Asas Dalam Solat Yang Berkaitan Dengan Musafir


 

Asas Dalam Solat Yang Berkaitan Dengan Musafir


1. Rukhsah diberikan kepada musafir yang memenuhi syarat :

i. Musafir yang mubah. Pulang ke kampung untuk beraya dengan kedua orang tua termasuk kategori ini malah sunat.
ii. 2 marhalah dan lebih. Kiraan yang standard ialah lebih kurang 89 atau 90 km. Ada juga pendapat yang menyatakan 84 atau 85 km.
iii. Mengetahui hala tuju perjalanan yang melebihi 2 marhalah.
iv. Niat tinggal ke destinasi musafir tidak lebih 3 hari. Jika niat duduk 4 hari atau lebih, sebaik sahaja sampai, ia sudah dikira bermukim, maka tiada rukhsah.

2. Rukhsah diberikan terhadap solat ialah jamak dan qasar. Bagi solat jamak adanya dua :

i. Jamak taqdim. Dihimpunkan Asar dalam waktu Zuhur. Dan juga dihimpunkan Isyak dalam waktu maghrib. Perkara yang perlu diambil perhatian ialah :

a. Mesti solat secara tertib. Zuhur dahulu kemudian Asar. Begitu juga maghrib dahulu kemudian Isyak.
b. Mesti berturut-turut, tidak boleh terhenti atau terputus panjang.
c. Niat jamak paling lewat ialah sebelum salam yang pertama. Afdhalnya di awal semasa takbir.
d. Tiada masalah jamak taqdim sekalipun pada waktu kedua sudah pun jadi bermukim. Seperti solat jamak taqdim di waktu Zuhur, kemudian sampai destinasi bermukim sebelum masuk waktu Asar. Sah solat Jamak taqdim dan tidak perlu solat Asar sekali lagi.

ii. Jamak ta'khir : solat Zuhur di waktu Asar. Solat Maghrib di waktu Isyak. Perkara yang perlu ambil perhatian ialah :

a. Mesti niat jamak ta'khir sebelum luput waktu yang pertama.
b. Tidak wajib tertib dan berturut-turut.
c. Mestilah dalam keadaan masih bermusafir.

3. Adapun bagi solat qasar hanya melibatkan solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isyak. Qasar menjadikannya kepada solat 2 rakaat. Perhatian yang perlu diberikan ialah :

i. Orang yang mendirikan solat qasar tidak boleh jadi makmum kepada imam yang solat tamam.
ii. Niat qasar mesti di awal solat semasa takbir.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments