Puasa 6 Syawal


 

Puasa 6 Syawal


1. Puasa 6 Syawal ialah puasa sunat sebanyak 6 hari di dalam bulan Syawal. Ganjaran yang disebutkan oleh Rasulullah SAW ialah seumpama puasa selama setahun.

Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya :
Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di Bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun. - riwayat Imam Muslim

2. Bermula waktu berpuasa ialah pada 2 Syawal kerana pada 1 Syawal adalah Hari Raya dan diharamkan berpuasa.

3. Kelebihan berpuasa 6 Syawal ada dari sudut khusus dan umum konteks puasa itu sendiri seperti berikut :

a. Secara khusus :
i. Pahala seumpama puasa setahun.

b. Secara umum pula ialah sebagaimana ganjaran umum ke atas puasa antaranya :
i. Mulut orang yang sedang berpuasa lebih wangi dari kasturi.
ii. Mendekatkan diri kepada Allah menerusi ibadah sunat setelah ibadah fardhu.
iii. Puasa menghapuskan dosa-dosa.
iv. Mengharapkan syafaat dari puasa di hari akhirat kelak.

4. Hikmah berpuasa 6 Syawal pula ialah :

i. Hikmah pelaksanaanya sebagai tanda istiqamah beribadah selepas Ramadan.
ii. Menampung kekurangan dan kelompongan dalam puasa fardhu Ramadan.

5. Terdapat beberapa pandangan ulama bilakah waktu kesesuaian memulakan puasa iaitu :

i. Bermula dengan 2 Syawal terus. Dilakukan secara berturut-turut. Pandangan dari Imam as-Syafi'i, Ibn al-Mubarak dan lain-lain.

ii. Bila-bila masa sahaja dalam bulan Syawal yang membolehkan puasa 6 hari. Tiada beza secara berturut-turut atau berasingan. Pandangan dari Waki', Ahmad dan lain-lain.

iii. Dilakukan di tengah bulan bagi disambungkan terus bersekali dengan puasa Hari Putih (13,14 dan 15hb). Maka puasa bermula 10, 11 dan 12 kemudian digabung sekali dengan Hari Putih pada 13, 14 dan 15.

6. Asasnya tiada masalah berpuasa pada bila-bila selagimana mampu mencapai 6 hari dalam bulan Syawal sama ada berturut-turut atau berasingan. Bergantung pada kesibukan dan pengurusan jadual kehidupan seseorang. Asalkan jangan sampai luput waktunya.

7. Perbahasan mengenai puasa 6 Syawal disekalikan dengan puasa ganti terdalat beberapa pandangan :

i. Tidak boleh gabung. Didahulukan puasa ganti kerana wajib kemudian disusuli dengan puasa 6 Syawal yang sunat.

ii. Tidak gabung. Namun boleh didahulukan puasa 6 Syawal sekalipun sunat kerana tempoh masa yang terhad. Puasa ganti sekalipun wajib boleh dikemudiankan kerana tempoh masa yang lama iaitu sebelum masuk Ramadan tahun berikutnya.

iii. Boleh gabung. Puasa 6 Syawal dihimpunkan bersama puasa ganti. Pandangan ini adalah memberikan keringanan khususnya kepada muslimah yang memang melalui keuzuran kerana haid setiap bulan selama 6-7 secara normal atau maksima 15 hari haid.

8. Uruskan jadual kehidupan kita. Beribadah dan pengurusan dunia. Mencari ganjaran di sisi Allah dan dalam masa yang sama meraikan hubungan dengan manusia.

9. Jangan sampai berpuasa sunat sehingga menjejaskan tanggungjawab dan komitmen kita. Jangan juga nak meraikan jemput makan dan rumah terbuka sehingga terlepas ganjaran yang hebat.

10. Bukankah dah biasa puasa sebulan? Cuma beza sikit iaitu puasa Ramadan semua berpuasa, manakala puasa 6 Syawal tidak semua puasa hari yang sama.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments