Jammed Balik Kampung? Ketahui Perihal Solat Atas Kenderaan


 

Jammed Balik Kampung? Ketahui Perihal Solat Atas Kenderaan


1. Solat atas kenderaan ada ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Sebagaimana hadith riwayat ‘Amir bin Rabi’ah beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الرَّاحِلَةِ يُسَبِّحُ يُومِئُ بِرَأْسِهِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ وَلَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ

Maksudnya:
Aku pernah melihat Rasulullah SAW dalam keadaan Baginda sedang berada di atas haiwan tunggangan, baginda bertasbih dengan mengisyaratkan kepala Baginda menghadap ke arah yang mana haiwan itu menghadap. Dan tidaklah Baginda melakukan perkara sedemikian di dalam solat fardhu. - riwayat al-Bukhari

2. Berdasarkam hadith di atas, keharusan melakukan solat sunat di atas kenderaan bukan solat fardhu. Maka tata cara ialah :

i. Pastikan dalam keadaan sedang berwudhuk.
ii. Jika mampu, di awal takbir menghadap kiblat, jika tidak, maka ikut sahaja ke mana kenderaan menuju.
iii. Pastikan keadaan kepala dan badan lebih rendah ketika sujud berbanding rukuk.

3. Dalam keadaan pulang ke kampung hari ini, penumpang terutamanya boleh amalkan solat sunat dalam kenderaan. Terutama jika memang perjalanan menempuh jammed dan sukar mendapat tempat yang selesa. Lebih baik dilakukan daripada masa berlalu begitu sahaja dan luputnya waktu solat sunat tersebut.

4. Antaranya ialah :

i. Solat sunat duha di waktu pagi.
ii. Solat sunat tarawih di waktu malam, jika masih dalam Ramadan.

5. Adapun bagi pemandu, jangan pula solat ketika sedang memandu dan kenderaan bergerak, kerana keselamatan nyawa adalah utama dan memeliharanya wajib. Jika pemandu ingin juga, pastikan ketika :

i. Sedang berhenti di tempat yang selamat berhenti.
ii. Ketika sudah bertukar pemandu, iaitu pemandu pertama menjadi pemandu pula.
iii. Ketika jammed yang betul-betul dipastikan kenderaan tidak bergerak, jika masih bergerak perlahan tidak boleh kerana keselamatan.

6. Ini adalah untuk solat sunat sahaja. Dilaksanakan agar tidak luput waktu sunatnya tersebut kerana akan meluputkan ganjaran solat tersebut. Namun jika luput, dalam Mazhab as-Syafi'i, kita boleh mengqadha' / ganti solat sunat yang mempunyai waktu khusus seperti solat duha, solat tarawih dan lain-lain.

7. Tak mampu lama, buat secara asas, rukun sahaja. Tak dapat juga, sampai di destinasi cari waktu, qadha yang solat sunat terluput tadi.

8. Ohya, ini untuk yang kenderaan kereta atau pacuan 4 roda dan lebih. Kalau motor atau dua roda tak termasuk.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman.

Comments