PENGHAYATAN TERHADAP KEMERDEKAAN NEGARA

 PENGHAYATAN TERHADAP KEMERDEKAAN NEGARA


◾️
Kalam Ruba'i Menjadi Benchmark

Setiap kali datangnya sambutan kemerdekaan, kita sentiasa diperingatkan mengenai hakikat kemerdekaan agar kita tidak lalai dalam nikmat kemerdekaan yang sedia ada sekarang ini. Mengenai hakikat kemerdekaan bukanlah menafikan kemerdekaan yang telah diperolehi namun ia menjadikan kita berusaha lebih untuk memelihara nikmat kemerdekaan dan memaknai kemerdekaan ini dengan objektif yang tepat menurut perspektif Syarak.

Di zaman negara moden ini dan penekanan hak asasi manusia, tiada lagi "penjajahan" secara terang-terangan, akan tetapi masih berlaku "minda yang terjajah" serta "sistem penjajahan" yang diwarisi oleh penduduk negara asal yang ia bertentangan dengan syariat. Maka inilah yang perlu wujudnya usaha berterusan dalam mencapai kemerdekaan yang sebenar sebagaimana kata-kata dari Ruba'i bin Amir kepada Rustum yang menjadi bencmark dalam kita memahami maksud kemerdekaan menurut perspektif Syarak iaitu :

اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ، فَأَرْسَلَنَا بِدِينِهِ إِلَى خَلْقِهِ لِنَدْعُوَهُمْ إِلَيْهِ، فَمَنْ قَبِلَ ذَلِكَ قَبِلْنَا مِنْهُ وَرَجَعْنَا عَنْهُ، وَمَنْ أَبَى قَاتَلْنَاهُ أَبَدًا حَتَّى نُفْضِيَ إِلَى مَوْعُودِ اللَّهِ

Maksudnya:
“Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia membangkitkan kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka sesiapa yang menerima perkara tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi sesiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya sehinggalah kami berjaya memperoleh apa yang dijanjikan Allah SWT.”

Sebagaimana antara nukilan dari ceramah oleh almarhum Ustaz Hj Fadzil Noor yang dihimpunkan dalam buku yang berjudul Aqidah dan Perjuangan menegaskan bahawa "penjajah sudah tiada, tetapi apa yang ditinggalkan ialah orang yang mindanya meneruskan peninggalkan penjajah".

Justeru, kemerdekaan luaran dan dalaman, fizikal dan minda kesemuanya adalah penting agar kita selaku umat Islam bebas dari sistem yang taghut dan kembali berusaha menjadi perhambaan abdi kepada Allah semata-mata dari sudut akidah, ibadah dan akhlak.

◾️
Pertahankan Kemerdekaan Dengan Semangat Perpaduan

Mencapai kemerdekaan negara bukanlah jalan yang mudah, malah sejarah menyaksikan pejuang-pejuang negara kalangan para ulamak, tentera dan orang awam menjadi korban berhadapan menentang penjajah bagi mempertahankan negara. Nilai sebuah kemerdekaan ini ialah darah pengorbanan generasi lama yang mesti disyukuri oleh generasi kemerdekaan pada hari ini.

Mempertahankan kemerdekaan tidak hanya sekadar laungan slogan begitu sahaja dan sepi dari pengisian. Kemerdekaan yang dicapai mesti dipertahankan antaranya ialah dengan semangat perpaduan oleh semua kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Walaupun zaman pra kolonial, tanah ini kalangan kaum Melayu sahaja namun pasca kolonial kita menyaksikan kewujudan masyarakat majmuk yang kita menerimanya dalam mencapai kemerdekaan dari British. Sama ada "rela atau terpaksa" inilah realiti tanah air kita pasca kolonial selama mana Kontrak Sosial 1948.

Dalam usaha mencapai kemerdekaan juga kita menyaksikan kekuatan dari semangat perpaduan apabila berjaya memasukkan penekanan Islam dalam Perlembagaan sebagaimana yang termaktub menerusi Perkara 3 (1) menjelaskan Islam merupakan agama Persekutuan ketika menggubal Perlembagaan bersama perbincangan Suruhanjaya Reid.

Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menceritakan bahawa Pilihan Raya Pra Kemerdekaan 1955 mempamerkan parti Melayu terbesar Umno dan PAS, bersama parti kaum MCA dan MIC telah menggubal Perlembagaan Persekutuan berasaskan:

1. Islam Agama Persekutuan, serta hak bagi agama lain yang dianut oleh kaum yang bersama kita;
2. Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, tanpa dihalang bahasa kaum lain; dan
3. Hak Istimewa Melayu Bumiputera, kerana mereka menjadi mangsa paling lama dipinggir penjajah dalam ekonomi dan penyusunan masyarakat majmuk yang tidak saksama, menjadikan mereka paling jauh ketinggalan dalam pendidikan dan ekonomi, namun haram menzalimi kaum lain yang ada juga ketinggalan.

◾️
Ke Arah Negara Sejahtera

Tugas kita pada hari ini ialah mewujudkan sebuah negara yang sejahtera realistik dengan situasi negara kita tersendiri. Isu-isu yang membawa kerosakan, kezaliman, ketidakstabilan serta pudarnya semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan tugas yang besar. Tugas ini tidak akan berjaya kecuali dengan :

1. Penekanan sistem pendidikan dalam mencapai pengetahuan yang jelas.
2. Penegasan integriti dalam kalangan pemimpin politik dan penjawat awam.
3. Kebebasan pihak kehakiman dan perundangan dari sebarang campur tangan.
4. Penerapan semangat perpaduan menerusi 1 identiti negara bangsa dalam semua rakyat Malaysia.

Dalam kajian Global Peace Index yang dijalankan oleh Institute of Economics and Peace menyenaraikan kedudukan negara Malaysia berada pada tangga ke-23 pada tahun 2021, turun dari tahun 2020 yang berada pada tangga ke-20.

Dalam konteks yang melibatkan rasuah, negara Malaysia jatuh ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2020. Berbanding pada tahun 2019, Malaysia berada di kedudukan ke-51.

Dan beberapa isu besar lagi di peringkat nasional dan persada antarabangsa memerlukan perancangan tersusun dan usaha berterusan bagi melonjakkan negara malaysia serta menuju kepada negara sejahtera serta dalam masa yang sama gembleng kekuatan membentuk persefahaman untuk menggubal beberapa halangan yang wujud dalam Perlembagaan bagi membolehkan lagi pelaksanaan syariah yang lebih meluas dan keseluruhannya.

◾️
Jatidiri Rakyat Mencerminkan Imej Negara Yang Merdeka

Malaysia perlu menyelesaikan terlebih dahulu isu jatidiri rakyat Malaysia dalam mencerminkan imej negara yang merdeka. Kita tidak boleh selesa dengan imej masyarakat majmuk sehingga membiarkan perbezaan identiti pelbagaian kaum tanpa mampu melonjak imej negara yang satu. Akhirnya dibimbangi penghayatan merdeka dan semangat patriotisme ini hanya pada sebahagian sahaja tanpa menyeluruh.

Lantaran itu, memupuk perpaduan di fasa ini bukan lagi boleh statik pada awal negara mencapai kemerdekaan. Dari proses kesepaduan kita perlu meningkatkan lagi proses penyatupaduan dalam membina perpaduan nasional yang memaparkan 1 imej negara. Kepelbagaian masyarakat dan identiti bangsa dan kaum adalah keunikan tanpa menjadi halangan kepada pembentukan imej negara Malaysia.

Kerajaan perlu memainkan lebih fungsi Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) yang ditubuhkan pada 2020 bagi menggantikan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang ditubuhkan pada tahun 2010.

Medium yang baik ini perlu ditonjolkan sebagaimana jawtaankuasa atau jabatan-jabatan yang ditubuhkan di bawah Kementerian yang dilihat bersifat popular. Ini kerana, selagimana terdapat ruang perbezaan ia boleh menjadi potensi cabaran jika tidak diuruskan dengan baik. Justeru, kemerdekaan yang dicapai akan lebih bermakna dan mampu diberikan fokus pengisian yang
terbaik
dengan wujudnya semangat perpaduan dan negara mempunyai identiti yang sama menerusi jatidiri rakyat yang jelas walaupun terdiri dari berbilang-bilang kaum dan bangsa.

.
Disediakan oleh :
Dr Muhamad Zuhaili bin Hj Saiman

Comments