USIA MENGUNDI 18 TAHUN: SARANAN DAN PANDANGAN ISLAM

USIA MENGUNDIA 18 TAHUN : SARANAN DAN PANDANGAN ISLAM



PENGENALAN

Dalam konteks pengamalan sistem demokrasi di Malaysia, seseorang warganegara layak untuk mengundi apabila berusia 21 tahun dan telah daftar memilih. Ia merupakan tanggungjawab sebagai seorang warganegara dalam memilih tampuk kepimpinan yang menerajui pemerintahan dan pentadbiran negara menerusi calon-calon yang bertanding di peringkat negeri mahupun Parlimen.

Terbaru apabila usul yang dikemukan oleh YB Menteri Belia dan Sukan dalam sidang Parlimen untuk menurunkan had umur kelayakan mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun. Usul ini dilihat mendapat pelbagai respon yang berbeza sama ada pihak yang bersetuju atau tidak atas alasan masing-masing.

Namun, antara alasan kuat bagi pihak yang tidak bersetuju antaranya ialah soal kematangan seseorang yang berusia 18 tahun dalam memilih dan menentukan masa depan negara memandangkan ia merupakan soal yang besar dan bukan boleh dijadikan medan ujikaji semberono.

HAD USIA MATANG DARI PERSPEKTIF ISLAM

Dalam perbahasan umur, para fuqaha membezakan antara had baligh dan juga matang atau boleh dikenali dengan ar-rusyd (الرشد).[1]

Had baligh ialah capaian umur bermulanya taklifan agama ke atas seseorang. Baligh boleh dicapai seawal seusia 9 tahun dan paling lewat ialah 15 tahun (mengikut kiraan qamariyyah). Tanda baligh dilihat dengan wujudnya tanda-tandanya antara salah satu berikut iaitu :

1. Keluarnya haid bagi perempuan.
2. Mampi dan keluarnya air mani bagi lelaki dan perempuan.
3. Jika tidak berlaku kedua-dua tanda di atas, namun usia telah mencecah 15 tahun mengikut kiraan qamariyyah, maka dikira telah baligh secara langsung.

Dari sudut biologi, baligh menjadikan perubahan jasad, emosi dan pemikiran seseorang berubah ke arah yang lebih rasional dalam berfikir dan melakukan pertimbangan secara had minima. [2]

Ini kerana sebelum mencapai had baligh, seseorang kanak-kanak akan melalui proses yang dikenali sebagai umur mumayyiz. Ia adalah tahap seseorang kanak-kanak dapat membezakan antara sesuatu yang tidak elok dan elok secara naluri dan urufnya.

Walaupun begitu, bagi had matang yang dikenali dengan ar-rusyd (الرشد), para fuqaha tidak menentukan secara riqid [3]. Malah kematangan juga boleh terjadi :

1. Dengan semata-mata baligh seseorang.
2. Lebih lewat berbanding umur baligh.

Perbezaan berlaku adalah atas faktor yang pelbagai yang perlu diambil kira seperti :

1. Pengalaman dan uruf.
2. Pengetahuan dan intelek.
3. Keturunan dan generasi.
4. Corak pendidikan dan pembesaran yang diterima.

Biasanya had matang diletakkan sesuatu had umur yang lebih dari umur baligh semata-mata. Dalam konteks muamalat, yang melibatkan kuasa urus harta yang disebut sebagai الصرف maka para ulama membeza barangan yang remeh dengan barangan yang bernilai tinggi. Begitu juga pemilikan harta dan pengurusannya, terdapat juga ketetapan dari perundangan, anak yang mencapai usia 21 tahun baru layak mengurus harta peninggalan yang diterima olehnya.

Ini kerana had kematangan sebagai ukuran agar seseorang tersebut bersikap sedar dan tepat dalam sesuatu tindakan yang diambil agar tidak mengakibatkan kesan negatif seperti boros, bazir, sia-sia dan menimbulkan mudarat kesan tindakan serta pilihannya.

GAMBARAN USIA LAYAK DIKIRA MATANG DI PELBAGAI LAPANGAN

Dalam konteks pengamalan di Malaysia, jika dilihat pada sesuatu aspek, kita akan dapati perbezaan penetapan had matang yang ditetapkan. Sebagai contoh :

1. Di Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan menetapkan kriteria seseorang anak yatim adalah berusia 16 tahun dan ke bawah. Mereka yang lebih 16 tahun tidak layak lagi dipanggil anak yatim.

2. Had minima untuk diberikan keizinan berkahwin di negeri Selangor ialah 18 tahun.

3. Umur minimum untuk seseorang bekerja adalah adalah 15 tahun dan ia adalah selaras dengan Konvensyen Umur Minimum 1973 (No. 138). Seksyen 1 Akta Kanak-kanak dan Orang Muda(Pekerjaan) 1966(Akta 350); Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996(Akta550).

4. Kadar umur minimum untuk kerja berbahaya adalah 18 tahun memandangkan Akta 350 telah menyatakan bahawa "Tiada kanak-kanak atau orang muda boleh, atau dikehendaki atau dibenarkan untuk menjadi, terlibat dalam apa-apa kerja yang berbahaya, atau mana-mana pekerjaan yang lain daripada yang dinyatakan dalam seksyen ini ".

5. Harta pusaka tersebut tidak boleh terus di turun milik kepada semua waris, sebaliknya akan di turun milik kepada nama pentadbir yang dilantik sehinggalah waris yang bawah umur tersebut telah mencapai umur dewasa iaitu 18 tahun dan sehinggalah status waris kurang upaya tersebut ditarik balik.

6. Mengikut undang-undang, penamaan tidak akan berkuat kuasa sekiranya ketika kematian ahli, penama belum mencapai umur 18 tahun kerana tidak layak bertindak sebagai wasi.

7. Mengambil lesen Kelas B dan B2, seseorang itu haruslah berumur 16 tahun manakala 17 tahun adalah umur untuk mendapatkan lesen Kelas D (kereta).

Sehubungan itu, jelas had usia 18 tahun bukanlah sesuatu yang asing. Bahkan secara umum, kita telah mengiktiraf pada usia 18 tahun ia boleh dikira layak sebagai tempoh telah matang secara minima.

Hakikatnya, kematangan usia bukan hanya pada rigid angka tersebut tetapi pada proses yang disediakan dan persiapan medium bagi ke arah kematangan. Di sinilah menjadi polemik sama ada layak atau tidak mengundi. Di sinilah cabarannya dalam penyediaan dan membangunkan kalangan orang muda seawal seusia 18 tahun dilihat matang dalam konteks mengundi untuk pilihan raya.

CABARAN PERSEDIAAN KEMATANGAN

Walaupun usia 18 tahun bukanlah had umur yang asing dalam pelbagai lapangan dan sektor yang dinyatakan sebelum ini, namun cabaran untuk menurunkan kelayakan mengundi pada had umur minima 18 tahun adalah kerana kebimbangan terhadap masa hadapan negara kelak.

Ini kerana cabaran yang perlu dipersiapkan ialah bagamana seawal seusian 18 tahun mereka yang layak mengundi untuk dapat mengundi dan matang dalam pertimbangan pemilihan yang dilakukan berdasarkan kecaknaan terhadap isu semasa, pentadbiran negara dan politik tanah air?

Di sinilah asasnya dibahagikan cabaran kepada tiga fokus iaitu :

1. Kelayakan sebagai pengundi. Ini kerana isunya masih ramai yang tidak daftar memilih khususnya kalangan kaum teras Melayu. Laporan dari akhbar Berita Harian pada 12 Februari 2018 bahawa seramai 3.6 juta orang muda berusia 21 tahun ke atas termasuk golongan mahasiswa belum mendaftar sebagai pemilih untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).[4]
2. Kematangan dalam sesuatu pertimbangan yang melibatkan masa hadapan tanah air. Kes-kes yang melibatkan usia muda amat banyak. Menjadikan orang muda khususnya di bawah 21 tahun ini dilihat seakan tertumpu pada hiburan yang dihidangkan tanpa peduli soal urus tadbir negara.[5]
3. Pengetahuan mengenai isu semasa tanah air dan politik. Ia kerana sekatan tertentu terhadap pelajar dalam berpolitik seperti sekatan menerusi AUKU sebelum ini di kampus-kampus dan tiadanya sukatan khusus mengenai politik tanah akhir secara lumat sebagai silibus pembelajaran di sekolah.

SARANAN KE ARAH PENYELESAIAN

Berdasarkan kepada 3 cabaran asas yang dibahagikan di atas, maka saranan ke arah penyelesaian juga adalah berdasarkan apa yang telah dibahagikan tersebut.

Saranan ke arah penyelesaian tersebut adalah seperti berikut :

1. Kelayakan mengundi secara automatik bagi mereka yang telah mencecah usia 18 tahun pada tahun berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU).
2. Subjek berkaitan ilmu agama dan pembinaan syaksiah mesti dijadikan subjek wajib lulus, bukan hanya selektif. Ia mesti diberikan perhatian kelulusannya sebagaimana subjek Bahasa Melayu, dan sejarah Malaysia agar kecemerlangan yang dikecapi tidak hanya tertulis atas helaian sijil tetapi kelakuan sebagai seorang yang baik akhlaknya.
3. Penekanan subjek politik menerusi kerangka siyasah syariah bermula pada tahap pendidikan menengah lagi. Supaya kesedaran yang melibatkan politik termasuk mengundi tidak hanya sekadar tanggungjawab warganegara tetapi juga perintah dari agama. Serta tiada lagi akta-akta yang menyekat kebebasan mahasiswa/wi dalam penglibatan di dalam medan politik.

PENUTUP

Penurunan had usia mengundi pada 18 tahun memerlukan kerja-kerja yang serius kerana isunya bukan pada rigid angka tetapi pada sistem dalam proses kematangan.

Maka peranan ini mesti dimainkan oleh semua pihak dengan baik. Secara asasnya :

1. Sudut kerajaan : jadikan silibus politik yang menepati kerangka siyasah syariah yang diperintah oleh agama. Subjek ini diperkemaskan sebagai subjek penting seperti Bahasa Melayu dan Sejarah serta ilmu asas fardhu ain.
2. Sudut kekeluargaan : bina suasana pembesaran anak² yang cakna isu. Tidak hanya membiarkan anak² leka dengan hiburan.

Di samping itu, ia adalah peluang untuk anak-anak muda diberikan pengisian awal dan "kesibukan" terhadap perkara yang penting berbanding mereka disibukkan dengan perkara yang tidak berfaedah.

Nasihat Imam as-Syafie :[6]

نفسك إن لم تشغلْها بالحق شغلتْك بالباطل

"Jiwa kamu, jika tidak kamu sibukkan dengan perkara kebenaran maka ia akan sibukkan kamu dengan kebatilan. "

Disediakan oleh :
Dr Muhamad Zuhaili bin Saiman

.....

Nota Hujung : -

[2] 'Adil' Izzuddin al-Asywal : علم نفس النمو من الجنين إلى الشيخوخة
[6] Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, قيمة الزمان عند العلماء

Pautan Page FB Muhamad Zuhaili bin Saiman : https://bit.ly/2xv8YzT

Comments