Maulidur Rasul : Membugar Cinta, Teladani Dari Para Sahabat
Maulidur Rasul Membugar Kecintaan Kepada Rasulullah SAW
Setiap kali 12 Rabiul Awwal kita di Malaysia malah umat Islam seluruh dunia menyambut peristiwa agung iaitu maulidur Rasul. Sambutan dengan pelbagai konsep sama ada perarakan, ceramah agama, serta acara-acara bermanfaat dijalankan sepanjang sambutan ini. Malah di peringkat Persekutuan dan negeri diadakan anugerah kepada beberapa tokoh atas kriteria tertentu bersempena dengan sambutan ini.
Sambutan maulidur Rasul merupakab wasilah untuk mendidik umat dalam mendekatkan diri kepada Allah dan membugar kecintaan kepada Rasululullah SAW dengan pengisian yang bermanfaat dan keagamaan. Malah, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah menyebutkan jika sambutan maulidur Rasul tersebut diisi dengan penceritaan kisah sirah Rasulullah SAW dan aoa yang berkaitan dengannya maka di manakah yang menjadi bidaah? Jawapan balas Syeikh terhadap soalan hukum sambutan ini.
Begitu juga dalam ceramah Syeikh Dr Muhammad Said al-Buti yang menjawab kekeliruan pihak yang menghukum bidaan ke atas sambutan ini dengan menjawab bahawa kaedah usul menjelaskan apa yang tidak dibuat oleh Rasulullah SAW semata-mata maka ia tidak dihukumkan sebagai sesuatu yang diharamkan. Ini sepakat ulama. Malah beliau menambah lagi bahawa sambutan maulidur rasul adalah wasilah kepada ingat Rasulullah SAW, kenal Baginda SAW dan mencintai Baginda SAW. Kaedah menyatakan sesuatu yang wajib tanpanya maka ia menjadi hukum wajib. Jadi wasilah adalah dihukumkan berdasarkan tujuannya.
Para Sahabat Sangat Mencintai Rasulullah SAW
Para sahabat sangat mencintai Rasulullah SAW malah dengan segala harta, jiwa dan raga mereka serahkan semata-mata demi Rasulullah SAW dalam mentaati Baginda SAW. Perkara yang jelas dapat dilihat di saat turunnya Surah al-Nasr, apabila para sahabat disedarkan dengan dekatnya tempoh ajal Rasulullah SAW mereka semua menangis. Malah Sayiduna Umar "dalam emosi" tidak memberikan orang berkata Rasulullah SAW telah wafat.
Selain itu antara tanda cinta para sahabat kepada Rasulullah SAW dengan sepenuh milik harta, jiwa dan darah ialah :
1. Abdul Rahman bin Affan meninggalkan segala harta kemewahan menyahut perintah hijrah ke Madinah.
2. Mus'ab bin Umair sanggup hidup miskin, disekat harta mewah oleh keluarganya sendiri yang musyrik sehingga syahid di medan Uhud dan tidak mencukupi kain untuk menutupi seluruh jasad.
3. Sayiduna Ali bin Abu Talib sanggup menggantikan Rasulullah SAW di tempat tidur bagi mengelirukan musuh yang hendak bunuh Baginda SAW pada malam untuk hijrah Rasul.
4. Talhah bin Ubaidillah penuh luka dan kesan cedera di seluruh badan menyertai peperangan bersama Rasulullah SAW malah menjadi benteng kepada Baginda SAW dari dihujani oleh lembing dan anak panah yang menuju ke Rasulullah SAW dalam perang Uhud.
5. Sayiduna Abu Bakr sanggup menunggu Rasulullah SAW untuk dapat isyarat berhijrah bersama dan sangat bimbang akan keselamatan Baginda SAW sepanjang hijrah.
6. Sayiduna Uthman sanggup memikul tanggungjawab menjadi wakil masuk ke kota Mekah untuk berbincang dengan pihak musyrik kedatangan rombongan ummah ke dalam Mekah namun kemudian ditangkap dan ditahan seterusnya tersebar berita beliau "dibunuh" yang menjadi penyebab kepada perjanjian damai Hudaibiyah.
7. Zaid bin Dathinnah ditangkap dan ditawarkan pembebasan dengan syarat ditangkap Rasulullah SAW bagi menggantikan tempat untuk dibunuh. Beliau tegas menolak dan menyatakan secara keras bahawa melihat Rasulullah SAW terluka apatah lagi dibunuh.
8. Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abu Talib dan Abdullah bin Rawwahah, memikul tanggungjawab ketua pangliman dalam Perang Muktah. Tentera Islam seramai 3000 ribu berhadapan 100 ribu tentera Rom Byzantine. Mereka bertiga gugur syahid.
Terlalu banyak teladan kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah SAW. Ini di antaranya yang menjadi bukti kehebatan kecintaan para sahabat kepada Rasulullah SAW.
Menyambung Perjuangan Rasulullah SAW, Pertahankan Islam Dari Perosak
Kehebatan cinta para sahabat terhadap Rasulullah SAW tidak terhenti pada saat Rasulullah SAW hidup sahaja. Sebab itu, peringatan dari Sayiduna Abu Bakr sanggap memberikan kesan ke dalam hati dan menyedarkan kembali para sahabat lain sekalian di kala menerima kewafatan Baginda SAW. Beliau mengungkapkan :
من كان يعبد محمدا فقد مات، ومن كان يعبد الله فهو حي لا يموت
Maksudnya :
Siapa yang menyembah Muhammad maka Baginda telah wafat. Dan siapa yang sembah Allah maka Allah Maha Hidup, tidak mati.
Kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah SAW juga tidak terhenti dengan hanya kata-kata tetapi meneruskan perjuangan yang dibawa oleh Baginda SAW disebarkan ke seluruh alam. Para sahabat menyebarkan Islam dan mempertahankan Islam dari perosak. Lihat bagaimana di zaman pemerintahan Sayiduna Abu Bakr, beliau memerangi orang yang mengaku menjadi Rasul dan juga golongan yang tidak mahu membayar zakat.
Tegasnya Sayiduna Abu Bakr walaupun beliau dikenali dengan sifat lemah lembut dan ihsan kepada manusia lain berbanding sifat Sayiduna Umar bin al-Khattan yang kelihatan zahir lebih tegas. Zaman pemerintahan Sayiduna Umar bin al-Khattab meneruskan perjuangan dengan perluasan wilayah dan pemodenan struktur serta sistem dengan ijtihad semasa beliau. Begitu juga di zaman pemerintahan Sayiduna Uthman dengan wujudnya pelayaran tentera laut di zamannya serta usaha menjadikan mushaf al-Quran dengan standard resam Uthmani bagi mengekang perbalahan melampaui dalam dakwaan terhadap bacaan al-Quran. Serta zaman Sayiduna Ali bin Abu Talib cuma kenaikan zaman Sayiduna Ali bin Abu Talib di kala fitnah memuncak dengan pembunuhan Sayiduna Uthman. Sayiduna Ali terus mempin ummah walau konflik dalaman sangat hebat dengan pertempuran Jamal serta Siffin kalangan sesama umat Islam.
Mereka 4 sahabat yang digelar Khulafa' ar-Rasyidun, serta merupakan bapak mentua dan menantu kepada Rasulullah SAW. Malah tergolong dalam 10 orang dijanji syurga oleh Baginda SAW. Mereka meneruskan legasi perjuangan Rasulullah SAW dengan memastikan Islam terus berkembang. Diuji dengan masalah dalaman dengan kemampuan semasa yang ditaqdirkan oleh Allah. Tempoh pemerintahan mereka ini disebut atas landasan manhaj kenabian (على منهاج النبوة) sebagaimana dalam hadith mengenai fasa-fasa pemerintahan atau kekuasaan Islam.
Bersama mereka para sahabat yang lain. Semuanya terlibat sama memastikan Islam terus berkembang. Mereka membuktikan kecintaan terhadap Rasulullah SAW dengan pertahankan Islam dan meneruskan perjuangan Islam. Sekalipun wujud pergeseran dalam ijtihad namun negara Islam tidak jatuh ke tangan musuh. Sekalipun dilaga-lagakan sehingga bertembung mereka saling hormat antara satu sama lain. Mereka terus kerja dan perjuangan Islam dengan kefahamam dan rasional ilmu. Mereka tidak duduk sahaja tanpa berkhidmat untuk Islam.
Cinta Kepada Rasulullah SAW, Tidak Cinta Dunia
Dari mana datangnya kehebatan para sahabat? Asasnya ialah cinta kepada Rasulullah SAW. Menjadikan para sahabat kuat dan tidak cintakan dunia. Kelemaham umat akhir zaman yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW ialah penyakit al-wahn iaitu cintakan dumia dan bencikan kematian. Walaupun umat ramai namun hanya seperti buih di muara jika ada penyakit al-wahn ini. Musuh sudah hilang gentar kepada Islam kerana penyakit al-wahn menjadikan umat lemah. Akhirnya ditimpa kekalahan demi kekalahan, kemudian dijajah ditindas.
Cinta Rasulullah SAW menjadikan umat fana' iaitu tidak hanyut ke cinta dunia kerana menemui cinta hakiki. Menjadi umat duduk di barisan hadapan untuk berjuang, bukannya duduk lena diulit keasyikan dunia. Ikrimah iaitu anak kepada Abu Jahal apabila memeluk Islam, maka ia akan usaha berada di barisan hadapan jika berlaku perang.
Lihat juga kepada pemilihan barisan tentera utama di zaman Sultan Muhammad El Fateh untuk membuka Kota Konstinapel, beliau memilih kalangan tentera yang kuat ibadah dengan saringan soalan tertentu. Menunjukkan semakin kuat ibadah maka semakin hebat dan duduk di barisan hadapan berjihad.
Inilah signifikan kepada cinta Rasulullah SAW, umat semakin kuat kerana dengan cinta kepada Rasulullah SAW menjadi hati tidak terkena penyakit al-wahn. Duduk di barisan hadapan untuk sambung legasi perjuangan Baginda SAW dan pertahankan Islam dari perosak.
Bukan terperangkap dalam perbalahan sempit sektarian mazhab. Akhirnya Islam tidak berkembang, ummah pula berpecah belah, musuh pula "dijemput" masuk menjadi rakan dengan rundingan pintu belakang pembahagian kuasa.
.
Muhamad Zuhaili bin Saiman.
Comments
Post a Comment