3 Mac : Umat Islam Tiada Lagi Khilafah


3 Mac : Umat Islam Tiada Lagi Khilafah


▪️ Dunia Islam Tidak Lagi Bersatu

Kehilangan khilafah bermaksud dunia Islam tidak lagi bersatu di bawah kuasa politik tertinggi. Berjayanya musuh Islam menjadikan umat Islam berpecah mengikut blok kebangsaan negara-negara yang berasingan dan bercakaran demi survival politik masing-masing.

Kesan dari itu kita dapat lihat, umat Islam lemah dan terus ditindas. Tanpa kekuatan kesatuan ini, umat Islam tidak memiliki "satu suara" bersama dalam satu-satu isu. Apabila sesuatu isu muncul, sebahagian umat menyatakan ini, manakala sebahagian yang lain menyatakan itu dan akhirnya bertelagah antara satu sama lain.

Sebab itu kita boleh lihat, negara-negara Islam akhirnya perang saudara yang menjatuhkan kalangan mereka sendiri sedangkan di belakang mereka blok kuasa besar yang berbeza dalam membekalkan senjata dan menjadi taukeh demi meluaskan empayar kekuasaan mereka sahaja. Yang menjadi mangsa, umat Islam dan negara Islam menjadi padang jarak pada terkukur.

Sehingga ke hari ini, Mesir dan Syria tidak berkesudahan peperangan dan pegaduhan sesama rakyat dengan pemerintah yang mengikut telunjuk "bos besar". Manakala Iraq, Afghanistan terus dihancurkan oleh kemasukan pengganas dunia, Amerika Syariat. Palestin terus diganyang oleh Yahudi Zionist tanpa sebarang simpati dan bantuan sedangkan dikeliling oleh negara-negara dalam Liga Arab. Begitulah juga perihal dengan OIC yang sekarang ini bagaikan "hidup segan mati tak mahu".

Saudi pula semakin "bebas" sehingga terbabas dalam hedonisme kerana mahukan kemajuan mengikut kiblat Rumah Putih. Kashmir dan India menyaksikan umat Islam terus diasak, bantai dan dibunuh. Belum lagi isu-isu di beberapa wilayah yang sudah hilang berita kemanusiaan dari radar dunia seperti di wilayah China dan termasuk juga etnik Rohingya yang "pupus" wilayah mereka dari peta dunia.

▪️ Politik Dihilangkan, Kuasa Berebut Demi "Ghanimah"

Musuh tidak akan pernah berhenti memastikan perpecahan umat Islam dan berusaha menjadikan umat Islam mandom dan hanya hidup dalam minda "kayangan" tanpa ada nilai "jihad" dengan menghilangkan "subjek" politik dalam kefahaman dan pengamalan syariat Islam. 

Sebab itu kita boleh lihat, gerakan-gerakan Islam di era awal selepas kejatuhan Khilafah memberikan penekanan sungguh terhadaptopik "Islam Agama yang syumul". Ini kerana dakyah isme Barat menerusi sekularisme adalah pengasingan agama dan politik. Umat disuntik "membenci" politik dengan mengasingkan diri dari politik. Politik dimake up supaya dilihat kotor agar umat Islam yang ingin menjadi "soleh dan warak" perlu berusaha menjauhi dari politik hatta menyebut perkataan politik lebih dirasai jijik dari menyebut perkataan babi.

Di negara yang diserapkan sistem demokrasi dengan wujudnya gelanggang pilihanraya, penjajah asal bukan mahukan suara rakyat majoriti yang mentadbir tetapi jarum halusnya mahukan rakyat terus bertelagah dan memastikan proksi mereka menguasai bagi memastikan kelangsungan sistem yang mereka telah pasakkan dalam negara yang dijajah tersebut.

Akhirnya kuasa menjadi perebutan kerana kuasa adalah kunci kepada "kekayaan" atau "ghanimah" atas kejayaan memiliki kuasa. Umat Islam tidak melihat kepentingan "apa" sistem kerana yang penting "siapa" memerintah. Akhirnya wujud pertukaran "muka pemimpin" tetapi malangnya masih mengekalkan sistem pemerintahan yang sama.

Malah "golongan agamawan" juga atas nama alasan "strategi" terus senyap membisu dan kononnya yang penting ialah nama dakwah. Masyarakat dekat dengan Islam pada "strategi" mereka namun hakikatnya dekat pada Islam yang tidak syumul kerana masih lagi allergic pada politik. Berjayanya musuh menjadikan umat Islam terus dalam khayalan "beribadah" tanpa sebarang jihad, sedangkan sirah Baginda SAW menyaksikan perjuangan ini penuh dengan liku dan ranjaunya. 

Sekalipun Rasulullah SAW memiliki bantuan dari Malaikat, namun jihad Rasulullah SAW bersama para sahabat. Ada kalangan mereka yang luka, cedera parah malah mati syahid. Inilah reaslitik, bukannya ahli abid seperti kalangan para rahib dan pendeta.

Di sinilah peranan gerakan Islam yang mampu menerobos gelanggang politik mendaftarkan parti politik bagi memastikan suara mewakili "amar makruf nahi mungkar" terus wujud di area demokrasi pada nilai-nilai yang boleh diislamisasikan. Kuasa menjadi alat bukannya matlamat. Mengajak umat Islam kembali kepada dasar Islam bagi tujuan penyatuan manakala kuasa sebagai medan memperbaiki sistem negara yang telah dirosakkan oleh peninggalan penjajah.

▪️ Umat Disibukkan Dengan Istilah Fundamental Tapi Cakna Isu Semasa

Sehingga ke hari ini, berjayanya jarum halus musuh untuk meneruskan perpecahan umat agar tidak lagi bangkit bersatu dan tidak lagi bicara isu khilafah dan politik tertinggi dengan memastikan umat terus sibuk dengan istilah fundamental sedangkan "buta" dengan isu semasa.

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi juga ada menyebutkan kritikan beliau dalam bukunya yang berjudul "Risalah al-Azhar, Baina al-Ams, wa al-Yaum wa al-Ghadd" bahawa pengajian dalam akidah contohnya dalam membicarakan soal pemikiran kumpulan-kumpulan yang menyimpang hanya sebut murjiah, qadariah, jabariah dan sebagainya. Sedangkan isme-isme Barat tidak pula dikaji, diketengahkan dan berikan ancaman. Akhirnya umat sibuk kecam muktazilah namun tidak sedar diri sendiri terpengaruh dengan doktrin liberal. Ini kerana "terperangkap" dengan istilah fundamental tetapi tidak cakna isu semasa.

Begitu juga Dr Muhammad Ali al-Sollabi di dalam kitabnya yang berkaitan kebangkitan dan kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah ada menyebutkan kritikan bahawa umat sibuk dengan perbincangan fundamental yang berulang-ulang sehingga tidak cakna isu semasa dan negara. Dari matan ke syarah dan hasyiah, kemudian mukhtasar dan begitulah pada subjek yang sama. Hanya berbeza penulis dan sususan ayat sahaja, walhal ulang yang sama. Kelompongan dalam isu semasa dan negara tidak disentuh, akhirnya umat solat tetapi tidak tahu soal perundangan negara yang dijajah dengan sistem Barat.

Samalah juga dengan perbahasan isu bidaah - wahabai yang berkisar sekitar itu sahaja. soal yang di pemikiran umat yang bergaduh sepanjang tahun perkara sama seperti :

- Muharram : gaduh soal doa akhir dan awal tahun.
- Rabiul Awwal : gaduh soal sambutan maulidur Rasul.
- Rajab : gaduh soal tarikh Israk Mikraj
- Syawal : gaduh soal bacaan Yassin 3 kali.
- Ramadan : gaduh soal solat terawih 8 atau 20 rakaat.
- Syawal : gaduh soal hakikat raya dan isu gabung puasa qadha dan puasa 6 
- Zulhijjah : gaduh soal bab ibadah korban

▪️ Umat Islam Terkeliru Dengan Kemodenan Dan Kemajuan

Jatuhnya khilafah dengan salah satu sebab juga kerana keliru identiti dalam membawa imej Islam mengikut arus perdana kemodenan dan kemajuan. Kita boleh lihat bagaimana pengkhianat iaitu Mustafa Kamal al-Tartuk digelar oleh Barat sebagai Bapa Pemodenan Islam kerana pembawakannya yang mengikut kemodenan Barat sehingga menghilangnya jati diri muslim dan muslimah. 

Akhirnya ada yang umat Islam bermusuh dengan "moden" dan "kemajuan". Biar kelihatan "kuno" kerana nama alasannya "tradisi" kerana apabila bermusuh dengan "moden" menganggap moden itu Barat dan kuno itu tradisi Islam. Sedangkan itu kekeliruan yang melampau.

Sedangkan Islam adalah agama fitrah yang membawa pembangunan moral dan modal insan di samping membawa keelokan di dunia termasuk soal moden dan kemajuan namun bukan berkiblatkan Barat. Namun berlakunya ifrat dan tafrit menjadikan umat Islam terkeliru dalam soal moden dan kemajuan. Satu pihak mahukan kehidupan kuno atas nama tradisi sehingga tidak mahu sebarang perubahan manakala satu pihak lagi demi kemajuan sanggup ketepikan agama. Dua-dua adalah tidak betul.

Dalam satu khutbah Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah menyebutkan kritikan kepada dunia Arab bahawa pemimpin arab kaya boleh kelilingi dunia dengan pesawat kapal terbang, boleh miliki banyak kenderaan mewah namun soalnya siapa yang mencipta perkara tersebut. Beliau mempersoalkan di minta barangan ciptaan umat Islam? Kita ke Makkah menunaikan Haji dan Umrah menaiki kapal terbang, tetapi bukan buatan umat Islam. Jika ada kenderaan umat Islam pun namun enjin dari bukan Islam. Umat Islam kuat pada konteks kuasa pembeli tetapi masih lemah dalam konteks produktiviti.

Maka membangunkan umat dengan moden dan kemajuan yang berpaksikan Islam. Umat mesti menjadi pengeluar utama dan kelompok produktiviti yang berpengaruh di dunia ini. Motivator yang hebat, Amru ada menyebutkan untuk kita berfikir bahawa : "Kita disuruh mengikut kehidupan Rasulullah SAW, bukan hidup di zaman Rasulullah SAW" - fikirkan dari sudut yang positif untuk membangunkan diri dan ummah.

▪️ 3 Mac : Sampai Bila?

Jika mengikut kiraan taqwim masihi, 3 Mac 2022 menjadikan umar Islam sudah 98 tahun hilang Khilafah Islamiyyah. Hampir 2 tahun lagi genap 100 tahun. Adakah umat Islam akan kembali bangkit? Pastinya kebangkitan bukan boleh duduk bersahaja dan hanya berdebat tanpa kesudahan. Umat memerlukan solusi, pelan perancangan dan progres kerja.

Umat Islam tidak miskin pengetahuan namun perlu dikembangkan biar dengan panduan fundamental kita mampu menerobos isu-isu kontemporari. Ilmu diletakkan di hadapan bagi menjadikan umat sentiasa segar dengan muzakarah semasa bagi mewujudkan pelan kerja yang terbaik.

Ijtihad demi ijtihad diperlukan berasaskan waqi' dan bagaimanakan jangkaan dalam sesuatu perkara. Kesatuan ummah bukan retorik, ia boleh dijayakan sebagaimana teladan Rasulullah SAW. Bermula dengan sikap dan diri kita untuk menjayakannya dan di peringkat negara seterusnya ke antarabangsa. 

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments