POLEMIK BERKAITAN ISI CERAMAH

 


POLEMIK BERKAITAN ISI CERAMAH


▪️
Seruan Sunnah Namun Bermudah-mudah dalam Membidaahkan Amalan Khilafiyyah

Seruan sunnah adalah satu seruan yang baik dan mendapat tarikan masyarakat umum. Jelas apabila sunnah tersebut justifikasinya ialah sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Semestinya seruan seperti ini penting dan asas dalam ajakan seruan dalam beragama.

Namun seringkali menjadi polemik apabila terdapat sebahagian pembawa seruan sunnah ini melakukan hal hal tindakan berikut :

1. Menyempitkan justifikasi "sunnah" dengan bermudah-mudah membidaahkan amalan khilafiyyah.
2. Sesuatu yang Nabi SAW tidak buat, maka ia tertolak secara mutlak.
3. Seruan sunnah menjadikan masyarakat Islam memahami seakan bermazhab itu adalah bercanggah dengan seruan sunnah.
4. Sesuatu yang tidak dinyatakan dalil terus dicop tidak berdalil dan sekaligus tidak sunnah.

Keempat-empat perkara di atas adalah kebiasaan dalam mencetuskan polemik yang membawa kepada kecelaruan kefahaman dalam beragama dan menatijahkan suasana yang tegang dalam kalangan masyarakat yang akhirnya berbalah dan berkelahi. Paling dibimbangi akan muncul pemikiran ekstrim kesan darinya iaitu ucapan mengkafirkan mereka yang tidak sependapat.

Selain itu juga, pandangan para ulama menerusi mazhab-mazhab muktabar juga akan dipandang lekeh oleh masyarakat kerana kefahaman mereka yang cetek dalam hal memahami seruan sunnah yang sebenarnya. Lanjutan itu, umat seakan sensitif dalam mazhab kerana menganggap mengikuti mazhab adalah tidak mengikuti sunnah. Walhal dalam satu-satu mazhab tersebut ribuan ulama di dalamnya yang memudahkan perbahasan sesuatu dalil bagi memahami tekstual al-Quran dan al-Sunnah dalam sesuatu pengamalan.

Akhirnya seruan sunnah berlaku sebaliknya, iaitu seruan pembidaahkan amalan selain alirannya. Sedangkan seruan sunnah itu baik namun polemik yang timbul menyebabkan "sunnah" yang dibawa tidak sebagaimana "sunnah" yang sebenarnya.

Dalam Islam, sumber agama adalah panduan manakala kelompok ulama sebagai pewaris Nabi sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW merupakan pembimbing dalam mudah cara memahami sumber tersebut.

▪️
Penceritaan Perkara Pelik Tanpa Sumber Yang Akhirnya Menjadi Mitos

Dalam Islam, kita menerima klasifikasi ilmu itu juga terdiri dari ilham namun ia bukan bermudah-mudah sehingga sesiapa sahaja boleh mendakwa mereka memiliki ilham apatah lagi tahap ilmu ladunni sebagaimana Nabi Khidhir.

Keghairahan menceritakan sesuatu yang disifatkan pelik tanpa ada sandaran sumber yang sahih menimbulkan kefahaman yang pelik seakan agama Islam bersifat mitos dan khayalan. Sedangkan perkara ghaibiyyat mestilah bersandarkan dalil yang sahih kerana melibatkan soal keimanan yang jitu.

Penerimaan kita terhadap perkara pelik, perkara mencarik adat adalah kerana wujudnya dalil-dalil sahih. Walaupun tidak semua perkara tercatat dalam kitab namun tidak semua perkara boleh dinisbahkan dengan "ilmu" apatah lagi jika ia bersifat mitos.

Yang merisaukan pula ialah apabila penceritaan yang pelik dinisbahkan dengan agama sedangkan ia jauh sama sekali. Seruan Islam berpijak di bumi yang nyata dan bersandarkan kepada "burhan" iaitu bukti kukuh. Jika penceritaan pelik-pelik disebarkan secara longgar dibimbangi manusia memahami Islam pada khayalan bukan secara praktikal.

Maka tidak pelik, kelompok ajaran sesat ada diterima oleh sebahagian masyarakat kerana pengaruh-pengaruh cerita pelik diterima tanpa tapis. Sebagaimana dakwaan songsang makrifat Lepat, ajaran kerajaan langit Ayah Pin, dakwaan Rasul Melayu, millah Ibrahim dan pelbagai lagi dengan merujuk fatwa-fatwa yang menyenaraikan kumpulan yang sesat.

▪️
"Kau Bidaah, Kau Wahabi" Ucapan Dalam Majlis Ilmu

Ini ayat yang kerap kita dengari dalam sesuatu ceramah. Yang malangnya apabila berlainan pendapat, satu kelompok akan sebut "kau Bidaah", manakala kelompok lawannya pula sebut "kau Wahabu". Ia disambut pula dengan pengikut tegar kelompok masing-masing. Ditambah dengan dunia terbuka dan media sosial yang umum, maka hal ini tersebar semakin luas dan kesannya memperlihatkan imej yang tidak baik pada kelompok yang dilihat "agamawan Islam" bertelingkah cara tidak matang.

Kita bersetuju jika sesuatu itu memang ternyata bidaah yang jelas dihukum, maka perlu ditolak. Begitu juga seseorang itu jelas membawa pengaruh Wahabiyyah maka ia perlu ditolak. Pengamalan di Malaysia jelas adalah berpegang kepada Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Namun bermudah-mudah dalam melabel tanpa muzakarah atau munazarah dalam sesuatu isu, kesannya kepada masyarakat yang mengikuti kelompok-kelompok ini ialah :

1. Mereka hanya faham isu tanpa memahami intipati ilmu.
2. Mereka memahami isu pada konteks label yang berlegar.
3. Mereka hanya mempertahankan kelompok mereka tanpa matang dalam menilai isu.

Kesan buruknya masyarakat tidak melihat "ummah" tetapi sekadar melihat "kelompok" dan inilah yang akhirnya bibit kepada perpecahan kalangan ummah yang hanya menguntungkan musuh-musuh Islam yang sememangnya mengharapkan perpecahan dan perkelahian umat Islam.

▪️
Kita Mengharapkan Ceramah Yang Membina Minda Yang Intelek, Bukan Sekadar Halwa Telinga

Suburnya majlis ilmu orang awam di negara ini dapat dilihat dengan kerancakan penganjuran kuliah berkitab, forum, ceramah perdana dan lain-lain. Termasuklah juga majlis ilmu khusus buat penuntut ilmu dan para sarjana di institusi-institusi tertentu. Ditambah lagi kerancakan tumbuhnya pondok-pondok, maahad-maahad serta akademi-akademi ilmiah di dalam negara.

Apa yang diharapkan kerancakan ceramah ini adalah saluran utama yang mesti dimanfaatkan dengan pengisian-pengisian yang membina minda bukan sekadar halwa telinga. Apatah lagi bukan untuk menjadi medan "menghentam, menghukum" pihak berlainan pendapat di gelanggang sendiri berseorangan dengan gaya syok sendiri.

Sebab itu ada terdapat jika di beberapa masjid dan surau yang membuat kaji selidik terhadap seseorang penceramah. Ini kerana terdapat beberapa peristiwa sebelum ini yang :

1. Tidak fokus dalam mengajar kitab kuliah.
2. Berlebihan lawak dan paling tidak sihat ialah lawak yang double meaning.
3. Sempit kefahaman dengan bermudah-mudah membidaah amalan masyarakat setempat yang telah lama diamalkan.

Para penceramah perlulah fokus dan mempersiapkan diri dalam penyampaian. Ubah minda penceramah bahawa penyampaian ceramah tujuannya untuk mengajak masyarakat yakin dengan Islam dan mengamalkan Islam keseluruhannya. Perlu dibezakan penceramah yang membuat sedikit cerita kelakar pada kadarnya dengan pelawak yang berlakon dalam menyampaikan pengisian.

Jika 4 perkara di atas ini diselesaikan dengan baik, insha Allah kita akan melahirkan masyarakat berilmu dan beramal dengan keyakinan yang
mantap
.
.
Disediakan oleh :
Dr Muhamad Zuhaili bin Hj Saiman

Comments