Hari Merdeka VS Hari Kebangsaan

 



Hari Merdeka VS Hari Kebangsaan

1. Saya tetap memilih perkataan Hari Merdeka / Kemerdekaan untuk tanggal 31 Ogos berbanding perkataan Hari Kebangsaan.

2. Merdeka sinonim dengan kejayaan membebaskan tanah air dari penjajahan. Untuk mencapai kemerdekaan kita perlu diperingatkan dengan pengorbanan generasi terdahulu kalangan para ulama, para pejuang dan rakyat yang terkorban, dibunuh dan sengsara dengan kezaliman penjajah.

3. Bila sebut merdeka nilainya mahal dengan pertumpahan darah generasi moyang kita. Merdeka sekalipun mengingatkan kepada semenanjung Tanah Melayu sahaja tetapi itulah asas pembentukan negara Malaysia pada 1963 kemudiannya.

4. Walaupun negara dinamakan "Malaysia" tetapi "Melayu" tetap diabadikan dan dominan kepada negara Malaysia ini dengan :

i. Melayu memiliki hak istimewa yang termaktub dalam Perlembagaan
ii. Melayu tidak hanya pada kaum tetapi ia imej kebangsaan seperti bahasa Melayu dan sebagainya.
iii. YDP Agong dipilih kalangan Raja-raja Melayu Islam, dan YDP Agong merupakan Ketua Negara Malaysia.

5. Manakala Hari Kebangsaan lebih menjurus kepada pembentukan Malaysia ke arah Negara Bangsa selepas capainya kemerdekaan. Ia agenda dan hala tuju sesebuah negara yang mencapai merdeka. Ini kerana untuk capai kemerdekaan, semenanjung Tanah Melayu telah berubah landskapnya berdasarkan perbincangan dan ketetapan pihak Bristih dalam memberikan kemerdekaan, hasilnya :

i. Semenanjung Tanah Melayu juga memiliki warganegara kalangan kaum Cina dan India.
ii. Wujudnya sistem pemerintahan berpusat di peringkat Persekutuan. Justeru, Raja-Raja hanya ketua agama bagi negeri yang mereka tadbir sahaja. Adapun di peringkat Persekutuan dipilih seorang Raja secara bergilir selaku YDP Agong sebagai Ketua Negara.
iii. Dari sudut eksekutif pula, pentadbiran menerusi demokrasi berparlimen di mana siapa yang memiliki undi majoriti ia akan membentuk kerajaan, Pusat mahupun negeri.

6. Asalnya awal merdeka, Malaysia dikenali dengan masyarakat majmuk, Melayu, Cina dan India. Dan juga terdapat pelbagai etnik di dalamnya. Dan realitinya Malaysia tidak melakukan proses asimilasi sebagaimana yang berlaku di negara Indonesia, sebaliknya Malaysia hanya proses integrasi. Kaum minoriti hidup dalam kaum majoriti dan mengekalkan budaya masing-masing. Walaupun terdapat beberapa tempat yang berlaku asimilasi seperti kaum Baba dan Nyonya di Melaka termasuk kaum Cina di Kelantan yang fasih berbahasa Melayu berdialek Kelate beserta gaya makan yang sama.

7. Negara mesti mempunyai imej yang jelas dan satu. Di sinilah agenda kebangsaan bagi negara Malaysia. Dan sesuai dengan dominasi Melayu pada sorotan sejarah, majoriti kaum serta hak istimewa yang termaktub dalam Perlembagaan, maka di peringkat Nasional, imej Melayu tidak sekadar di peringkat sosial atau kaum, tetapi melambangkan imej nasional.

8. Jadi Hari Kebangsaan boleh digunapakai bagi tarikh 16 September yang dinamakan Hari Malaysia. Ini kerana selepas kemerdekaan, agenda negara Malaysia yang telah berubah landskap dari semenanjung Tanah Melayu di samping penyertaan Sabah dan Sarawak serta keluarnya Singapura, dan Brunei tidak sertai, Malaysia mempunyai agenda iaitu kebangsaan yang didominasi dengan Melayu sebagai imej di peringkat Nasional sekalipun di peringkat sosial kita masih imejnya masyarakat majmuk.

Adapun cuti umum, itu terserah pada Kerajaan bagaimana uruskan. Benar, yang merdeka pada 31 Ogos hanya di Semenanjung Tanah Melayu sahaja tetapi tanpa capai kemerdekaan ini maka tiadalah asas kepada negara Malaysia tersebut.

9. Bila sebut Hari Kebangsaan, kurang diperdengarkan kepada generasi baharu akan pengorbanan dan jasa generasi terdahulu. Bukan mudah capai merdeka ini, nyawa dan darah dipertaruhkan!

10. Bila generasi baharu tidak hayati pengorbanan ini, maka nilai merdeka itu dipandang sebelah mata sahaja. Generasi baharu hanyut dengan kebebasan yang dimiliki hari ini yang mereka rasa bagaikan percuma walhal ia dibayar oleh moyang kita dengan darah mereka.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman.

Comments