Mawlid Rasul : Jangan Lupa Sunnah Dalam Siyasah Syar'iyyah

 



Mawlid Rasul : Jangan Lupa Sunnah Dalam Siyasah Syar'iyyah


▪️
Sambutan Jangan Sekadar Gimik

Menyambut mawlid Rasul merupakan satu kegembiraan yang dizahirkan oleh umat Islam atas anugerah teragung dari Allah kepada manusia malah alam ini. Sambutan ini harapnya menjadi tanda kecintaan kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dengan acara-acara baik disusun, asasnya ialah berselawat.

Malah secara umum, para ulama yang menyatakan keharusan diadakan sambutan ini ialah merujuk kepada perintah dari Allah untuk bergembira dengan kurniaan dan rahmat-NYA. Kelahiran Rasulullah SAW di dunia ini adalah termasuk dalam kedua-dua tersebut iaitu kurniaan dan rahmat-NYA.

Firman Allah SWT :

قُلْ بِفَضْلِ اللّٰهِ وَبِرَحْمَتِهٖ فَبِذٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوْاۗ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُوْنَ

Maksudnya :
Katakanlah (Muhammad), “Dengan karunia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” - Surah Yunus : 58

Di Malaysia, sambutan mawlid Rasul termasuk dalam cuti umum bagi menandakan kebesaran di peringkat negeri dan negara. Malah sambutan turut diadakan di pelbagai peringkat bermula di peringkat keluarga, masyarakat tempatan, agensi-agensi, kerajaan negeri sehinggalah peringkat Persekutuan.

Ia menandakan di peringkat Malaysia, sambutan ini tidak perlu dijadikan isu pada hukum sambutannya yang harus, ini pendapat majoriti ummah malah seluruh dunia Islam secara asasnya termasuklah negara Malaysia. Tidak perlu timbul soal bidaah atau tidak. Kita menerima hukum keharusannya kerana ini yang lebih tepat.

Hanyasanya, teguran dan nasihat dalam mawlid Rasul ialah bahawa sambutan jangan hanya bersifat gimik tetapi penghayatan praktikal sebenar dalam kehidupan berbeza. Jangan hanya lafazkan "cinta Rasul" di bibir namun apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW diabaikan.

Mereka yang meninggalkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW hakikatnya mereka membuat Baginda SAW berduka cita. Inilah yang diadukan oleh Baginda SAW kepada Allah akan masyarakat yang menjadikan Islam sia-sia dengan mengabaikan al-Quran.

Firman Allah SWT :

وَقَالَ الرَّسُوْلُ يٰرَبِّ اِنَّ قَوْمِى اتَّخَذُوْا هٰذَا الْقُرْاٰنَ مَهْجُوْرًا

Maksudnya :
Dan Rasul (Muhammad) berkata, “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur'an ini diabaikan.” - Surah al-Furqan : 30

Berdasarkan ayat di atas, kelompok yang diadukan oleh Rasulullah SAW adalah mereka yang memiliki ciri-ciri tersebut atau salah satu darinya :

1. Tidak beriman dengan al-Quran.
2. Beriman namun tidak mahu membaca al-Quran.
3. Beriman dan membaca al-Quran namun tidak mahu memahami isi kandungannya.
4. Beriman, membaca dan memahami isi kandungan al-Quran namun tidak mahu melaksanakan keseluruhannya.

▪️
Cinta Rasul Mesti Mempertahankan Rasulullah SAW dan Syariat Islam

Lihat kepada isi kandungan Baiah Aqabah II di mana kaum Aus dan Khazraj memberikan janji setia mempertahankan Rasulullah SAW sebagaimana nyawa mereka sendiri serta sebagaimana juga mereka mempertahankan isteri dan anak-anak mereka.

Mereka tidak sekadar gembira biasa namun memberikan kesetiaan dan sanggup berkorban demi pertahankan Rasulullah SAW dan syariat yang dibawa oleh Baginda SAW. Hebatnya kalangan Aus dan Khazraj yang merupakan kelompok Ansar yang akhirnya kita dapat saksikan tertubuhnya negara Islam di Madinah.

Sahabat kalangan muhajirin pula, cinta mereka kepada Rasulullah SAW dengan terus bersabar walau diseksa oleh musyrikin Mekah. Malah bukan mereka tidak mampu berperang, namun belum diberi izin. Mereka diminta bersabar, maka sahabat muhajirin sabar sekalipun Sayiduna Umar bin al-Khattab dan Sayiduna Hamzah Abdul Mutallib sudah pun ada di Mekah!

Kalangan sahabat yang asalnya bangsawan datang mengadu kepada Rasulullah SAW dengan berkata :

إنا كنا عز ومحن مشركون فقد آمنا صرنا أذلة

Maksudnya :
Sesungguhnya kami kelompok orang mulia waktu kami musyrik (belum memeluk Islam) dan kami telah Islam maka kami jadi hina (iaitu musrikin Mekah tidak seksa mereka).

Rasulullah SAW tenangkan mereka dengan sabdaan :

فقد أمرت بالعفو فلا تقاتلوا

Maksudnya :
Sesungguhnya aku (sehingga saat ini) diperintahkan bersabar, mama jangan kamu mulakan berperang.

Siapa tidak kenal Mus'ab bin Umair yang merupakan duta khas Rasulullah SAW dikirimkan sewaktu Aus dan Khazraj pulang ke Yathrib (Madinah) selepas Baiah Aqabah Pertama. Beliau kalangan keluarga kaya, namun apabila memeluk Islam keluarganya menyekat kemewahannya dan beliau dalam keadaan tersangat miskin. Dalam perang Uhud, beliau syahid. Tatkala ingin ditutupi wajah beliau dengan kain maka nampaknya hujung kakinya, dan apabila ditutupi hujung kakinya terbukalah wajahnya. Miskin. Sehingga menangis Rasulullah SAW mengenang nasib Mus'ab sanggup bersama Islam walau hilang segala kemewahan dunia!

Kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah SAW sangat hebat, sehingga seorang sahabat ditawan dan ditawarkan untuk ditebus dengan menangkap Rasulullah SAW agar digantikan tempatnya ditawan, sahabat tetap menolak tawaran itu, malah dengan tegas berkata jika Rasulullah SAW terluka terkena duri pun beliau tidak sanggup. Melihat situasi demikian Abu Sufyan (sebelum memeluk Islam) berkata :

ما رأيت أحدًا يحب أحدًا كما يحب أصحاب محمدٍ محمدًا

Maksudnya :
Tidak pernah lagi aku melihat seseorang mengasihi seseorang sebagaimana kasihnya sahabat Muhammad kepada Muhammad.

▪️
Siyasah Syar'iyyah Juga Sunnah Terbesar Rasulullah SAW

Dalam kegembiraan menyambut mawlid Rasul, tegakkan kefahaman sahih mengenai Islam yang syumul. Soal siyasah syar'iyyah bukanlah urusan dunia semata-mata malah ia merupakan siyasah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Maka apa sahaja yang ditunjukkan oleh Baginda SAW ia termasuk dalam kategori sunnah.

Malah mantan Ketua Editor majalah al-Azhar, Dr Muhammad Immarah pernah menulis buku berjudul الرسول السياسي yang menceritakan sudut politik Rasulullah SAW dalam gerak geri Baginda SAW. Malah jelas Rasulullah SAW sebagai pemimpin negara Madinah, maka pastinya soal pentadbiran negara itu diperanankan oleh Baginda SAW dalam menegakkan perintah-perintah Allah.

Apatah lagi, doktrin sekularisme menjadikan pemikiran ummah menyeleweng dengan mengasingkan politik dari Islam. Malah didoktrin bahawa siyasaj atau politik itu kotor agar umat Islam menjauhinya. Maka ulama-ulama berusaha mengembalikan semula kefahaman yang sahih dengan kata kunci Islam yang syumul. Maka politik ada dalam Islam dan sebahagian dalam Islam.

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menulis buku berjudul السياسة الشرعية في ضوء الكتاب والسنة النبوية menyebutkan jika hubungan manusia dengan Allah maka dibahas menerusi fiqh ibadah, jika hubungan manusia dengan harta dibahaskan menerusi fiqh muamalat, hubungan manusia dalam hal ehwal keluarga dibahaskan dalam fiqh munakahat atau fiqh usrah, maka begitulah jika hubungan manusia dengan negara dan pentadbiran maka dibahaskan menerusi fiqh al-siyasah.

Kisah yang menjadi pengajaran bagaimana seorang qadhi mahkamah syar'i Mesir, Ali Abdul Raziq yang menulis buku berjudul الإسلام واصول الحكم yang dibantah oleh Syeikhul Azhar ketika zaman itu iaitu Syeikh Abul Fadl al-Jizawi. Syeikh mengetuai mesyuarat yang dihimpunkan 24 ulama besar dengan sebulat suara menegaskan penulisan Ali Abdul Raziq yang mendakwa bahawa dakwah Rasulullah SAW tiada kaitan dengan pembinaan negara Islam merupakan penulisan yang sesat dan salah. Syeikh membentang 7 isi besar menolak penulisan tersebut. Hasil mesyuarat tersebut Syeikh membawa keputusan memecat keahlian Ali Abdul Raziq dan melucutkan jawatannya dengan menghantar surat kepada pemerintah dan menteri.

Malah Syeikhul Azhar Khidhir Hussin pada sekitar tahun 1950 - 1954 juga menulis buku menolak penulisan tersebut. Begitu juga Mufti Mesir ketika iaitu Syeikh Bakhit al-Muti'i menulis buku menjawab kembali kekeliruan dari penulisan buku Ali Abdul Raziq. Para ulama tegas dan serius menolak mana-mana dakwaan menyeleweng seperti ini menjadikan seorang dalam Islam tiada siyasah syar'iyyah.

▪️
Sunnah Dalam Siyasah Syar'iyyah

Maka bila sebut politik, umat Islam kena faham sebagaimana kerangka siyasah syar'iyyah iaitu politik Islam yang sebenar. Jangan faham ikut konteks politik Barat atau Timur. Politik Islam adalah menjalankan tanggungjawab khalifah dalam urus tadbir dunia dengan panduan agama Islam.

Mengasingkan politik dari agama Islam adalah kefahaman menyeleweng yang dibantah. Berpolitik pula jangan ikut cara ideologi Barat seperti kaedah machevialli iaitu matlamat menghalalkan cara. Jangan pula sebagaimana kaum jahiliyah yang asabiyyah mempertahankan kaum sendiri sekalipun kaum sendiri melakukan kebatilan.

Umat Islam perlu pastikan siyasah syar'iyyah ini dilaksanakan bagi memastikan keadilan Islam ditegakkan untuk kesejahteraan semua manusia. Inilah politik Islam. Soal dosa dan pahala menjadi batasan dalam melakukan sesuatu. Besarnya soal politik Islam ini dengan disebut dalam golongan yang mendapat naungan Allah di padang mahsyar kelak dengan sebutan turutan pertama.

Jadi, sambutan mawlid Rasul pasti akan bicara soal sunnah Rasulullah SAW untuk dilaksanakan sebagai tanda cinta kepada Baginda SAW. Maka jangan abaikan sunnah dalam siyasah syar'iyyah, sunnah dalam berpolitik Islam. Ini perkara besar, bukan kecil.

.
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Comments