MERAIKAN SAMBUTAN HARI ASYURA



MERAIKAN SAMBUTAN HARI ASYURA


1. Hari Asyura ialah hari ke-10 dalam bulan Muharram. Ia mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam sebagai salah satu hari yang
hebat
.

2. Kelebihan berpuasa Hari Asyura ialah diampunkan dosa setahun yang lalu. Perbahasan ulamak ia pengampunan dosa kecil adapun dosa besar melibatkan taubat nasuha dan jika melibatkan hak orang lain perlu dilunaskan sama ada pemulangan semula, menggantikan jika barang telah rosak atau diganti dengan nilai atau pun dimaafkan / dihalal oleh tuan empunya.

3. Sejarah pensyariatan puasa Hari Asyura ialah Rasulullah SAW melihat Yahudi di Madinah berpuasa, dan mereka menyatakan adalah kerana sebagai membesarkan hari Asyura ekoran sejarah hari tersebut Allah telah selamatkan Nabi Musa dan Bani Israil dari Firaun. Lantas Baginda SAW menegaskan bahawa Muslim terlebih layak ke atas Musa dan memerintahkan umatnya berpuasa.

4. Disunnahkan juga berpuasa sehari sebelum kerana terdapat hadith Baginda yang menyatakan demikian, antara hikmahnya bagi tidak menyerupai puasa Yahudi yang tunggal pada hari asyura sahaja.

5. Dalam konteks fiqh, sah dan mendapatkan sunnah berpuasa hari Asyura sekalipun berpuasa pada satu hari 10 Muharram sahaja. Namun tetap digalakkan dan sunnah lagi menambah sehari sebelum atau boleh juga sehari selepas.

6. Jika mahu berpuasa ketiga-tiga hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharram maka tetap sah dan mendapat sunnah. Syeikh Dr Ali Muhyiddin al-Qarahdaghi dalam statusnya FB nya menyatakan ia (puasa tiga hari) adalah martabat tertinggi.

7. Selain berpuasa, umat Islam juga digalakkan banyak beribadah secara umum. Ia boleh dilakukan dengan zikir, bacaan al-Quran, serta apa sahaja ibadah secara umum.

8. Malah di antara yang disyorkan oleh para ulama ialah berbelanja kepada ahli keluarga mudah-mudahkan Allah memberikan kemurahan rezeki kepadanya. Selain dari ahli keluarga, boleh juga kerabat dan juga kalangan asnaf faqir miskin.

، رَوَاهُ سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ عَنْ جَعْفَرٍ عَنْ إبْرَاهِيمَ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ الْمُنْتَشِرِ، وَكَانَ أَفْضَلَ أَهْلِ زَمَانِهِ أَنَّهُ بَلَغَهُ: «مَنْ وَسَّعَ عَلَى عِيَالِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللهُ عَلَيْهِ سَائِرَ سَنَتِهِ» قَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ: قَدْ جَرَّبْنَاهُ مُنْذُ خَمْسِينَ سَنَةً أَوْ سِتِّينَ فَمَا رَأَيْنَا إلَّا خَيْرًا

9. Berkata Syeikh Atiyah Saqar, mengapa kita menyambut hari kebesaran sekian, sekian, seperti Maulid Rasul, Awal Tahun Hijrah, Hari Asyura dan lain-lain kerana kita berada di zaman manusia yang dalam kesibukan. Dengan hari kebesaran ini kita wujudkan hubungan kehidupan kita dengan apa yang ada dan ditunjukkan Rasulullah SAW selain kita meraikan perubahan zaman dan tempat berdasarkan kesesuaian. Ia supaya agar hidup kita tidak jauh dengan apa yang ada hubungan dengan Islam.

10. Justeru, hidupkanlah sambutan Hari Asyura dengan wajah-wajah yang mempamerkan ibadah serta kebajikan. Ia secara khusus menjadi galakan kepada kita menghidupkan kehidupan kita dengan perkara berfaedah dan mendatangkan pahala. Hanyasanya, perlu dijaga jika ia ibadah yang bersifat umum maka jangan disabitkan secara khusus kepada Rasulullah SAW.
.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments