BADAR AL-KUBRA : TELADAN RASULULLAH SAW DARI SUDUT PERANCANGAN DAN IKHTIYAR MANUSIAWI


 

BADAR AL-KUBRA : TELADAN RASULULLAH SAW DARI SUDUT PERANCANGAN DAN IKHTIYAR MANUSIAWI


Badar al-Kubra merupakan peristiwa agung yang diangkat menjadi peristiwa besar yang diperingati di bulan Ramadan. Ini kerana beberapa perkara :

1. Berlaku dalam bulan Ramadan yang mana ia bulan berpuasa namun tidak membatasi manusia dari jihad.
2. Ia peperangan pertama yang disertai oleh Rasulullah SAW yang menyaksikan pertembungan antara kaum muslimin dan musyrikin.
3. Allah menyebutkan Badar al-Kubra sebagai Yaumul Furqan iaitu hari pembeza antara Haq dan Batil.
4. Allah memberikan kemenangan sekalipun umat Islam lebih sedikit dan kelengkapan yang kurang. Umat Islam seramai 313 (ada riwayat menyatakan 314) orang dan 2 kuda perang berbanding musyrikin seramai 1000 orang dan 200 kuda perang.

Selain dari sudut nusrah dan bantuan yang diberikan oleh Allah, dalam peperangan ini Rasulullah SAW menunjukkan taladan dari sudut perancangan manusiawi sebagai usaha dan ikhtiyar. Baginda SAW mengajar kita agar melakukan kewajipan kita iaitu menerusi perancangan dan ikhtiyar manusiawi.

• Bermesyuarat dan Mendapatkan Komitmen Tentera

Awal permulaan untuk berlakunya peperangan Badar al-Kubra ini, Rasulullah SAW mengumpul sahabat kalangan Muhajirin dan Ansar bagi mendapatkan respon kesediaan untuk memberikan komitmen turut serta bersama. Sahabat kalangan Muhajirin menyatakan kesediaan, sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Miqdad bin ‘Amru :

يا رسول الله، امض لما أراك الله فنحن معك، والله لا نقول لك كما قالت بنو إسرائيل لموسى: اذهب أنت وربك فقاتلا إنا ههنا قاعدون، ولكن اذهب أنت وربك فقاتلا إنا معكما مقاتلون

Maksudnya :
“Pergilah ke mana sahaja yang engkau mahu, kami akan bersamamu. Kami tidak akan berkata seperti kaum Musa as berkata kepada Musa (untuk memasuki Palestin), ‘Pergilah engkau bersama Tuhan engkau, kami hendak tunggu di sini’ (5:24), tetapi kami berkata. Akan tetapi (kami Muhajirin katakan) ‘Pergilah engkau bersama Tuhan engkau, sesungguhnya kami bersama kamu berperang!”

Rasulullah SAW tetap mahukan respon kesediaan dari Sahabat kalangan Ansar sehingga Saad bin Muaz, seorang pemimpin Ansar bangkit menyatakan dengan jelas kesetiaan dan kesediaan kalangan Ansar dengan ucapan :

فقد آمنا بك وصدقناك، وشهدنا أن ما جئت به هو الحق وأعطيناك على ذلك عهودنا ومواثيقنا على السمع والطاعة، فامض يا رسول الله لما أردت، فوالذي بعثك بالحق لو استعرضت بنا هذا البحر فخضته لخضناه معك ما تخلف منا رجل واحد،

Maksudnya :
“Sesungguhnya Kami telah beriman dan percaya kepada engkau dan kami mengaku segala apa yang dibawa oleh kau itu benar wahai Rasulullah. Kami juga telah memberi sepenuh kepercayaan dan mengikat janji akan patuh dan taat kepadamu maka teruslah mengikut kehendakmu dan kami pasti bersama-sama denganmu. Demi Dia-lah yang mengutuskanmu dengan benar jika kau mengharungi lautan maka kami akan bersama-sama mengharungi lautan juga dan tiada seorang pun akan tertinggal”

• Berstrategik Dalam Memilih Lokasi Kedudukan

Rasulullah SAW pada asalnya merancang memilik kedudukan tentera Islam di belakang lembah air yang ada. Namun dicadangkan oleh al-Hubbab bin Munzir agar lembah air berada di belakang tentera Islam. Perbincangan ini menunjukkan Rasulullah SAW mengambil kira akan kedudukan yang strategik. Al-Hubbab bin Munzir bertanya kepada Rasulullah SAW :

مَنْزِلٌ أَنْزَلَكَهُ اللهُ لَيْسَ لَنَا أَنْ نَتَعَدَّاهُ ، وَلَا نُقَصِّرُ عَنْهُ ، أَمْ هُوَ الرَّأْيُ وَالْحَرْبُ وَالْمَكِيدَة ُ؟

Maksudnya :
“Wahai Rasulullah, adakah tempat ini ditetapkan oleh Allah dan kita tidak boleh berpindah lagi ke depan atau ke belakang? Atau ia hanyalah strategi peperangan atau tipu helah semata-mata.”

Dijawab oleh Rasulullah SAW dengan bersabda :

بَلْ هُوَ الرَّأْيُ وَالْحَرْبُ وَالْمَكِيدَةُ

Maksudnya :
Ia hanyalah strategi perang dan tipu helah sahaja.

Malah Rasulullah SAW juga menyusun tentera tertentu pada kedudukan tertentu untuk memerangi musuh, dengan perancangan Rasulullah SAW bersabda :

هذا مَصْرَعُ فُلانٍ غَدًا إن شَاءَ الله تَعَالى، وَهَذَا مَصْرَعُ فُلانٍ غَدًا إن شَاءْ الله تَعَالى

Maksudnya :
Ini tempat kematian si Fulan (dari musyrikin) esok Insha-Allah, dan ini tempat kematian si Fulan (dari musyrikin) esok Insha-Allah.

• Rasulullah SAW analisis kekuatan musuh

Rasulullah SAW juga menganalisis kekuatan musuh dari sudut jumlah dengan perisikan yang dihantar bagi mendapatkan maklumat. Anggaran kekuatan jumlah tentera musuh diperolehi berdasarkan maklumat sembelihan unta oleh musuh untuk mereka makan. Lantas disebutkan :

القوم ألف، وكل جزور لمائة وتبعها

Maksudnya :
Kaum itu (kumpulan tentera musyrikin) adalah seribu, dan setiap akar adalah untuk seratus dan mengikuti mereka.

Jelas bagaimana analisis kekuatan di pihak musuh yang dilakukan oleh Rasulullah SAW supaya bersedia dan dapat melakukan strategi-strategi untuk menghadapi mereka.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments