Doa-Doa Untuk Bermusafir

 

Doa-Doa Untuk Bermusafir


Kepada sahabat yang hendak memulakan permusafiran, boleh amalkan doa-doa tersebut.

1. Doa hendak keluar rumah untuk bermusafir.

Apabila Nabi SAW ingin keluar rumah, baginda mengucapkan:

بِاٌسْمِﭐللّٰهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى ﭐللّٰه، ﭐللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُبِكَ أَنْ أَضِلَّ، أَوْأُضَلَّ، أَوْأَزِلَّ، أَوْأُزَلَّ، أَوْأَظْلِمَ، أَوْأُظْلَمَ، أَوْأَجْهَلَ، أَوْيُجْهَلَ عَلَيَّ

Maksudnya:
Dengan nama Allah, aku bertawakal kepadaNya. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada tersesat atau disesatkan, aku berbuat dosa atau orang lain membuatkanku berdosa, aku menganiaya orang lain atau teraniaya dan aku berbuat bodoh atau diperbodohkan oleh orang lain.
Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibnu Majah.

2. Doa memulakan permusafiran.

Ibn Umar menyebutkan bahawa Rasulullah SAW berdoa jika ingin bermusafir, Baginda akan duduk tetap di atas binatang tunggangannya lalu apabila tunggangannya mula bergerak, Baginda membaca:

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Maksudnya:
“Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -"Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!" Ya Allah! Kami mohon daripada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan dikira sebagai amalan yang Engkau redha. Ya Allah kami mohon agar musafir ini menjadi ringan atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika musafir! Penjaga bagi ahli keluarga yang ditinggalkan! Ya Allah! Kami mohon agar engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga.”
Riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud

3. Doa apabila memasuki sesuatu kawasan atau tiba di destinasi yang dituju.

Suhaib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berdoa :

اللَّهُمَّ رَبَّ السَمَوَاتِ السَّبْعِ وَمَا أَظْلَلْنَ، وَالأَرَضِيْنَ السَّبْعِ وَمَا أَقْلَلْنَ، وَرَبَّ الشَّيَاطِيْنِ وَمَا أَضْلَلْنَ، وَرَبَّ الرِّيَاحِ وَمَا ذَرَيْنَ، أَسْأَلُكَ خَيْرَ هَذِهِ القَرْيَة وَخَيْرَ أَهْلِهَا وَخَيْرَ مَا فِيْهَا، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ أَهْلِهَا وَشَرِّ مَا فِيْهَا

Maksudnya :
Ya Allah, Tuhan tujuh langit dan penghuni yang dinaunginya, Tuhan tujuh bumi apa yang dipikulnya, Tuhan bagi syaitan dan apa yang disesatkannya, dan Tuhan angin serta apa yang diterbangkannya. Aku memohon kepada-Mu kebaikan daerah ini, kebaikan penduduknya, dan kebaikan apa yang ada di dalamnya. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatannya, kejahatan penduduknya, dan kejahatan apa yang ada di dalamnya.”
Riwayat an-Nasa'i

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments