Tadarus N Tadabbur Surah al-Kahfi ayat 16 - 18


 

Tadarus N Tadabbur
Surah al-Kahfi ayat 16 - 18

Firman Allah SWT :

وَإِذِ ٱعۡتَزَلۡتُمُوهُمۡ وَمَا یَعۡبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأۡوُۥۤا۟ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ یَنشُرۡ لَكُمۡ رَبُّكُم مِّن رَّحۡمَتِهِۦ وَیُهَیِّئۡ لَكُم مِّنۡ أَمۡرِكُم مِّرۡفَقࣰا ۝ ۞ وَتَرَى ٱلشَّمۡسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَ ٰ⁠وَرُ عَن كَهۡفِهِمۡ ذَاتَ ٱلۡیَمِینِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقۡرِضُهُمۡ ذَاتَ ٱلشِّمَالِ وَهُمۡ فِی فَجۡوَةࣲ مِّنۡهُۚ ذَ ٰ⁠لِكَ مِنۡ ءَایَـٰتِ ٱللَّهِۗ مَن یَهۡدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلۡمُهۡتَدِۖ وَمَن یُضۡلِلۡ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ وَلِیࣰّا مُّرۡشِدࣰا ۝ وَتَحۡسَبُهُمۡ أَیۡقَاظࣰا وَهُمۡ رُقُودࣱۚ وَنُقَلِّبُهُمۡ ذَاتَ ٱلۡیَمِینِ وَذَاتَ ٱلشِّمَالِۖ وَكَلۡبُهُم بَـٰسِطࣱ ذِرَاعَیۡهِ بِٱلۡوَصِیدِۚ لَوِ ٱطَّلَعۡتَ عَلَیۡهِمۡ لَوَلَّیۡتَ مِنۡهُمۡ فِرَارࣰا وَلَمُلِئۡتَ مِنۡهُمۡ رُعۡبࣰا

Maksudnya :
Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna". Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya. Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka. [Surah Al-Kahfi 16 - 18]

🔰
Tadabbur :

📌
Sebelum pemuda al-Kahfi pergi ke gua bagi menyelamatkan diri dan akidah, mereka telah pun berusaha dengan mengasingkan diri dari suasana rosak yang dilakukan oleh masyarakat di tempat mereka ketika itu. Didahulu gambaran "mengasingkan diri" sebelum dinyatakan perintah pergi ke gua sebagai hujah, mereka bukan "terus melarikan diri" tetap kekal dalam masyarakat namun dengan tidak terlibat mana mana majlis atau upacara yang merosakkan akidah.

📌
Kalimah اعتزل adalah berasal dari عزل yang juga merupakan yang sama maksudnya pada عزله / uzlah. Beruzlah adalah salah satu kaedah dalam menyucikan jiwa dari keserabutan suasana dunia di sekeliling. Perbahasan uzlah banyak dibincangkan dalam topik tasawuf kerana uzlah yang dikehendaki ialah menyucikan jiwa agar tidak dikotori dengan kerosakan atau unsur negatif di luar atau berkaitan urusan duniawi.

📌
Beruzlah jangan pula dijadikan alasan meninggalkan kerja dakwah di lapangan. Ini kerana tanggungjawab amar makruf nahi mungkar ialah kewajipan yang mesti ada sekelompok umat Islam yang laksanakannya. Pelaksanaan ini bergantung pada tahap kemampuan sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith Rasulullah SAW sama ada pada tahap tangan (kuasa), lisan atau hati (ingkar dan tidak meredai).

📌
Uzlah yang asasnya ialah pada hati. Sekalipun kita berada di tengah masyarakat namun hati kita tidak boleh hanyut. Uzlah dengan diri juga boleh dilakukan di waktu tengah malam dengan bangun beribadah. Uzlah bukanlah helah mengelakkan diri dari laksana dakwah serta amar makruf dan nahi mungkar. Pemuda al-Kahfi bukan terus ke gua tetapi mereka tetap bersama dalam masyarakat namun beruzlah. Sehinggalah keadaan semakin rumit dan mereka terancam maka baharulah mereka ke gua.

📌
Jika dalam keadaan kebenaran telah terzahir dan menguasai maka tidak boleh beruzlah diri kerana kita perlu tampil membantu dengan tenaga dan idea kita begitu juga masa dan harta. Kesilapan yang berlaku dalam memahami tasawuf akan menyebabkan wujud pertembungan antara syariat tasawuf. Keduanya perlu dijalankan dengan selari dan tepat.

📌
Terdapat perbahasan pada bahasa Arab antara كهف dan غار yang keduanya adalah gua. Namun penggunaan كهف adalah pada gua yang lebih besar berbanding غار .

📌
Allah juga memberikan gambaran suasana gua yang menjadi tempat ditidurkan pemuda al-Kahfi tersebut dan keadaan mereka sewaktu ditidurkan. Mereka terhindar dari suluhan terus terik cahaya matahari sama ada di waktu matahari terbit dan juga tenggelam. Mereka juga digambarkan digerakkan ke kanan dan kiri, bukan keadaan tetap sehingga jika ada manusia melihat mereka, akan disangka mereka hidup normal seperti biasa iaitu tidur biasa.

📌
Kesemuanya itu tidak lain adalah Allah menunjukkan kekuasaan-Nya menerusi kisah yang pelik ini. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dirakamkan agar manusia tunduk dan patuh kepada Allah. Bukan hanya seronok bercerita perkara pelik tapi tetap kufur.

📌
Allah memberikan hidayah keoada mereka yang berusaha mencari hidayah. Allah menyesatkan mereka bagi mereka yang terus kekal dalam keingkaran dan tidak mahu kembali kepada-Nya. Pemuda al-Kahfi berusaha menyelamatkan akidah mereka dengan mengasingkan diri dari suasana rosak masyarakat di zamannya itu maka Allah berikan pertolongan dan menyelamatkan mereka beserta ditambahkan keimanan kepada mereka.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments