Tadarus N Tadabbur
Surah al-Kahfi : Ayat 1 - 2
Firman Allah SWT :
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِیۤ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبۡدِهِ ٱلۡكِتَـٰبَ وَلَمۡ یَجۡعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ قَیِّمࣰا لِّیُنذِرَ بَأۡسࣰا شَدِیدࣰا مِّن لَّدُنۡهُ وَیُبَشِّرَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ ٱلَّذِینَ یَعۡمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرًا حَسَنࣰا
Maksudnya :
Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong). (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik. - [Surah Al-Kahf 1 - 2]
Tadabbur
Surah al Kahfi antara salah satu surah yang menonjolkan dengan fadhilat tersendiri. Apatahagi surah ini menjadi sunnah dibaca pada hari Jumaat.
Kelebihan surah al Kahfi antaranya ialah sebagaimana yang terdapat dapat hadis bahawa sesiapa yang membaca awal surah 10 ayat atau akhir surah 10 ayat akan terselamat dari fitnah dajjal.
Dinamakan surah dengan dengan al-Kahfi merujuk kepada makna gua kerana tedapat kisah pemuda di zaman Bani Israil yang diselamatkan oleh Allah dari kerosakan akidah yang berlaku di zaman mereka dengan ditidurkan di dalam gua selama 309 tahun.
Allah memulai surah ini dengan pujian ke atas zat-Nya dan kelebihan yang Allah berikan ke atas hamba-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW akan al-Quran sebagai petunjuk jalan yang lurus.
Memulai surah dengan "hamdalah" secara langsung Allah mengajar hamba-hamba-Nya bagaimana untuk memuji Allah yang sememang Tuhan yang selayaknya dipuji, tidak ada selainnya.
Selan itu Allah turut memuji Nabi Muhammad SAW dengan panggilan "hamba" kerana manusia yang mulia di sisi Allah adalah mereka yang memperhambakan diri kepada-Nya dengan kehambaan yang mutlak. Panggilan "hamba" di sisi Allah berbeza dengan perspektif di sisi manusia. Manusia melihat "hamba" sebagai sesuatu yang rendah dan hina namun di sisi Allah mereka yang mulia adalah kerana ketaqwaan yang merujuk kepada pengabdian diri selaku hamba kepada-Nya.
Sebab itu, terdapat hadis daripada Ibn Mas'ud yang berbunyi bahawa Rasulullah SAW bersabda :
من تواضع لله رفعه الله ومن تكبر وضعه الله ومن أكثر ذكر الله أحبه الله
Maksudnya :
Siapa yang tawadhuk kerana Allah maka Allah akan mengangkat (memuliakan) dia, dan siapa yang sombong takabbur maka Allah akan rendahkan (menghinakan) dia. Sesiapa yang memperbanyakkan zikir kepada Allah maka Allah akan kasihinya. - riwayat Ahmad dan al-Baihaqi
Sifat al-Quran yang dinyatakan oleh Allah ialah "tidak bengkok". Al-Quran menjadi panduan bagi jalan yang lurus. "Tidak bengkok" ialah benar bukan batil. Ia juga merujuk al-Quran adalah lengkap, sempurna dan selamat dari sebarang penipuan, penyelewengan serta tidak percanggahan antara satu sama lain dalam ayat dan kandungannya.
Terkandung dalam al-Quran yang menjadi tugas Rasulullah SAW secara asasnya ialah :
1. Menyampaikan berita gembira.
2. Memberikan ancaman.
Pengakhiran hidup yang telah ditentukan oleh Allah dan dimaklumkan kepada manusia sejak di dunia ialah :
1. Orang beriman memperolehi ganjaran baik.
2. Orang kafir dibalas dengan hukuman setimpal.
Iman menjadi penentu kerana iman asas kepada pengabdian diri. Iman ialah membenarkan dalam hati, mengaku dengan lisan dan beramal dengan anggota tubuh.
Iman adalah melangkaui logik akal manusia yang terhad kepada capaian seseuatu maklumat menerusi kemampuan pancaindera. Ini kerana soal ketuhanan, kerasulan ghaibiyyat adalah soal keimanan yang berteraskan kepada dalil-dalil ynag sahih dari nas.
.
Muhamad Zuhaili bin Saiman
Comments
Post a Comment