KEDUDUKAN LGBT DALAM KALANGAN MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA

KEDUDUKAN LGBT DALAM KALANGAN MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA





◾Pengenalan

Isu kontroversi berkenaan dengan golongan LGBT tidak berkesudahan. Malah pasca PRU 14 menyaksikan golongan ini semakin berani menzahirkan kumpulan mereka.

Malah yang dikesali, golongan ini diberi "tempat" antara isu transgender apabila press media antara Menteri Agama dengan Nisha Ayob. Dan yang terbaru lantikan Rania Zara Medina selaku AJK dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) Malaysia oleh Kementerian Kesihatan.

▪️Kedudukan LGBT menurut perspektif Islam

1. Dilaknat atas pengubahan fitrah

Dalam Islam, golongan ini merupakan golongan terlaknat kerana mengubah ciptaan fitrah manusia sama ada mengubah perasaan dengan menyerupai sehingga berlaku hubungan songsang (gay dan lesbian) serta pertukaran jantina (transgender).

Dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam sabda Baginda SAW:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ[1]

Maksudnya: "Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki."

2. Kekal hukum asal kejadian fitrah

Malah golongan hukum bagi transgender adalah berdasarkan pada hukum asal kejadian. Pengubahan kemaluan tidak mengubah hukum asal ke atas kejadian mereka.

ولو تصور الرجل بصورة المرأة أو عكسه فلا نقض في الاولى وينتقض الوضوء في الثانية للقطع بأن العين لم تنقلب وإنما انخلعت من صورة إلى صورة

Maksudnya : “Seandainya ada seorang lelaki mengubah bentuk dengan bentuk perempuan atau sebaliknya, maka–jika ada lelaki yang menyentuhnya–tidak batal wudhunya dalam permasalahan yang pertama (lelaki yang mengubah bentuk seperti wanita), dan batal wudhu’nya di dalam permasalahan yang kedua (wanita yang mengubah bentuk seperti lelaki) kerana dipastikan bahawa tidak ada perubahan secara hakikatnya, yang berubah tidak lain hanya bentuk luarnya saja,” (Lihat Abdul Hamid Asy-Syarwani, Hasyiyatus Syarwani, Beirut, Darul Kutub Al-Islamiyah, cetakan kelima, 2006, jilid I, halaman 137).

3. Hukuman jika melibatkan hubungan seksual yang songsang

Bagi pelaku liwat maka ulamak berselisih pandangan iaitu :

i. Dibunuh / Rejam sehingga mati sama ada pelaku muhsan (telah berkahwin) atau belum.
ii. Diqiyas kepada hukuman zina iaitu rejam ke atas pelaku muhsan manakala sebatan 100 kali yang belum.
iii. Takzir. Diserahkan kepada hakim dan pemerintah atas kebijaksanaan menangani.

Manakala bagi pelaku musahaqah iaitu lesbian pula hukumannya ialah Sepakat di kalangan ulama dan fuqaha bahawa tiada hukuman had atau hudud kepada perlakuan sihaq kerana ia bukanlah maksud zina yang sebenar tetapi wajib padanya dikenakan ta’zir kerana ia maksiat.

4. Tetap Berdosa Besar

Sekalipun hukuman liwat dan musahaqah tidak disepakati termasuk dalam hudud, namun ia bukan menunjukkan keringanan atas maksiat dan jenayah tersebut.

Ia tetap berdosa besar. Ini berdasarkan kepada hadith yang jelas menyatakan Rasulullah SAW melaknat ke atas golongan dan perbuatan tersebut.

Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir bahawa umat Islam telah bersepakat bahawa perbuatan liwat termasuk dosa besar yang diharamkan oleh Allah SWT:


أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ ﴿١٦٥﴾ وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ


Maksudnya: "Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, (165) "Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas " - as-Syu'ara' : 165-166

◾Kedudukan LGBT dalam konteks fatwa di Malaysia

Dalam konteks fatwa di negara Malaysia juga jelas terhadap pengharaman mengenaj tasyabbuh iaitu penyerupaan lelaki dan perempuan beserta penggubahan ciptaan. Ini dapat dilihat pada rekod fatwa atau muzakarah berikut sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri yang ada menyentuh perbincangan hal LGBT dan perkara terkait dengannya seperti mak nyah, pengkid dan seumpamanya :

- Persidangan Majlis Ulama Kelantan pada 18 Oktober 1975
- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982
- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989
- Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor yang bersidang pada 15 Jun 1993
- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 bertarikh 21 hingga 23 November 2006
- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga pada Oktober 2008
- Fatwa yang diwartakan di negeri Melaka dan Kedah juga mengguna pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 bertarikh 22 hingga 24 Oktober 2008
- Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 18 Mac 2009
- Fatwa yang diwartakan di Perak pada Jun 2010
- Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada5 Zulhijjah 1429H bersamaan 3 Disember 2008M

◾Kedudukan LGBT dalam konteks perundangan di Malaysia

Dari sudut perundangan juga tidak mengiktiraf golongan ini. LGBT merupakan suatu kesalahan di bawah undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri, peruntukan kesalahan adalah seperti berikut:

Liwat, Lelaki berlagak seperti perempuan, perempuan berlagak seperti lelaki, musahaqah, perhubungan jenis luar tabi’e, pondan, hubungan jenis antara orang yang sama jantina.

Peruntukan-peruntukan di atas adalah merangkumi semua peruntukan yang ada di dalam akta, enakmen dan Ordinan di negeri-negeri seluruh Malaysia.

Sebagai contoh peruntukan di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 adalah seperti berikut:

- Seksyen 25. Liwat. Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
- Seksyen 26. Musahaqah. Mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
- Seksyen 28. Orang lelaki berlagak seperti perempuan. Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

◾Tindakan Kita Terhadap Golongan LGBT

Berdasarkan kepada kedudukan-kedudukan LGBT yang dibahaskan maka tindakan kita ialah :

i- Dari sudut ketegasan :

1. Haram mengiktiraf dan meredhai tindakan yang dilakukan oleh mereka.
2. Tidak boleh bersetuju dengan pertukaran jantina dengan panggilan yang tidak merujuk kepada asal kejadian. Seperti penggunaan panggilan dalam bahasa isteri "she" kepada lelaki yang mengubah jantina. Ini kerana dari dari sudut fiqh, ia masih dikira lelaki.
3. Menghukum tindakan yang disabitkan terbukti bersalah sebagai pengajaran agar tidak mengulangi dan orang luar tidak terpengaruh.
4. Tidak boleh mendaftarkan sebarang pertubuhan yang berkaitan golongan LGBT.
5. Tidak boleh memberi keizinan untuk aktiviti yang dianjurkan oleh LGBT.
6. Tidak mengangkat golongan ini sebagai golongan yang mendapat pengiktirafan dan diberi kemuliaan.

ii. Dari sudut pendidikan dan dakwah :

1. Berdakwah dan memberi penjelasan agar menghilangkan keraguan dalam diri mereka.
2. Memberikan rawatan psikologi dan kaunseling kepada mereka yang mengalami konflik identiti dari terjerebak kepada LGBT.
3. Menyediakan dana ke pusat, institusi atau pertubuhan yang melakukan kerja amal dakwah dan pemulihan golongan LGBT ini sepertimana Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 14 Mei 2012 memutuskan Fatwa Jenis ar-Riqab, antara senarai penerima agihan asnaf Al Riqab yang layak menerima bantuan zakat Al Riqab ialah golongan terbelenggu gaya hidup songsang, termasuk pelacur, lesbian, mak nyah, gay, homoseksual, gigolo, biseksual, pengkid, tomboi dan bersekedudukan dengan orang bukan lslam.

◾Hak LGBT yang diberikan dalam kehidupan manusia

Sebagai seorang manusia maka hak manusia yang umum diberikan kepada golongan ini seperti makan, minum, tempat tinggal dan lain-lain selagimana :

1. Tidak menzahirkan perbuatan yang bercanggah syariah dan dilarang oleh perundangan secara terbuka.
2. Tidak mengganggu keharmonian umum masyarakat seperti percampuran penggunaan tandas awam.
3. Dibenarkan bekerja pada pekerjaan yang sah pada syarak dan perundangan, yang mana pekerjaan tersebut tidak melibatkan ketentuan khas jantina tertentu.

◾ Penutup

Jelas kepada kita bahawa golongan LGBT merupakan dilaknat dalam Islam kerana mengubah kejadian fitrah yang diciptakan oleh Allah SWT ke atas diri mereka. Golongan ini mesti dihadapi agar kerosakan dari mereka tidak timbul.

Tindakan kita adalah :

1. Tidak redha dan iktiraf.
2. Mencegah dengan hukuman, pendidikan dan pemulihan.
3. Tidak mengangkat dan memuliakan golongan ini.

Pihak keluarga turut berperanan penting dalam mencegah isu ini bermula dari jagaan dan pemantauan anak-anak bermula dari pembesaran dalam rumah. Tanggungjawab keluarga juga memastikan anak-anak berada landasan fitrah asal mereka dari terjerebak dengan golongan LGBT.

Justeru, berdasarkan perbincangan di atas, dalam isu lantikan Rania Zara Medina (seorang transgender) selaku AJK dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) Malaysia oleh Kementerian Kesihatan mewakili Kerajaan Malaysia adalah tindakan yang tidak patut dan patut dikritik kerana perlantikan itu seakan mengiktiraf golongan LGBT tersebut dan tidak menghormati agama Islam selaku agama Persekutuan.

.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/342KbPX

Comments