Ibrah Israk Mikraj : Mendidik Kita Sentiasa Berhujah dan Berdalil Kerana Itulah Islam

 



Ibrah Israk Mikraj : Mendidik Kita Sentiasa Berhujah dan Berdalil Kerana Itulah Islam


▪️
Mukjizat Perkara Mencarik Adat Yang Mempunyai Dalil

Peristiwa Agung Israk Mikraj merupakan mukjizat kepada Rasulullah SAW yang mempunyai banyak hikmah antaranya sebagaimana yang disebutkan oleh as-Syahid Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti di dalam kitabnya Fiqh al-Sirah :

جاءت ضيافة الإسراء والمعراج بعد الوان العذاب التى لاقاها الرسول صلى الله عليه وسلم من قريش وفى رحلته الى الطائف تكريما من الله تعالى له وتجديدا لعزيمته وثباته
iaitu sebagai memuliakan Rasulullah SAW dan juga menguatkan pendirian Baginda SAW dalam menghadapi mehnah-mehnah perjuangan dakwah yang dilalui oleh Baginda SAW.

Mukjizat ialah percara yang mencarik adat kerana berlakunya di luar dari hukum adat atau berlawanan dengan hukum adat atas kekuasaan Allah SWT yang Maha Berkuasa. Sungguhpun begitu, kebenaran mukjizat penerimaan oleh umat ialah bersandarkan kepada dalil wahyu. Sebagaimana peristiwa Israk Mikraj ini dirakamkan menerusi wahyu al-Quran iaitu ayat pertama dalam Surah al-Israk dan begitu juga ayat 13-18 dalam surah al-Najm. Dan terdapat juga dalil dari hadith-hadith sahih.

Ia bukannya boleh dibuat dakwaan semberono atas nama "mukjizat" begitu sahaja. Seperti seseorang mendakwa dia berjalan dari rumah di Malaysia menuju Palestin dalam tempoh sebahagian malam kemudian mendakwa "Bukankah Allah Maha Berkuasa?"

Benar Allah Maha Berkuasa namun untuk mensabitkan sesuatu perkara pelik yang mencarik adat perlulah kepada hujah dalil bukannya semberono sebegitu sahaja. Ini kerana Islam adalah agama yang realistik, tertegak dengan hujah-hujah yang jelas nyata sebagaimana seruannya. Ini boleh difahami menerusi firman Allah SWT :

قُلْ هٰذِهٖ سَبِيْلِيْٓ اَدْعُوْٓا اِلَى اللّٰهِ ۗعَلٰى بَصِيْرَةٍ اَنَا۠ وَمَنِ اتَّبَعَنِيْ ۗوَسُبْحٰنَ اللّٰهِ وَمَآ اَنَا۠ مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ

Maksudnya :
Katakanlah (Muhammad), “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Mahasuci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik.” - Surah Yusuf : 108

Ini kerana perkara pelik yang termasuk dalam konteks ghaibiyyat khususnya memerlukan dalil dan hujah, bukan dakwaan kosong semata-mata. Ini yang membezakan antara kebenaran mukjizat serta perkara ghaibiyyat berbanding rekaan khurafat.

▪️
Rasulullah SAW Menceritakan Perihal Masjidil Aqsa Dalam Berhujah

Dalam peristiwa ini selepas Rasulullah SAW pulang dan di waktu pagi keesokannya kita dapat lihat bermula cabaran bagaimana Rasulullah SAW menceritakan hal ini kepada masyarakat. Orang yang menentang Baginda SAW mengambil kesempatan ini untuk terus menghasut orang lain agar turut tidak percaya dengan peristiwa pelik ini, malah kalangan umat Islam ada yang goyah melainkan didahulu oleh Sayiduna Abu Bakr as-Siddiq yang membenarkan segalanya apa yang datang dari Baginda SAW.

Yang menariknya apabila Baginda SAW menceritakan bahawa Baginda SAW diperjalankan ke Masjidil Aqsa, lantas dicabar kepada Baginda SAW untuk menceritakan sifat dan keadaan Masjidil Aqsa jika benar apa yang diberitahu oleh Baginda SAW. Dengan bantuan wahyu Baginda SAW menceritakan sifat dan perihal Masjidil Aqsa dan ia diriwayatkan dalam beberapa hadith.

Antaranya dari Jalur Imam Ahmad bahawa riwayat Ibn Abbas menyebutkan :

لَمَّا كَانَ لَيْلَةُ أُسْرِيَ بِي ،وَأَصْبَحْتُ بِمَكَّةَ فَظِعْتُ بِأَمْرِي ،وَعَرَفْتُ أَنَّ النَّاسَ مُكَذِّبِيَّ . فَقَعَدَ مُعْتَزِلًا حَزِينًا. قَالَ: فَمَرَّ عَدُوُّ اللَّهِ أَبُو جَهْلٍ ،فَجَاءَ حَتَّى جَلَسَ إِلَيْهِ، فَقَالَ لَهُ كَالْمُسْتَهْزِئِ : هَلْ كَانَ مِنْ شَيْءٍ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : نَعَمْ. قَالَ : مَا هُوَ؟ قَالَ: إِنَّهُ أُسْرِيَ بِي اللَّيْلَةَ. قَالَ :إِلَى أَيْنَ ؟ قَالَ : إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ . قَالَ : ثُمَّ أَصْبَحْتَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْنَا ؟! قَالَ : نَعَمْ. قَالَ : فَلَمْ يُرِ أَنَّهُ يُكَذِّبُهُ مَخَافَةَ أَنْ يَجْحَدَهُ الْحَدِيثَ إِذَا دَعَا قَوْمَهُ إِلَيْهِ. قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ دَعَوْتُ قَوْمَكَ تُحَدِّثُهُمْ مَا حَدَّثْتَنِي ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : نَعَمْ .فَقَالَ : هَيَّا مَعْشَرَ بَنِي كَعْبِ بْنِ لُؤَيٍّ .قَالَ: فَانْتَفَضَتْ إِلَيْهِ الْمَجَالِسُ وَجَاءُوا حَتَّى جَلَسُوا إِلَيْهِمَا. قَالَ: حَدِّثْ قَوْمَكَ بِمَا حَدَّثْتَنِي . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنِّي أُسْرِيَ بِي اللَّيْلَةَ . قَالُوا إِلَى أَيْنَ ؟ قُلْتُ إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ . قَالُوا: ثُمَّ أَصْبَحْتَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْنَا ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ : فَمِنْ بَيْنِ مُصَفِّقٍ، وَمِنْ بَيْنِ وَاضِعٍ يَدَهُ عَلَى رَاسِهِ مُتَعَجِّبًا لِلْكَذِبِ ـ زَعَمَ ـ، قَالُوا : وَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَنْعَتَ لَنَا الْمَسْجِدَ ؟ وَفِي الْقَوْمِ مَنْ قَدْ سَافَرَ إِلَى ذَلِكَ الْبَلَدِ وَرَأَى الْمَسْجِدَ . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : فَذَهَبْتُ أَنْعَتُ فَمَا زِلْتُ أَنْعَتُ حَتَّى الْتَبَسَ عَلَيَّ بَعْضُ النَّعْتِ ، قَالَ: فَجِيءَ بِالْمَسْجِدِ وَأَنَا أَنْظُرُ حَتَّى وُضِعَ دُونَ دَارِ عِقَالٍ ـ أَوْ عُقَيْلٍ ـ ، فَنَعَتُّهُ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَيْهِ .قَالَ : وَكَانَ مَعَ هَذَا نَعْتٌ لَمْ أَحْفَظْهُ. قَالَ : فَقَالَ الْقَوْمُ : أَمَّا النَّعْتُ فَوَ اللَّهِ لَقَدْ أَصَابَ * *وفي رواية: فَذَهَبْتُ أَنْعَتُ , فَمَا زِلْتُ أَنْعَتُ , حَتَّى سَأَلَتْنِي قُرَيْشٌ عَن أَشْيَاءَ مِنْ بَيْتِ الْمَقْدِسِ لَمْ أُثْبِتْهَا ,فَكُرِبْتُ كُرْبَةً مَا كُرِبْتُ مِثْلَهُ قَطُّ , قَالَ: فَرَفَعَهُ اللهُ لِي أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَنَعَتُّهُ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَيْهِ مَا يَسْأَلُونِي عَن شَيْءٍ , إِلَّا أَنْبَأتُهُمْ بِهِ " فَقَالَ الْقَوْمُ: أَمَّا النَّعْتُ , فَوَاللهِ لَقَدْ أَصَابَ

Baginda SAW tetap menceritakan sebagai menyahut cabaran kebenaran yang dibawakan. Ini menunjukkan Islam tertegak dengan hujah dan dalil, bukannya memberikan pelbagai alasan falasi yang mengelak dari memberikan hujah dan dalil. Bukan sekadar hanya berkata "beriman sahajalah" tetapi Baginda SAW menceritakan sehingga kaum yang pernah ke Masjidil Aqsa menyatakan kebenaran sifat dan perihal yang dinyatakan Baginda SAW.

Inilah Islam yang sentiasa terbuka memberikan hujah dan dalil dalam menegaskan kebenaran yang dibawanya. Sebab itu, terdapat beberapa tempat dalam ayat al-Quran mengenai debat, muzakarah antara Rasulullah SAW dengan pihak lawan. Sepertimana al-Quran mencabar pihak musyrikin dalam membawakan "hujah" mereka terhadap apa yang didakwakan.

Firman Allah SWT :

وَاِنْ كُنْتُمْ فِيْ رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلٰى عَبْدِنَا فَأْتُوْا بِسُوْرَةٍ مِّنْ مِّثْلِهٖ ۖ وَادْعُوْا شُهَدَاۤءَكُمْ مِّنْ دُوْنِ اللّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِيْنَ

Maksudnya :
Dan jika kamu meragukan (Al-Qur'an) yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka buatlah satu surah semisal dengannya dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. - Surah al-Baqarah : 23

▪️
Islam Agama Yang Mementingkan "Burhan" (البرهان)

Antara peristiwa Israk Mikraj pengajarannya ialah Islam tertegak dengan hujah dan dalil sekalipun dalam peristiwa yang berlaku tersebut "pelik" iaitu mencarik adat. Ia bukan cerita semberono dakwaan begitu sahaja tanpa asas. Ini kerana tanpa asas, ia adalah tertolak.

Islam sangat mementing hujah dan dalil, malah al-Quran sumber wahyu bagi Islam disebut juga sebagai al-burhan (البرهان). al-Burhan ialah الدليل الذي يظهر به الحق ، ويتميز عن الباطل (dalil yang terzahir dengannya kebenaran dan membezakan dari kebatilan).

Firman Allah SWT :

يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاۤءَكُمْ بُرْهَانٌ مِّنْ رَّبِّكُمْ وَاَنْزَلْنَآ اِلَيْكُمْ نُوْرًا مُّبِيْنًا

Maksudnya :
Wahai manusia! Sesungguhnya telah sampai kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu, (Muhammad dengan mukjizatnya) dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang (Al-Qur'an). - Surah an-Nisa' : 174

Manusia boleh mendakwa apa sahaja namun belum tentu betul apatah lagi perkara yang melibatkan perkara ghaibiyyat dan melibatkan sandaran unsur keagamaan. Sebab itu tanpa hujah dan dalil ini, kedua-dua dakwaan ini tertolak dalam Islam.

Kita boleh lihat bagaimana Islam menolak dakwaan sebegini yang terdapat beberapa kisah dalam al-Quran antaranya :

1. Menolak dakwaan Yahudi dan Nasrani yang mereka masuk ke dalam syurga.

وَقَالُوْا لَنْ يَّدْخُلَ الْجَنَّةَ اِلَّا مَنْ كَانَ هُوْدًا اَوْ نَصٰرٰى ۗ تِلْكَ اَمَانِيُّهُمْ ۗ قُلْ هَاتُوْا بُرْهَانَكُمْ اِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِيْنَ

Maksudnya :
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata, “Tidak akan masuk surga kecuali orang Yahudi atau Nasrani.” Itu (hanya) angan-angan mereka. Katakanlah, “Tunjukkan bukti kebenaranmu jika kamu orang yang benar.” - Surah al-Baqarah : 111

2. Menolak dakwaan orang jahiliyyah musyrikin Mekah yang mendakwa tawaf keliling Kaabah dalam keadaan telanjang adalah tradisi nenek moyang dan perintah agama.

Firman Allah SWT :

وَاِذَا فَعَلُوْا فَاحِشَةً قَالُوْا وَجَدْنَا عَلَيْهَآ اٰبَاۤءَنَا وَاللّٰهُ اَمَرَنَا بِهَاۗ قُلْ اِنَّ اللّٰهَ لَا يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاۤءِۗ اَتَقُوْلُوْنَ عَلَى اللّٰهِ مَا لَا تَعْلَمُوْنَ

Maksudnya :
Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata, “Kami mendapati nenek moyang kami melakukan yang demikian, dan Allah menyuruh kami mengerjakannya.” Katakanlah, “Sesungguhnya Allah tidak pernah menyuruh berbuat keji. Mengapa kamu membicarakan tentang Allah apa yang tidak kamu ketahui?”

3. Menemplak perbuatan jahiliyah atas dakwaan ikut-ikutan tradisi amalan terdahulu kononnya.

Firman Allah SWT :

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۚ أَوَلَوْ كَانَ الشَّيْطَانُ يَدْعُوهُمْ إِلَىٰ عَذَابِ السَّعِيرِ

Maksudnya :
“Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?” - Surah Luqman: 21

▪️
Penutup

Ya dalam Islam ada beberapa perkara-perkara yang "mengatasi logik" dari sudut hukum adat, namun ia semua mesti disabitkan dengan hujah dan dalil kerana Islam merupakan agama yang tertegak dengan al-burhan, bukan hanya cakap-cakap semberono kerana beralasan "tidak semua perlu ikut logik". Benar, namun perlu ada hujah dan dalil.

Sebab itu, dakwaan rekaan sebegini bahaya dan perlu berhati-hati malah para ulama sendiri menekankan sikap waspada dari mengambil sesuatu sumber. Antara salah satu dari 6 pengajaran yang dinyatakan oleh as-Syahid Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti dalam peristiwa Israk Mikraj ialah :

احذروا بالرجوع الى ما يسمى معراج بن عباس فهو كتاب ملفق ملئ بالأكاذيب

Islam tertegak dengan hujah dan dalil. Peristiwa pelik yang berlaku di luar kerangka logik akal dan mencarik adat bukan lesen untuk kita jadikan Islam agama dongengan dengan penceritaan karut marut.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments