Membelanja Ahli Keluarga Pada Hari Asyura, Murah Rezeki Setahun


 

Membelanja Ahli Keluarga Pada Hari Asyura, Murah Rezeki Setahun


1. Asasnya perbelanjaan ke atas ahli keluarga adalah kewajipan yang perlu dilunaskan. Menjadi tanggungjawab ke atas suami memastikan nafkah zahir iaitu pakaian, makanan, tempat tinggal termasuklah perubatan. Perbelanjaan ke atas tanggungjawab paling afdhal kerana statusnya ialah wajib.

2. Sebab itu, mengabaikan kewajipan tersebutbadalah berdosa kerana mengakibatkan keperluan tanggungan di bawah tidak dipenuhi secara sengaja dan culas.

Rasulullah SAW bersabda :

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يَحْبِسَ، عَمَّنْ يَمْلِكُ قُوتَهُ

Maksudnya :
“Cukuplah sebagai dosa bagi seseorang bila dia menahan keperluan orang yang berada di bawah kuasanya.” (HR. Muslim

3. Pahala besar memenuhi keperluan orang terutama kewajipan nafkah seterusnya lebihan sedekah sama ada ke atas keluarga, kaum kerabat dan orang fakir miskin yang lain. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

Maksudnya:
“Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu”. - Riwayat Muslim

4. Imam al-Nawawi RA berkata bahawa memberi sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih afdal (lebih baik) berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya. Lebih-lebih lagi, ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim walaupun pertalian tersebut jauh. Petunjuk dari Nabi SAW bahawa Baginda SAW memerintahkan kepada Abu Talhah untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya maka beliau memberikannya kepada Ubaiy bin Ka’ab dan Hassan bin Thabit. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7. [Rujuk al-Minhaj, 86/7]

5. Terdapat sebaran yang popular apabila 10 Muharram iaitu berkenaan sesiapa yang membelanjakan ahli keluarganya maka Allah akan memurahkan rezekinya sepanjang setahun. Dari sudut amalan dilihat baik dan tiada masalah dalam mengamalkan sama ada di Hari Asyura atau selainnya.

6. Namun terdapat perbahasan mengenai statusnya dinisbahkan sebagai hadith Rasulullah SAW. Ada ulama yang yang melihatnya sebagai hadith, ada yang mendhaifkannya dan ada yang tidak menerima sebagai hadith atas beberapa krtitikan terhadap jalur perawi dalam sanad.

7. Dalam hal ini, Darul Ifta Mesir menerimanya sebagai hadith dan berhujahkan digalakkan membelanjakan ahli keluarga pada Hari Asyura berdasarkan berikut :

يستحب التوسعة على الأهل يوم عاشوراء؛ لما ورد عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ -رضي الله عنه- قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-: ((مَنْ وَسَّعَ عَلَى أَهْلِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ سَائِرَ سَنَتِهِ)) أخرجه ابن أبي الدنيا في النفقة على العيال، والطبراني في المعجم الكبير، والبيهقي في شعب الإيمان

Maksudnya :
Digalakkan berbelanja untuk ahli keluarga pada Hari Asyura sebagaimana terdapat riwayat dari Abu Said al-Khudri berkata : Rasulullah SAW bersabda : Siapa yang berbelanjan kepada ahli keluarganua pada Hari Asyura maka Allah akan luaskan ke atas rezeki sepanjang tahun." takhrij oleh Ibn Abi Duniya pada bab nafkah ke atas keluarga, dan al-Tabarani dalam Mu'jam Kabir dan al-Baihaqi dalam bab cabang iman.

8. Malah hal ini disebutkan oleh para ulama dari Mazhab empat yang muktamar iaitu dari Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali sebagaimana antara teks-teks berikut :

i. Ibn Abidin, mazhab Hanafi.

مِنْ وَسَّعَ عَلَى عِيَالِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ السَّنَةَ كُلَّهَا» قَالَ جَابِرٌ: جَرَّبْته أَرْبَعِينَ عَامًا فَلَمْ يَتَخَلَّفْ

ii. Al-Khattab, mazhab Maliki.

يَنْبَغِي أَنْ يُوَسِّعَ عَلَى الْأَهْلِ فِيهِمَا –أي ليلة عاشوراء ويومها-، وَقَالَ الشَّيْخُ زَرُّوقٌ فِي شَرْحِ الْقُرْطُبِيَّةِ: فَيُوَسِّعُ يَوْمَهُ وَلَيْلَتَهُ مِنْ غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلَا مُرَاءاةٍ وَلَا مُمَارَاةٍ، وَقَدْ جَرَّبَ ذَلِكَ جَمَاعَةٌ مِنَ الْعُلَمَاءِ فَصَحَّ

iii. Syeikh Mansur al-Ajili, mazhab Syafi'i.

وَيُسْتَحَبُّ فِيهِ التَّوْسِعَةُ عَلَى الْعِيَالِ وَالْأَقَارِبِ، وَالتَّصَدُّقُ عَلَى الْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ مِنْ غَيْرِ تَكَلُّفٍ، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ شَيْئًا فَلْيُوَسِّعْ خُلُقَهُ وَيَكُفَّ عَنْ ظُلْمِهِ

iv. Al-Bahuti, mazhab Hanbali.

وَيَنْبَغِي فِيهِ التَّوَسُّعَةُ عَلَى الْعِيَالِ، سَأَلَ ابْنُ مَنْصُورٍ أَحْمَدَ عَنْهُ فَقَالَ: نَعَمْ رَوَاهُ سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ عَنْ جَعْفَرٍ عَنْ إبْرَاهِيمَ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ الْمُنْتَشِرِ، وَكَانَ أَفْضَلَ أَهْلِ زَمَانِهِ أَنَّهُ بَلَغَهُ: "مَنْ وَسَّعَ عَلَى عِيَالِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ سَائِرَ سَنَتِهِ" قَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ: قَدْ جَرَّبْنَاهُ مُنْذُ خَمْسِينَ سَنَةً أَوْ سِتِّينَ فَمَا رَأَيْنَا إلَّا خَيْرًا

9. Siapa yang tiada kemampuan kewangan dan harta, memadai dengan berakhlak mulia dalam berbuat baik dan mencegah dari melakukan kezaliman. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Mansur al-Ajili :

فَإِنْ لَمْ يَجِدْ شَيْئًا فَلْيُوَسِّعْ خُلُقَهُ وَيَكُفَّ عَنْ ظُلْمِهِ

10. Hidupkan 10 Muharram dengan ibadah puasa serta melakukan kebaikan kepada ahli keluarga dan manusia umumnya. 10 Muharram kita berpuasa tanda syukur atas nikmat Allah ke atas Nabi Musa dan dalam masa yang sama menggembirakan manusia yang lain. Ini adalah hari gembira ummah!

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments