Membaca Ayat 44 dari Surah Hud ketika Banjir


 

Membaca Ayat 44 dari Surah Hud ketika Banjir


Ayat yang dimaksudkan tersebut ialah firman Allah yang berbunyi :

وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ ۖ وَقِيلَ بُعْدًا لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
Maksudnya:
“Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: "Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu". Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung "Judi" serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim". - (Surah Hud: 44)

Secara asas, doa yang memetik mana-mana lafaz atau sebahagian ayat dari al-Quran dan hadith disebutkan sebagai iqtibas اقتباس . Kalangan orang arab ia tidak hanya sekadar dalam doa malah dalam penggunaan ucapan dan bait syair.

Ini kerana berlaku iqtibas disebabkan :

1. Mempunyai makna yang bersesuaian dengan situasi percakapan yang dituju.
2. Ayat al-Quran adalah mempunyai susunan fushah paling tinggi dan sedap didengari.

Dalam hal ini, jika iqtibas tersebut mempunyai faedah yang baik dan melibatkan unsur akidah yang diselewengkan serta makna yang bercanggah dengan syarak.

Tiada masalah. Cuma pembaca perlu fahami kenapa ia diiqtibaskan dan bagi tujuan apa untuk mengelakkan perkara yang boleh timbul polemik.

Maka dalam ayat tersebut adalah pada kisah Nabi Nuh yang dilanda banjir besar. Lantas Allah memerintahkan bumi untuk menyerap kembali air dan langit untuk berhentikan hujan.

Membaca ayat tersebut secara iqtibas dalam berdoa bukanlah bermaksud "kita" yang memerintahkan bumi dan langit tetapi tujuannya ialah mengambil barakah ayat tersebut dari konteks "disegerakan surutnya air dan banjir" dengan memohon bantuan Allah maqbulkan hajat ini.
Tiada masalah. Di samping boleh juga membaca doa-doa lain seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW yang berkaitan hujan lebat seperti :

اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Maksudnya:
“Ya Allah! (Kami bermohon agar hujan hanya) mengelilingi kami dan bukannya menimpa ke atas kami. Ya Allah! (Alihkan ia) ke atas tempat-tempat tinggi, gunung ganang dan bukit bukau, perut-perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.” Riwayat al-Bukhari (1014)

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments