KELUARGA MALAYSIA : MENERUSKAN USAHA KE ARAH NEGARA BANGSA
Merujuk Kebersamaan, Kesatuan Dengan 1 Identiti
Negara Bangsa merujuk kepada identiti sesebuah negara khususnya negara yang mempunyai berbilang kaum dan bangsa seperti di Malaysia. Fasa kewujudan masyarakat majmuk tidak sewajarnya menjadi penghalang kepada sesebuah negara mempunyai 1 identiti.
Pasca kemerdekaan, adalah amat penting sesebuah negara berjaya memastikan perpaduan di kalangan kaum dan bangsa serta keharmonian kalangan masyarakat sejagat. Kegagalan memastikan wujudnya perpaduan dan keharmonian akan menyebabkan ketidakstabilan dan mengundang huru hara serta kekacauan.
Malaysia walau terdiri dari masyarakat majmuk, namun telah menetapkan 1 identiti secara rasmi dalam Perlembagaan secara langsung iaitu merujuk kepada :
1. Islam agama Persekutuan.
2. Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan.
3. YDP Agong merupakan Ketua Negara.
4. Melayu didefinisikan sebagai seorang yang beragama Islam.
5. Hak istimewa Melayu & bumiputera tidak boleh dipersoalkan.
Merujuk kepada 5 perkara ini sahaja sudah menjelaskan identiti negara Malaysia. Namun menjadi cabaran ialah bagaimana ia berjaya dihayati oleh semua masyarakat terutama bukan dari kalangan bukan Melayu itu sendiri.
Malah menjadi cabaran juga segentir orang melayu sendiri yang termakan doktrin liberal Barat yang tidak memahami identiti asas negara Malaysia mempertikaikan, kononnya identiti ini adalah bersifat perkauman / racist.
Integrasi Sosial, Asimilasi Nasional
Proses perpaduan di negara Malaysia umumnya bersifat integrasi iaitu setiap kaum minoriti mengekalkan identiti tersendiri di peringkat sosial. Sebab itu kita dapat lihat, setiap kaum masih mengekalkan identiti tersendiri mereka sekalipun semuanya adalah warganegara yang sah dalam negara Malaysia.
Berbeza dengan negara yang mengamalkan proses asimilasi yang menyaksikan percantuman identiti menjadi satu identiti sahaja sekalipun di peringkat sosial. Identiti kaum minoriti beransur-ansur diserap menjadi sebagaimana identiti kaum yang dominasi di negara itu. Bahasa, budaya, komunikasi semuanya menjadi 1 sahaja kerana proses percantuman berlaku di peringkat awal.
Terdapat perbincangan yang panjang bagaimana usaha ke arah membentuk perpaduan nasional kalangan rakyat negara Malaysia dalam masa yang sama mempunyai identiti berbeza yang dikekalkan di peringkat sosial. Malah ada yang mencadangkan untuk usahakan proses asimilasi di peringkat sosial lagi agar percantuman budaya telah terbentuk bagi memudahkan wujudnya imej perpaduan dengan 1 identiti di peringkat nasional.
Hal ini tidak pelik kerana segelintir kelompok telah pun menunjukkan hasil usaha dari asimilasi yang telah berlaku sebelum ini seperti kelompok Baba dan Nyonya, masyarakat Jawa dan kelompok cina di Kelantan. Namun ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi telah berlaku sejak sekian lama dengan faktor yang kuat seperti :
1. Kerelaan kelompok minoriti itu sendiri.
2. Wujudnya perkahwinan antara kelompok minoriti dengan kelompok dominasi.
3. Hubungan yang sangat erat dalam kehidupan berjiran dan sosio budaya.
Bagi saya, sekalipun integrasi terus berjalan di peringkat sosiol namun ia lebih untuk memelihara keunikan dan sejarah kaum dan bangsa itu, tetapi ia tidak boleh menjadi penghalang kepada perpaduan nasional yang menuju ke arah usaha pembinaan negara Bangsa.
Maksud kata, semua kaum minoriti mestilah merasai identiti yang telah dibina dalam negara ini dengan memastikan semangat perpaduan dihayati. Adapun keunikan identiti dan budaya asal hanya di peringkat sosial dan kekeluargaan sahaja. Sejarah, Bahasa, Budaya dan semangat patriotisme mestilah menunjukkan ke arah perpaduan di peringkat nasional. Tanpa perlu dipertikai dan mengundang polemik yang telah pun diselesaikan sejak awal seperti polemik-polemik berkaitan yang mendakwa kononnya kaum Melayu adalah pendatang dan seumpamanya.
Demokrasi Yang Matang Tulang Belakang Negara Bangsa
Demokrasi yang membuka ruang kebebasan sering kali disalah guna yang menjurus kepada pergaduhan berpanjangan yang tidak berkesudahan. Kita dapat lihat, perdebatan yang tidak beretika dalam persidangan Dewan Rakyat yang memalukan. Juga tiada eleman kerjasama antara pihak kerajaan dan pembangkang yang hanya mahu merebut kerusi sekalipun pilihanraya sudah berakhir.
Cukuplah medan pilihanraya bersaing dalam menentukan siapa yang berkuasa dalam memperolehi sokongan majoriti, namun setelah pilihanraya berakhir dan kerajaan dibentuk, usaha sama antara kerajaan dan pembangkang adalah satu kemestian. Kerajaan penggubal polisi dan dasar manakala pembangkang memainkan peranan semak dan imbang (check and balance).
Sekalipun bukan dalam konteks kerajaan perpaduan atau dinamakan unity government tetapi kematangan dalam peranan semak dan imbang oleh pihak pembangkang adalah penting namun ia mestilah bertindak dengan matang, tumpuan objektif kesejahteraan negara dan rakyat bukan kerana dendam, emosional dan mahu merebut kuasa yang membawa ketidakstabilan negara.
Islam memberikan panduan dalam hal ini iaitu nasihat menasihati. Medan Dewan Rakyat diperanankan dengan baik agar kerajaan tidak sewenang-wenangnya bertindak tetapi mempunyai pandangan sudut berbeza bagi membuahkan hasil yang lebih baik dan telus. Dewan Rakyat difungsikan sebagai konsep mesyuarat atas semangat kerjasama sekalipun dari blok yang berbeza. Ini kerana sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan maka tanggungjawab atas mereka membawa kebaikan kepada negara dan rakyat, bukan menjaga kroni masing-masing.
Keluarga Malaysia : Pendekatan Mesra Dan Bertepatan Dengan Masa
Negara masih bergelut dengan pandemik yang telah melanda lebih setahun. Banyak permasalahan yang menimpa selain dari kesihatan, terdapat juga masalah ekonomi, pendidikan dan psikologi. Penderitaan dan kesusahan ini mestilah dirasai bersama dan dipikul bersama pada peranan masing-masing.
Isu yang besar sepatutnya membawa kepada perpaduan yang lebih erat. Soal "pihak yang memerintah" memiliki majoriti nipis bukan soal yang perlu dibangkitkan lagi. Itu soal dalam pilihanraya kelak, rakyat akan menilai dan memilih. Soalnya ialah kita fokus memerangi pandemik ini sebagai sebuah keluarga.
Memang dalam sebuah keluarga ada masalah, namun jangan dibawa masalah untuk keluarga sehingga runtuhnya institusi tersebut dan menjadi penyebab permasalahan baru pula yang muncul. Sebab itu, pihak kerajaan dan pembangkang perlu banyakkan perbincangan dan rundingan menerusi "1 meja kebersamaan" atas apa jua platform dalam membincangkan hal-hal negara dan isu yang besar ini.
Sampai bila, kita mahu teruskan sentimen "aku, aku, dia, dia" tetapi ubahlah kepada "kita, kita". Jangan hanya kerana dia bukan berada di pihak kita, kita akan membangkang secara membuta tulis sekalipun adanya kebaikan untuk negara dan rakyat. Begitu juga jangan pula hanya ia berada di pihak kita, kita menyokong membuta tuli sekalipun jelas salah dan membawa kemudaratan.
Tempoh pasca PRU 14 sebenarnya lebih kurang berbaki 20 bulan sahaja jika genap 5 tahun bagi satu penggal. Berbaki 20 bulan ini bolehlah mendidik ahli politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang belajar dimensi politik yang baharu. Kita bukan lagi berada di zaman 80-an atau 90-an, suasana sangat berbeza, rakyat juga mempunyai pemikiran yang tidak sama seperti dahulu. Perubahan yang berlaku mesti kepada kebaikan.
"Keluarga Malaysia" yang diucapkan oleh PM ke-9 dalam ucapan sulungnya perlu diterjemahkan oleh semua dalam pemikiran dan tindakan, tidak hanya laungan seumpama slogan semata-mata. Mari kita jayakan!
.
Disediakan oleh :
Dr Muhamad Zuhaili bin Hj Saiman
Comments
Post a Comment