرسل   "


Maksudnya :

Aku (ayahnya Sa’id) suatu ketika bersama Salman menjenguk seorang yang sedang sakit di Kindah, ketika Salman menemuinya, Salman mengatakan, “Bergembiralah, kerana sesungguhnya sakit yang dialami seorang mukmin Allah jadikan sebagai penghapus dosanya dan saat dimana ia taubat dari berbuatan maksiatnya serta mencari ridha Allah. Sedangkan sakit bagi orang yang fajir/kafir seperti unta yang diikat pemiliknya kemudian pemiliknya melepas ikatanya tanpa ia tahu kenapa diikat dan kenapa dilepas - riwayat al-Bukhari


Justeri, ucapan kita kepada pesakit ialah memberi berita gembira dan harapan iaitu :


1. Menerangkan hakikat penghapusan dosa.

2. Menjelaskan ganjaran besar bagi orang bersabar.

3. Menceritakan kisah teladan para Rasul yang turut diuji.

4. Memperingatkan kasih sayang Allah atas kalangan hamba-Nya yang sangka baik atas ketentuan-Nya.


▪️Beri Sokongan Moral


Pesakit juga sangat memerlukan sokongan moral dari kaum keluarga terdekat dan pihak sekeliling. Sokongan moral juga merupakan kaedah bantuan perawatan kerana memberikan kekuatan untuk pesakit terus termotivasi tanpa lemah semangat dalam berhadapan dengan sakitnya tersebut.


Memberi sokongan moral dengan berada di sampingnya (bagi kes yang tidak kena kuarantin), sentiasa memberikan kata-kata semangat, seringkan mendoakan dan menunjukkan reaksi positif adalah satu perbuatan yang dikira amal kebajikan yang besar pahalanya.


Kita boleh ambil pengajaran bagaimana situasi Sayiduna Uthman yang menjaga isterinya, yang merupakan juga anak kepada Rasulullah SAW. Beliau terlepas dari peperangan Badar namun tetap diberi ganjaran pahala Badar sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda SAW kepada beliau. 


Ibn Umar meriwayatkan perihal Sayiduna Uthman :


كَانَ تَحْتَهُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَتْ مَرِيضَةً فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لَكَ أَجْرَ رَجُلٍ مِمَّنْ شَهِدَ بَدْرًا


Maksudnya :

sebab saat itu dia sedang merawat putri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang tengah sakit, dimana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepadanya: "Kamu mendapat pahala dan bagian sebagaimana mereka yang ikut perang Badar." - riwayat al-Bukhari


▪️Penutup


Terlalu banyak menurut Sunnah Rasulullah SAW akan doa-doa yang diajarkan untuk dibacakan kepada mereka yang diuji dengan kesakitan apa sahaja penyakitnya. Boleh diamalkan. Jika tidak menghafalnya mohon sahaja doa menerusi bahasa ucapan seharian yang penting ketika berdoa :


1. Niat yang betul.

2. Permintaan yang betul.

3. Keadaan yang merintih berharap.


Wabak atau Pandemik COVID-19 adalah ujian musibah ke atas seluruh negara di dunia ini. Sebagai umat Islam kita berusaha tangani dan rawat kerana itu yang disuruh oleh Islam. Maka begitu juga bersikaplah dengan mereka yang positif COVID-19 dengan apa yang disuruh oleh Islam.


Semoga Allah menghilangkan wabak ini dan dijauhkan kita dari sebarang bala dan fitnah zahir batin yang tidak tertanggung oleh kita.


.

Disediakan oleh :

Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/3e36mdn

Comments